Harakahdaily,12 Mac 2013
KUANTAN: Satu surat rasmi mendedahkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang bersidang pada 6 Februari 2013 telah menganugerahkan satu kontrak penyelenggaraan jalan negeri Pahang kepada sebuah syarikat selama tujuh tahun.

Dalam surat yang ditandatangani Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang Datuk Ir Haji Rosman Haji Yahya, kontrak tersebut diberikan kepada Syarikat YP Maintenance Sdn Bhd bermula 1 April 2013.

“Pembiayaannya adalah dari peruntukan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri,” baca surat tersebut yang ditujukan kepada “Jurutera Daerah JKR Kuantan/ Temerloh / Jerantut / Pekan / Maran / Bentong / Rompin / Kuala Lipis / Cameron Highlands / Raub / Bera.”

Ia telah menimbulkan persoalan kenapa ia dibuat untuk tempoh yang begitu panjang?

Penganalisa politik Harakahdaily berkata kontrak yang diberikan itu sebelum PRU 13 akan menimbulkan persepsi rakyat bahawa Umno tengah menyiapkan diri untuk kekalahan dengan penganugerahan projek-projek yang dapat menjamin pendapatan mereka sekiranya menjadi pembangkang nanti.

Surat itu turut menyatakan bahawa jalan-jalan yang terlibat dalam kontrak ini ialah jalan-jalan negeri di bawah JKR seperti yang disenaraikan dalam Malaysia Road Record Information System (MARRIS) tetapi tidak termasuk jalan di dalam kategori yang lain.

Surat itu turut mengarahkan sebarang rundingan yang belum dimuktamadkan dengan kontraktor lain perlu dibatalkan.

“Oleh yang demikian, segala kerja-kerja undi dan sebut harga untuk kategori Jalan Raya Negeri Di Bawah JKR yang masih di peringkat tawaran dan masih belum disetuju terima kepada kontraktor hendaklah dibatalkan.

"Walaubagaimanapun, kerja-kerja undi dan sebut harga yang telah disetujuterima oleh kontraktor boleh diteruskan sehingga siap,” tulis surat itu lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar)ketika dihubungi Harakahdaily berkata keputusan itu bakal menjejaskan peluang kerja di JKR bahagian jalan untuk anak Pahang.

“Kontraktor jalan Kelas F juga hilang peluang untuk mendapat kontrak,” tegas beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menuntut agar pihak bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan beberapa perkara termasuk:

1.     Mengapa Syarikat YP Maintenance dipilih?

2.     Perjanjian antara kerajaan negeri dengan Syarikat YP Maintenance.

3.     Bagaimana perjanjian ini boleh menguntungkan warga Pahang? Apakah sebutharga YP Maintenance jauh lebih rendah berbanding kontraktor lain?

4.     Apakah YP Maintenance memenangi kontrak ini melalui tender terbuka?

5.     Berapa jumlah nilai kontrak 7 tahun tersebut? Mengapa 7 tahun dan bukan diperbaharui setiap tahun?

6.     Jika YP Maintenance tidak dapat melaksanakan tugas kontrak, apakah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mendenda dan membatalkan kontrak?
 
SumBER: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/17365-kerajaan-pahang-keluar-tender-7-tahun