Abd Shukur Harun, | 03 Mac 2013 |
SHAH ALAM: Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa buat
masa ini tidak perlu timbul sebarang isu mengenai jawatan Perdana
Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU akan
datang.
“Yang
penting sekarang ini ialah memberitahu rakyat mengenai pemerintahan
yang adil jika Pakatan berkuasa,” kata beliau ketika berucap di Ijtimak
Tarbawi Pilihan Raya PAS Negeri Selangor 2013 di sini semalam.
Berucap
di depan lebih 800 petugas pilihan raya PAS Selangor dalam suasana yang
sangat ceria, Presiden PAS itu dengan suara paling tegas berkata, “yang
penting sekarang kita hendak menang pilihan raya dulu untuk memerintah
secara adil.
“Jika menang, barulah kita fikirkan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.”
Menurutnya, masa ini tidak berbangkit lagi isu jawatan tersebut kerana
kita hendak tumpukan perhatian kepada gerak kerja pilihan raya,
memberitahu rakyat akan manifesto Pakatan Rakyat iaitu hendak memerintah
dengan adil kepada semua rakyat berbilang kaum.
Selanjutnya
beliau berkata, setiap petugas PAS dan Pakatan Rakyat perlu menumpukan
perhatian untuk memberitahu kandungan manifesto Pakatan kerana manifesto
tersebut adalah dokumen Pakatan untuk memberikan khidmat terbaik kepada
rakyat dan memerintah secara adil.
Presiden
PAS itu berkata lagi bahawa perjuangan PAS/Pakatan rakyat bukan hendak
merebut jawatan dan bukan kerana ketokohan seseorang individu, tetapi
untuk menegakkan keadilan dan mereka yang mengundi Pakatan bukan
mengundi individu tetapi mengundi dasar perjuangan yang dibawa oleh
Pakatan.
“Kita
menerima tahaluf siyasi dengan persetujuan Malis Syura Ulama dan
Muktamar PAS, kerana itu ia adalah suatu jihad untuk melaksanakan
cita-cita perjuangan yang telah kita sepakati,” kata beliau yang juga
Ahli Parlimen Marang tegas disambut dengan takbir oleh para hadirin.
Menurutnya,
sepanang sejarah PAS menyertai tahaluf siyasi sejak dengan Semangat 46
dulu hingga kini, PAS tidak pernah rugi, malah banyak menguntungkan
Islam.
“Jika
PAS banyak memenangi kerusi dalam PRU akan datang baik di peringkat
Parlimen dan Dun, maka insya Allah, PAS akan dapat menggantikan Umno,”
ujarnya.
Beliau
seterusnya mengingatkan pendukung PAS, bahawa dalam perjuangan ini
“kita hendaklah melakukannya dengan sungguh-sunguh, istiqamah,
bertawakkal dan berserah kepada Allah menentukannya”.
No comments:
Post a Comment