NORHASRAM MOHAMAD
8 Mac 2013
Nik Aziz: Isu Lahad Datu ujian untuk umat Islam
Nik Abdul Aziz meminum air yang sudah dirawat selepas merasmikan Loji Rawatan Air Wakaf Bunut semalam.
PASIR PUTEH - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta seluruh rakyat mendoakan keselamatan negara berikutan insiden pencerobohan Lahad Datu yang meragut nyawa anggota keselamatan.

“Sama-samalah kita berdoa supaya negara kita selamat, kejadian itu merupakan ujian kepada umat Islam yang menolak Islam dan berasa dialah tuhan.

“Kejadian seperti itu bukan sahaja menjadi masalah besar kepada pemimpin malah kepada rakyat juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air Wakaf Bunut di sini, semalam.

Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas insiden pencerobohan Lahad Datu yang mengorbankan anggota keselamatan negara.

Loji Rawatan Air Wakaf Bunut yang menggunakan teknologi penapisan ‘ultrafiltration’ dengan teknologi membran daripada Jerman dijangka membekalkan 14 juga liter air terawat sehari.

Nik Aziz bagaimanapun, mahu rakyat berfikir dan tidak terlalu mudah menuduh mana-mana individu menjadi dalang pencerobohan tersebut.

Beliau juga menganggap pemimpin negara juga ‘menceroboh’ undang-undang apabila menggunakan ISA untuk menahan rakyat.

“Saya selalu sebut, pencerobohan ini bukan menceroboh dengan peluru sahaja, menahan rakyat di bawah ISA juga satu pencerobohan.

“Rakyat yang ditahan bukan sahaja rakyat Malaysia, mereka juga hamba ALLAH SWT dan begitu juga dengan menteri terlibat, mereka bertanggungjawab kepada ALLAH SWT kerana menghukum orang dengan tidak dibicarakan,” katanya.