KUALA LUMPUR, 13 Mac — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (M) Bhd berhubung penyiaran artikel oleh akhbar itu pada 8 Feb lepas.
Presiden Abim, Amidi Abdul Manan sebagai plaintif memfailkan writ saman itu melalui Tetuan Anwar Ismail & Associate di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini.
Amidi menamakan Utusan Melayu dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan pertama dan kedua, diikuti wartawannya Lukman Ismail sebagai defendan ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, Amidi mendakwa artikel berjudul ‘Pas Benarkan Tarian Lucah, ABIM Hina Isteri Rasullulah’ yang diterbitkan pada 8 Feb lalu adalah berniat  untuk mengaibkan, menjatuhkan maruah serta merendahkan martabat pertubuhan itu.
Beliau mendakwa artikel itu membawa maksud bahawa Abim merupakan pertubuhan Islam yang jahat, tidak berintegriti dan pertubuhan yang tidak boleh dipercayai dan tiada kredibiliti.
Dalam writ saman itu, Amidi menuntut gantirugi teruk, gantirugi teladan, injunksi untuk menghalang defendan-defendan daripada menerbitkan atau menyiarkan mana-mana perkataan fitnah serta kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. — Bernama