Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat mengulangi pendirian mahu kerajaan memanggil sidang khas Parlimen dan membentangkan kertas putih berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Sambil menyambut baik pertimbangan kerajaan mahu membuka kertas putih, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, apa yang penting sekarang ialah sidang khas Parlimen bagi membincangkan kandungan kertas putih agar rakyat tahu apa sebenarnya berlaku di Lahad Datu dan Semporna.

"Ini isu besar. Kami konsisten dengan pendirian perlu ada satu sidang khas Parlimen. Pada sidang khas ini, boleh dibentangkan kertas putih.

"Jika kes Memali pada 1985, yang tidak melibatkan insiden pencerobohan rakyat asing, boleh diadakan kertas putih, ini kes pencerobohan, yang sangat serius, saya kira Datuk Seri Hishammuddin boleh membentangkan kerta putih," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, "kini sudah hampir sebulan insiden berlaku, dan saya pasti Kementerian Dalam Negeri tahu punca insiden ini."

Katanya, selepas sidang khas Parlimen dan pembentangan kertas putih, kerajaan boleh mengadakan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk tindakan susulan jika mahu.

"RCI boleh dimasukkan sebagai cadangan dalam kertas putih," katanya yang yakin masih ada masa untuk memanggil sidang khas Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Ya, ada masa... sidang khas ini hanya memerlukan satu hari sahaja," kata beliau.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Semalam, Hishammuddin berkata, siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif sebenar pencerobohan itu termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

"Siasatan lebih menyeluruh perlu untuk kita tahu apa sebenarnya yang berlaku...ini kami akan lakukan sama ada menggunakan RCI atau buka kertas putih.

"Saya sendiri pun hendak tahu dalang di belakang pencerobohan ini dan siapa yang membiayai atau merancang kerana ini semua menyentuh kepada keselamatan nasional," katanya.

Mengenai sama ada hasil siasatan itu akan didedahkan kepada umum, Hishammuddin berkata, ia akan dibincangkan oleh pucuk pimpinan apabila perkara itu selesai kelak.