Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, konsep Islam menyarankan golongan berada mengambil tanggungjawab untuk membantu golongan miskin.
“Bagi kepada kita (tadbir) kita tahulah nak buat macam mana. Konsep Islam, orang berada mengambil tanggungjawab, orang miskin tidak akan dibebankan, itu akan berlaku,” katanya.
Kata beliau, teori masyarakat Ibnu Khaldum mengatakan pendidikan adalah industri, industri menghasilkan produktiviti, pendidikan juga menghasilkan manusia yang hasilkan produktiviti.
“Oleh itu PTPTN tidak boleh dihapuskan begitu saja, kena ada proses. Proses adil dan tidak membebankan orang miskin tapi orang berada mesti pikul tanggungjawab,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas taklimat pembinaan Dewan Tok Guru di Rusila, Marang, semalam.
Bagaimanapun kata beliau, kerajaan sekarang tidak mampu mengurus dengan baik dan ia dibuktikan banyak wang negara bocor akibat masalah rasuah dan penyelewengan.
Katanya, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) berbohong kepada rakyat apabila menyatakan negara akan jatuh bankrap sekiranya dana pendidikan itu dihapuskan.
“Pendidikan percuma itu konsep negara berkebajikan yang Pas kemukakan. Masalah dana perlu ditangani dengan bijak, kita nak laksanakan konsep (negara berkebajikan) tapi terpaksa memikul bebanan kesalahan BN.
“Bankrap itu tidak betul, bohong, ia disebabkan salah urus. Banyak negara seperti Britain, Sweeden, Norway dan Jerman beri pendidikan percuma. Apa yang berlaku adalah kerana duit negara bocor sebab rasuah, penyelewengan,” katanya.
Mengulas mengenai perhimpunan sekumpulan mahasiswa di Dataran Merdeka sejak seminggu lalu beliau menafikan dakwaan mengatakan Pakatan Rakyat (PR) dalang di sebalik desakan supaya kerajaan memansuhkan PTPTN.
Kata beliau, dakwaan bahawa pembangkang mempergunakan pelajar demi mencapai kepentingan sendiri adalah satu tuduhan tidak munasabah kerana golongan itu bukan mudah untuk ditipu.
“Pelajar ni orang berpelajaran, berpendidikan tinggi oleh itu tidak mungkin mereka boleh dipergunakan dengan sebegitu mudah,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, pelajar di negara ini tidak bebas kerana dikongkong oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan ia menjadi salah satu punca berlakunya perhimpunan seumpama itu di Dataran Merdeka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, akta tersebut tidak lagi relevan untuk digunapakai dan terpulang kepada kumpulan mahasiswa terbabit sama ada terus berkhemah atau menamatkannya, dengan syarat keamanan dan keselamatan terjaga.
Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-perlu-guna-konsep-islam-kata-hadi-1.41757?localLinksEnabled=false
No comments:
Post a Comment