Tuesday, April 10, 2012

Pekak(buat tak tahu) pendedahan 'task force' mala petaka negara

KUALA LUMPUR, 10 April: Tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah task force khas yang mewarga-negarakan warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN merupakan suatu malapetaka bagi negara.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar), tindakan terdesak BN itu jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara, kerana memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.
“Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan bumiputera dalam negara ini?
"Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini,” selar beliau.
Bahkan, kata Tuan Ibrahim, apa yang lebih mendukacitakan ialah sikap badan-badan NGO yang selama ini bertempik mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan tanahair sunyi sepi seolah-olah isu ini hanya rekaan pembangkang.
Mahfuz, yang juga ahli parlimen Pokok Sena sebelum ini mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Mahfuz turut mendakwa bahawa 'task force' tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara  Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Walaupun berat, Wan Ahmad hanya sekadar menafikan dakwaan beliau bahawa tidak terlibat dengan task force berkenaan dan Thajudeen berkata tidak tahu-menahu dengan apa yang didakwa Mahfuz.
Meskipun demikian, Mahfuz mempertahankan kenyataannya kerana mendakwa ada bukti kukuh membuktikan perkara berkenaan.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu turut menyatakan kesediaannya untuk membantu Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk untuk meneliti semua dakwaannya berhubung wujudnya 'task force’ tersebut.
“Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang. Kesediaan beliau untuk memberi segala maklumat kepada Suruhanjaya Diraja, merupakan tindakan berani bagi mendedahkan isu besar ini,” terang Tuan Ibrahim.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang berkata parti akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini.
“Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan oleh ahli parlimen Pokok Sena,” tegas beliau.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/9461-pekak-pendedahan-task-force-mala-petaka-negara

No comments:

Post a Comment