Friday, April 13, 2012

Adnan Yaakob kurang ajar’

Penduduk rumah pangsa kos rendah mendakwa diherdik oleh MB Pahang
TEMERLOH: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bertindak kurang ajar terhadap  seorang penduduk yang mengemukakan persoalan berkaitan sijil layak menduduki rumah (CF).
L Ramasamy yang menghuni rumah pangsa kos rendah di Taman Sri Kemuning selama 22 tahun berkata kejadian itu berlaku dua minggu lalu.
“MB memang bersikap kurang ajar. Kami tidak tahu harga rumah pangsa kos rendah.
“Pada peringkat awal MBSB (Malaysia Building Society Bhd) dakwa harga rumah adalah RM18,000, kemudian kata RM25,000,” kata beliau.
Isu CF
Justeru itu, dalam perjumpaan melibatkan 200 penduduk, MBSB dan Adnan,  Ramasamy bertanya mengenai CF.
Pertemuan di dewan Pejabat RELA bertujuan untuk menyelesaikan masalah perumahan khususnya berhubung bayaran kepada MBSB dan harga rumah.
Dalam ucapannya, Adnan berulangkali meminta penduduk membuat bayaran kos perumahan tanpa menyebut harganya.
“Selepas ucapan MB ada sesi dialog dan soal jawab lalu saya bertanya sama ada CF sudah diperolehi.
”Selama 22 tahun isu CF belum selesai dan bagaimana mahu bayar jika CF tidak ada?
Bayar dulu

“MB jawab bayar dulu duit rumah dan kemudian bincang tentang CF.
“Saya tanya lagi sebenarnya CF lulus atau tidak dan MB menjawab isu CF tidak timbul kerana yang lebih penting ialah bayaran perlu dibuat.
“Saya tak puas hati dengan jawapan MB kerana lebih 22 tahun CF perumahan kami tak dapat tetapi saya terus diam dan ambil keputusan untuk balik sahaja.
Apabila Ramasamy keluar, MB bertindak memanggilnya masuk kembali dengan menggunakan alat pembesar suara.
“Dengan kasar dan bersuara kuat menggunakan pembesar suara MB bertempik: Awak orang PKR, pergilah minta (rumah) dengan (Datuk Seri)  Anwar Ibrahim.”
MB marah
“Saya jawab kenapa cakap macam itu sebab Pahang di bawah perintah BN bukannya PKR, bukannya tanggungjawab Anwar tetapi MB dan kalau Anwar mesti tolong orang susah,” kata Ramasamy.
MB marah lalu merapatkan pembesar suara kepada Ramasamy sambil bertanya dengan suara kasar sebab Ramasamy menjadi ahli PKR.
“Saya jawab 21 tahun saya sokong BN tetapi saya tak dapat apa-apa.
“Saya beritahu, BN tak tolong orang susah dan masyarakat India makin tertindas sebab itu saya masuk PKR… kerana saya sayangkan negeri saya.
“Saya anak jati Pahang tetapi satu inci tanah pun saya tak ada,” ceritanya.

Dipujuk keluar PKR

Ramasamy ialah seorang ahli jawatan kuasa cabang PKR Temerloh.
Ramasamy mendakwa bahawa exco negeri dan ketua bahagian Umno Temerloh Datuk Sharkar Shamsudin kemudian berjumpa dengannya.
“Sharkar pujuk saya  keluar PKR dengan janji untuk tolong saya selesaikan masalah perumahan ini dan akan bawa saya jumpa MB,” kata Ramasamy yang menolak tawaran tersebut.
Ramasamy turut menyelar tindakan Adnan yang dianggap tidak profesional.
“Sepatutnya MB selesaikan masalah rakyat bukannya marah-marah dan cakap merapu. Saya juga kesal dengan perangai MB yang merapu dan langsung tidak profesional seperti itu.”
Ini bukan kes pertama di mana Adnan melepaskan rasa marah di khayalak umum.
Pada bulan lepas, dua wartawan diherdik Adnan.
Sebuah  NGO yang bernama Tukar turut ditubuhkan rakyat yang mahu Adnan disarakan dari persada politik ekoran tindakannya yang memarahi rakyat di khayalak ramai.

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/04/13/adnan-yaakob-kurang-ajar/

No comments:

Post a Comment