Sunday, April 22, 2012

Anak akan anjur perhimpunan raksasa jika resolusi gagal

Pengerusi Gerakan Selamatkan Felda, Mazlan Aliman
SHAH ALAM, 22 April —Konvensyen Hala Tuju Felda anjuran Gerakan Selamatkan Felda hari ini dijangka akan menghasilkan satu resolusi sebagai jalan alternatif berhubung isu penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) yang dijangka berlaku pada Jun hadapan. Pengerusi Gerakan Selamatkan Felda, Mazlan Aliman hari ini berkata, resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memberikan kefahaman kepada Putrajaya keburukan cadangan penyenaraian FGVH.
"Konvensyen hari ini akan menghasilkan satu resolusi yang akan diserahkan kepada perdana menteri supaya beliau mampu mempertimbangkan keputusan tersebut.
"Kebimbangan utama kami adalah Putrajaya sedang berusaha mencari dana bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang, bukannya ikhlas untuk membantu meningkatkan imej Felda," tegasnya.
Menurut pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) ini lagi, sekiranya Putrajaya masih lagi gagal mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu Felda ini, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan raksasa sebagai langkah terakhir menghalang usaha cadangan penyenaraian FGVH.
"Kami sudah melakukan segala usaha untuk menghalang penyenaraian ini. Daripada media, hinggalah kepada konvensyen hari ini.
"Sekiranya perdana menteri masih lagi tidak mengambil tindakan, kami akan menggerakkan 1.6 juta peneroka dari seluruh negara untuk mengadakan perhimpunan raksasa sebelum pilihan raya bagi menghalang penyenaraian," tegasnya lagi.
Jelas Mazlan, resolusi yang bakal dihasilkan hari ini akan menunjukkan masih ada jalan lain untuk membantu meningkatkan imej Felda selain daripada penyenaraian.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan, resolusi berkenaan akan diserahkan kepada Najib awal Mei depan, bagi menghalang penyenaraian tersebut.
Konvensyen hari ini turut disertai oleh panel-panel jemputan untuk membentangkan kertas kerja mereka bagi menerangkan keburukan berkenaan penyenaraian FGVH.
Antara panel terlibat adalah, Bekas Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakub, Bekas Adun Pulau Manis, Datuk Ariff Sabri, bekas Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF), dan juga Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, termasuk Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Source: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anak-akan-anjur-perhimpunan-raksasa-jika-resolusi-gagal/

No comments:

Post a Comment