Tuesday, April 10, 2012

Hapus PTPTN dan Pendidikan Percuma Rasional atau Tidak ?

1.  Isu penghapusan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional [PTPTN] semakin rancak apabila reaksi mahasiswa dan anak muda terhadap tindakan kerajaan menafikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta. Tan Sri Tajuddin menyebabkan liabiliti tanggungan RM8 bilion. YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak memutuskan hutangnya sebanyak RM589 juta kepada Dana Harta dihapus kira walaupun tiga tahun lalu mahkamah memerintahkan beliau melangsaikannya.

2. Berbangkitnya  isu PTPTN oleh anak - anak muda dewasa kini, juga ekoran tindakan PTPTN bermaharajalela melebihi Bank  dan dilihat menindas graduan. PTPTN tidaklah dilesenkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia. Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank kerana tidak membayar hutang, samaada hutang rumah atau kereta, mereka dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke mana-mana hatta ke luar negara sekali pun. 

Along Negara.

3. Malangnya kes PTPTN ini, sebagai contoh pada 8 Jun 2011, Mandeep Singh [ isu pelajar UNISEL ] telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011 pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai Imigresen kerana disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen Malaysia. Insiden ini menyebabkan PTPTN dilihat tidak ubah seperti Along berlesen.

4. Along berlesen ini terus menjadi igauan ngeri yang sering menghambat keselesaan hidup anak muda yang terlibat.  PTPTN asalnya bukan wajib dipinjam, ia adalah optional disamping biasiswa negeri dan JPA. Namun wang PTPTN terpaksa dipinjam kerana ibu bapa tidak terdaya menanggung bayaran pengajian dan kampus yang tinggi. Sehingga kini negara mempunyai  1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang berumur 20 hingga 35 tahun. Tapi  lihatlah apa musibah PTPTN ke atas mereka :

a]  Purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa.

b] Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. (66.9% disaman)

c] Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34% berbanding RM6.04 bilion, jumlah yang sepatutnya diperolehi,  maka seramai 132,801 pelajar telah disenarai hitamkan dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman.

Kurangkan beban rakyat 

5. Justeru telah menjadi suatu yang telah diketahui umum bahawa komitmen Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ialah menjaga kebajikan rakyatnya serta dalam masa yang sama memastikan pendapatan negara melalui pertumbuhan ekonomi sihat dan subur. 

6. Maka saya melihat Kerajaan Pakatan Rakyat kelak sangat berpotensi untuk melunaskan komitmen tersebut melalui pembentukan sebuah pentadbiran yang adil, amanah, telus dan berintegriti atau menepati piawaian sebuah kerajaan yang disebut sebagai Good Governence.

7.  Kerajaan selayaknya menjadi Payung Rakyat bukan menjadi Along Negara yang menghambat rakyat. Guna kekayaan anugerah Allah kepada negara kita untuk rakyat dan bangunkan negara melalui pembangunan yang memulangkan manafaat kepada rakyat terbanyak bukan hanya kepada kelompok elit dan kroni. Sebelum ini, sejarah  Kerajaan UMNO dan BN sering dilihat menggunakan wang negara bernilai tinggi untuk bailout dan menjaga kepentingan syarikat GLC dan kroni yang mengalami kerugian besar dan hampir bankrap. Sebagai contoh mudah ialah :

a] MAS yang rugi sebanyak RM478 juta dan kerugian bersih setakat ini, sebanyak RM 1.2 billion. Bagaimana syarikat MAS mampu survive jika tanpa campur tangan kerajaan yang menyokong syarikat berkerugian besar ini ? persoalan lain yang berkaitan ialah bagaimana syarikat yang sepatutnya membawa pulang keuntungan besar tiba - tiba mengalami kerugian berskala besar pula ?

b] Syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan telah membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjanakuasa bebas milik Ananda Krishnan yang memiliki loji janakuasa di serata Asia. Dilapor oleh The Singapore Straits Times  bahawa 1MDB telah mengambil alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.

c] Menyuntik modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil alih oleh bank milik UMNO, Bank of Commerce dan membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCBB)

d] Pembelian saham Technology  Resource Industries (TRI) oleh Dana Harta

e]  Pengambilalihan Celcom, anak syarikat TRI oleh Telekom

f]  Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS

g] Memaksa Petronas membeli saham Proton dan ambil alih Litar Sepang

h]  Pengambilalihan semula MAS oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajuddin Ramli yang bernilai RM 1.8 bilion

i] Pengambilalihan syarikat UMNO, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Dana Harta

j] Pelaburan Tabung Haji melalui TH Technologies Sdn Bhd dalam projek ERL dengan penguasaan 80% saham yang menguntungkan kroni Perdana Menteri yang menjadi rakan kongsi YTL Corporation

k] Mamaksa Dana Harta menanggung hutang lapuk berjumlah RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain.

l] Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian.

8. Melalui pentadbiran jimat cermat dan bebas rasuah, saya berkeyakinan Kerajaan Pakatan mampu melunaskan komitmen yang diberi. Selama ini, dibawah pentadbiran UMNO dan BN, dana negara tiris dan bocor lalu mengalir ke longkang projek yang tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat terbanyak. Sebagai contoh : [ wang negara boleh dijimatkan jika tiada perkara ini ]

a] Projek Menara 100 tingkat

b] kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM 15.8 bilion.

c] PERMATA [Rosmah]  projek tanpa hasil signifikan kepada pembangunan negara. Perlaburan yang kabur dan tiada pulangan dalam masa terdekat.

9. Realitinya, sejumlah RM 28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2009.  Jika ketirisan wang negara [peruntukan kerajaan] dapat dikawal, RM 28 bilion dan untung Petronas RM 90 bilion sepatutnya mampu untuk meringankan beban rakyat terutama dalam menjamin masa depan pendidikan rakyat.

Bagaimana PTPTN boleh mansuh.

10. Sebenarnya tidaklah sukar untuk melihat PTPTN ini dimansuhkan. Justeru PTPTN adalah simptom akibat tradisi korporat, komersial dan kapitalisme dalam kampus tempatan sehingga menyebabkan pendidikan tinggi sebagai suatu perjudian sehingga mahasiswa dan keluarga mereka terpaksa bergolok gadai. 

11. Jika Pakatan Rakyat benar - benar mampu mengawal pentadbiran dan dana negara dari pembaziran, rasuah, ketirisan dan penyelewengan ditambah pula keupayaan menjana pertumbuhan ekonomi sihat dan subur, maka kerajaan boleh menyediakan pakej kos pengajian tinggi yang paling minima dan tidak membebankan,  malah boleh sampai ke peringkat menyediakan tawaran pendidikan percuma kepada rakyat. Apabila ini boleh dilakukan dan sepatutnya kerajaan boleh melakukannya, maka dengan sendirinya tiada siapa yang akan pergi menjerut leher di pintu masuk PTPTN.

Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi .
Suatu Sorotan .

12. Kelihatan retorik dan tidak relevan tetapi ia [pendidikan pengajian tinggi percuma] adalah suatu kewajipan asas bagi sesebuah kerajaan adil perlu diberikan kepada rakyat. Negara Libya [era Gaddafi ] pernah mencipta rekod pendidikan percuma dan elaun khas untuk mahasiswa yang berjaya ke menara gading. Libya hanya memutar wang minyak sahaja kepada kebajikan rakyat bukan melalui sumber lain selain polisi kerajaan untuk berjimat.

13.  Belum ada kes atau rujukan negara yang muflis atau mundur kerana pendidikan percuma, sebaliknya pendidikan tinggi adalah modal pembangunan kerajaan bahkan negara akan mudah maju dan makmur jika ramai mahasiswa dapat dihasilkan.

14.  Mahasiswa atau graduan yang kurang atau tiada hutang akan menjadikan mereka lebih fokus untuk memajukan diri, industri dan negara bukan sekadar bekerja over time siang malam untuk memikirkan hutang keliling pinggang.  Natijahnya mahasiswa yang gradusi dengan hutang tinggi akan menghasilkan modal insan robot yang bekerj untuk tembolok sendiri.

15. Negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi ialah :

Sweden
Norway
Finland
Arab Saudi,
Kuwait
Cuba
Sri Lanka

16. Selepas yuran kampus dihapuskan, tiada lagi keperluan institusi kewangan atau tabung tertentu untuk memenuhi kehendak kapitalisme menara gading. Jua tidak lagi perlu berhutang dari Along Negara dan Along Negara bolehlah gulung tikarnya.

Contoh pengiraan  [Universiti Malaya]

a] 20,000 orang pelajar dengan yuran sebanyak RM3,000 setahun.  

b] RM3,000 x 20,000 orang berjumlah RM60 juta.

c] Jumlah IPTA terkini 20 buah : 

1. Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, 
2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor,
3. Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor, 
4. Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, 
5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor, 
6. Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pahang, 
7. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), KL, 
8. Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, 
9. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak, 
10. Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah, 
11. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, 
12. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), N9, 
13. Universiti Teknologi MARA (UiTM), Selangor, 
14. Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu, 
15. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, 
16. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka, 
17. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis, 
18. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Terengganu, 
19. Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan, 
20. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), KL

d] 20 buah x RM 60 juta = RM 1200 juta  [RM 1.2 bilion]

17. Jumlah ini masih mampu ditanggung kerajaan jika pembelian atau bailout syarikat kroni tidak dilakukan secara berleluasa serta wang tiris dikawal sementara wang untung seperti yang dihasilkan oleh Petronas diurus secara telus. Rakyat terbanyak akan mendapat manafaat dari konsep Negara Berkebajikan yang jelas menepati kehendak Allah swt dan melandasi WahyuNya.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan rezeki ) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah al A'araaf : 96

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

No comments:

Post a Comment