Thursday, September 6, 2012

Kerjasama PR Pahang padu, siap-sedia hadapi PRU13



TEMERLOH: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Pahang (MPPRN) menegaskan bahawa kerjasama di antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) Negeri Pahang berada dalam suasana sangat kondusif dan padu.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penegasan tersebut dibuat ekoran cubaan beberapa media yang cuba memesongkan persepsi awam bahawa kononnya hubungan di antara parti komponen PR Pahang berantakan ekoran beberapa isu dalaman khasnya berkaitan pembahagian kerusi di peringkat negeri.

“Sehubungan dengan itu MPPRN Pahang menyeru dan menasihatkan semua kepimpinan mahupun ahli-ahli daripada PAS, DAP dan PKR tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung perkara berbangkit khususnya mengenai proses pembahagian kerusi.

“Sebagai petugas parti kita akur dengan apa jua keputusan yang akan dibuat pimpinan tertinggi,” katanya semasa sidang media khas melibatkan pemimpin tertinggi PR Pahang di bangunan PAS Pahang di sini.

Berikutan itu Tuan Ibrahim menyeru semua ahli memberikan mandat dan keyakinan penuh kepada kepimpinan PR untuk menyelesaikan perundingan kerusi dengan semangat muafakat yang telah terjalin baik.

Berkenaan pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang bakal diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, beliau menyeru kepimpinan dan ahli-ahli PR di semua peringkat berusaha bersungguh-sungguh di semua kawasan untuk meningkatkan sokongan dan keyakinan daripada semua lapisan masyarakat.

Turut hadir Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah, Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Setiausaha DAP negeri Choong Siew Onn serta anggota harian Badan Perhubungan PAS Pahang.

Sidang media khas diadakan berikutan laporan negatif beberapa media yang cuba melaga-lagakan kenyataan pemimpin PKR dan DAP negeri ini berkaitan tuntutan bertindih beberapa kerusi negeri ini yang diserahkan keputusannya kepada Majlis Presiden PR.

Negeri Pahang sebelum ini dianggap penganalisis politik antara tiga negeri kubu kuat BN dan kekal kepada parti itu selain Johor dan Melaka, namun berdasarkan senario terbaru keputusan tersebut boleh berubah pada PRU akan datang.

Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat turut merakamkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Undang-Undang Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah, 88, yang meninggal dunia akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya Kuala Lumpur semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di pusat perubatan itu kira-kira pukul 3.30 petang di sisi isterinya Toh Puan Zainon Hussaiin serta keluarga.

Allahyarham yang juga Presiden Seumur Hidup Majlis Olimpik Malaysia, memulakan karier politiknya sebagai Ahli Parlimen kawasan Raub, Pahang (1967) dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (1967-1969), seterusnya menjadi Menteri Penerangan dan Penyiaran (1969-1971), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1971-1973), Menteri Pertahanan (1973-1974) dan Menteri Perdagangan dan Industri (1974-1978).

Jawatan terakhir Allahyarham adalah sebagai Menteri Undang-undang dan Peguam Negara sebelum bersara daripada Kabinet pada September 1980.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12938-kerjasama-pr-pahang-padu-siap-sedia-hadapi-pru13

2 comments:

  1. tuan ibrahim sibuk mencari kelemahan dan kesalahan musuh no 1 nya iaitu BN tapi dia sendiri tak membela kezaliman, penyelewangan da salah pengurusan yg berlaku dalam PAS sendiri ...kesian kat ustaz ni .. kat padang masyar dia lebih maklum banyak yg akan dipersoal ..

    rujuk semua dibawah

    1.http://www.youtube.com/watch?v=4RX-f4hOtW8&list=UUtxejxSxLom7LTAoILoqIzA&index=3&feature=plcp

    2. http://fantrealika.tripod.com/memali3.htm

    3.http://www.youtube.com/watch?v=fg9wPUDw854&feature=relmfu

    banyak lagi nak disenaraikan ...carilah sendiri ...
    luang2kan masa baiki juga pas yg dah rosak dalamnya ...nampak cantik Islamnya di luar ...

    ReplyDelete
  2. pesanan di atas juga turut ditujukan kepada UYE ...jgn sibuk datang KL bertazkirah, luangkan masa juga lihat apa2 yg tak betul dlm PAS supaya kita tak leka dijanjikan SYURGA tapi hakikatnya Neraka yg sedang menanti kita ...

    ReplyDelete