Wednesday, July 4, 2012

Terdapat Perbezaan Ketara Diantara UMNO & PAS Menyebabkan ramai Artis Pilih PAS

Alhamdulillah, ramai artis berhijrah

PETALING JAYA: “Sebenarnya baru kini saya faham bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan,” kata Abby Abadi. Beliau merupakan seorang lagi artis yang dibuka pintu hatinya untuk menerima pancaran cahaya hidayah daripada Allah SWT.

“Sekiranya saya tidak dibenarkan lagi keluar di televisyen …..tak apalah, sebab saya sayangkan agama saya.

“Demi agama Islam, saya tidak lagi takut kepada manusia dan bimbang akan kehilangan semua kerana ianya datang daripada Allah,” katanya ketika berceramah di atas pentas PAS di Kuala Kedah baru-baru ini.

Kelmarin Hairie Othman, pelakon filem Leftenan Adnan menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat pada majlis Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Johor di Johor Baharu.

Nampaknya semakin ramai golongan artis dilanda gelombang kebangkitan Islam dewasa ini dan kembali insaf untuk mempelajari ilmu- ilmu agama bagi mendekatkan diri kepada Allah.

Di antara mereka ialah selebriti seperti Bob Lokman, penyanyi Aishah, pelawak Leman Raja Lawak, Sham Kamikaze dan Raja Dangdut Iwan Syahman yang kembali ke pangkal jalan dan mengenal siapa diri mereka sendiri dalam erti kata yang sebenarnya.


Insaf

Kebanyakan artis yang telah insaf memilih pentas PAS untuk menceritakan pengalaman mereka dan ingin bersama-sama berjuang untuk menegakkan kalimah Allah melalui parti Islam itu.

Artis seperti Abby Abadi sedar bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan.

Perjuangan PAS yang mengadunkan kerja-kerja dakwah untuk melaksanakan hukum Allah dan pada masa yang sama melibatkan diri dengan aktiviti politik adalah bersesuaian dengan jiwanya.

Apatah lagi PAS dipimpin oleh para ulama’ seperti Nik Aziz dan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menguasai ilmu duniawi dan ukhrawi, lebih-lebih lagi mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran dan kenegaraan menurut acuan Islam.

Kini mereka melihat parti Umno sebagai sebuah parti sekuler, perkauman, memisahkan agama dan politik dan ahli-ahlinya semakin jauh daripada Islam berdasarkan peristiwa dan insiden yang berlaku mutakhir ini.

Budaya rasuah, samseng, adu dumba, memfitnah, video lucah, senaman buntut dan berbagai penyelewengan dalam Umno selama ini adalah tidak lagi dipandang sesuai dan relevan pada masa ini.

Sebaliknya mereka melihat PAS sebagai sebuah parti yang bukan sahaja mampu menyekat gejala sosial dan keruntuhan moral terutama di kalangan anak muda dan remaja hari ini tetapi sentiasa berusaha untuk mendaulatkan Islam.

Dekatkan diri dengan Allah

Dalam gerakerja dan aktiviti PAS, terdapat pengajian ilmu agama, usrah, tamrin, halaqah termasuk penganjuran ibadat-ibadat khusus seperti solat berjemah, berdoa, bermunajat yang bertujuan untuk mendapat pengampunan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Memandangkan terdapatnya perbezaan yang ketara ini di antara Umno dan PAS maka ramai artis mengambil keputusan untuk menyertai perjuangan PAS yang menerima Al Quran dan As-Sunnah sebagai perundangan yang tertinggi seperti tercatat dalam perlembagaan PAS.

Sesungguhnya para artis ini telah menyahut seruan Allah seperti firmanNya dalam ayat 11 dari Surah Ar-Raad, yang selalu kita dengar, yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri sendiri.”

Penghijrahan beramai-ramai artis juga membuktikan bahawa perjuangan PAS selama ini berada pada landasan yang betul dan benar dan sekaligus menolak tohmahan Umno yang masih berpegang dengan fahaman kuno bahawa agama dan politik tidak boleh bercampur.

Abby Abadi merupakan contoh seorang artis yang memahami hakikat bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan.

Alhamdulillah, semakin ramai artis berhijrah….. -FMT

Source: http://greenboc.blogspot.com/2012/07/terdapat-perbezaan-ketara-diantara-umno.html

1 comments:

  1. alhamdulillah.... tahniah kpd smua artis2 yg telah msk pas.

    ReplyDelete