Monday, December 21, 2009

HIJRAH ar-Rasul saw.......TIGA PERINGKAT HIJRAH

Salam teman-teman,

Ada tiga peringkat hijrah di masa RasuluLlah saw iaitu
•Hijrah ke Habsyah.
•Hijrah ke Taif.
•Hijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Perlu difahami bahawa Nabi Muhammad saw tidak terlibat dalam hijrah ke Habsyah. Setiap hijrah memberi pengajaran bagi Islam dan umat Islam. Mari kita lihat kupasan yang ditulis oleh Dr Mustafa as-Siba'ie dalam bukunya SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W.....PENGAJARAN & PEDOMAN.

Hijrah Ke Habsyah

Melihatkan kedegilan dan penyiksaan berterusan Quraisy terhadap para sahabat, RasuluLlah s.a.w. berkata kepada para sahabatnya: "(Bagaimana) kalau sekiranya kamu keluar ke bumi Habsyah. Di sana ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa yang tinggal di negerinya. (Kamu tinggal di sana) sehinggalah Allah menjadikan untuk kamu jalan keluar kepada kesulitan kamu ini."

Oleh itu, para sahabat berhijrah ke sana untuk kali pertama seramai 12 orang lelaki dan 4 wanita. Namun, selepas menerima khabar pengislaman Umar dan kejayaan Islam, mereka pulang kembali ke Makkah. Akan tetapi, tak lama kemudian mereka pergi semula ke Habsyah bersama orang-orang mukmin yang lain. Bilangan mereka dalam hijrah kali kedua ke Habsyah ini seramai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita.

Pengajarannya :
1- Apabila pendakwah mendapati jamaahnya dalam bahaya, sama ada kepada nyawa
atau berbentuk ancaman fitnah kepada pegangan akidah, dia mestilah menyediakan tempat
yang selamat untuk penyokongnya daripada pencerobohan golongan batil tersebut. Usaha ini
tidak menafikan kewajipan para pendakwah kebenaran untuk berkorban.
Namun jika
bilangan mereka sedikit, golongan batil akan berjaya menghapuskan mereka dan
melenyapkan dakwah sekaligus. Sementara kewujudan mereka di tempat yang selamat,
menjadi jaminan kepada kesinambungan dakwah dan penyebarannya.

2- Perintah Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah sebanyak
dua kali menunjukkan ikatan agama sesama golongan beragama (walaupun berbeza agama mereka) adalah lebih kuat dan kukuh. Ini berbanding ikatan mereka dengan penyembah berhala dan golongan atheis. Agama-agama Samawi dari segi sumber dan asas-asasnya yang sohih, sepakat dalam objektif utama sosial. la juga sepakat dalam persoalan keimanan kepada Allah, rasul-rasul-Nya dan hari Akhirat. Kebersamaan ini menjadikan jalinan kekerabatan antara agama-agama ini lebih kukuh berbanding mana-mana jalinan lain; Sama ada ikatan kaum kerabat, hubungan darah ataupun tempat tinggal yang berpasakkan pegangan atheism, keberhalaan dan kekufuran terhadap syariat Allah.

3- Golongan batil tidak mudah menyerah kalah kepada pendokong kebenaran. Setiap
kali usaha pembasmian dakwah yang digunakan gagal mencapai objektifnya, mereka akan
mencipta cara dan medium yang lain. Demikianlah penentangan ini akan berterusan
sehinggalah kebenaran benar-benar mencapai kemenangan yang muktamad dan
kebatilan menghembus nafasnya yang terakhir.

Hijrah Ke Taif
Nabi saw ke Taif (80 kilometer dari Mekah)bersama anak angkatnya Zaid bin Harithah. Nabi saw ke Taif setelah mendapati dakwah Islam tidak mendapat sambutan dari penduduk Mekah.

Nabi saw. hanya sempat berada sepuluh hari di bumi Taif . Nabi saw. menyampaikan Islam kepada pemimpin dan pembesar Taif namun seringkali pula Nabi saw. menerima jawapan :` Keluarlah kamu dari negeri kami ’ . Bahkan mereka mengupah orang – orang bodoh dikalangan mereka untuk memaki hamun Nabi saw dan melontarkan batu ke arahnya sehingga tumit baginda berlumuran darah .

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي وقلة حيلتي وهواني على الناس يا أرحم الراحمين إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني أم إلى قريب ملكته أمري إن لم تكن ساخطا علي فلا أبالي غير أن عافيتك أوسع لي أعوذ بنور وجهك الكريم الذي أضاءت له السموات وأشرقت له الظلمات وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة أن تحل علي غضبك أو تنزل علي سخطك ولك العتبى حتى ترضى ولا حول ولا قوة إلا بك


Ya Allah Ya Tuhanku , Kepada mu aku mengadu lemahnya kekuatanku , sedikitnya helahku dan betapa hinanya aku dikalangan manusia . Ya Tuhan Yang paling Penyayang dikalangan yang Menyayangi ,

Engkaulah Tuhan kepada orang – orang yang lemah tertindas . Engkaulah Tuhan ku . Kepada siapakah Engkau serahkan diriku , Adakah kepada orang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau pun kepada musuh yang engkau berikan kepadanya milik untuk menguasai urusanku ?

Jika tidak ada kepada – Mu murka terhadapku , aku tidak peduli , tetapi kemaafan-Mu lebih luas kepada ku . Aku berlindung dengan wajah-Mu yang telah Engkau pancarkan ke arah segala kegelapan , menjadi baiklah di atasnya segala urusan dunia dan akhirat .

Aku berlindung daripada turunnya ke atas ku murka – Mu atau berlakunya ke atas ku murka Mu . Kepada Mu pengaduan yang sungguh – sungguh sehingga mencapai keredhaanMu . Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu .

Pengajarannya:
1- Pendakwah hendaklah sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyebarkan dakwah.
2- Pendakwah hendaklah banyak bersabar dengan kerenah orang ramai yang sasaran dakwah(mad'u).
3- Pendakwah hendaklah sentiasa berdoa kepada ALlah dan mengharapkan hidayah kepada mad'u.
Sekian, terima kasih

No comments:

Post a Comment