Tuesday, October 21, 2008

HAJI MABRUR Siri 2 - Haji tidak sah dan tertolak

Assalamu'alaikum.
Apa sahaja yang kita lakukan samada ibadat, berpakaian, bekerja dan berhiburan.....kita mengharapkan keredhaan dan diterima oleh ALlah.
Antara sebab haji tidak sah ialah berkait dengan 'aqidah. Cuba teliti syarat-syarat wajib dan sah haji;
1. Islam, tidak wajib dan tidak sah kepada orang kafir.
2. Baligh, tidak wajib ke atas kanak-kanak.
3. Berakal, tidak wajib ke atas orang gila.
4. Merdeka, tidak wajib ke atas hamba.
5. Berkemampuan.
Bakal-bakal haji hendaklah memasti bahawa 'aqidah mereka adalah benar. Begitu jangan merosakkan iman dengan melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat. Kalau iman rosak atau batal macamana haji nak dapat haji mabrur?
Lihat syarat no 1. 1. Islam, tidak wajib dan tidak sah kepada orang kafir.
Seseorang yang menganut Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah tidak akan kekal selama-lamanya. Dia ada peluang rosak dan batal sebagaimana wuduk dan solat APABILA melakukan perkara-perkara samada dari segi iktikad (hati), perkataan dan perbuatan.
Jagalah 'aqidah-iman supaya tidak batal. Kerana mulut, aqidah binasa. Lihat apa yang diutara dalam kitab Mustika Hadith keluaran Jabatan Perdana Menteri;
Dalam kitab Mustika Hadith (Dato’ Haji Muhammad Noor Ibrahim dll) telah membahagikan perkara yang merosakkan iman dan Islam kepada tiga bahagian:

1- Iktikad - اعتقاد
Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar Islam iaitu:
a- Iktikad bahawa alam ini qadim, tidak ada penciptanya, atau alam ini kekal selama-lamanya.

b- Iktikad bahawa pencipta alam ini baharu (lawan qadim) atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu ataupun mempunyai anak isteri atau berbilang-bilang atau menerima mati.

c- Iktikad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh RasuluLlah saw atau iktikad bahawa Nabi Muhammad saw yang sebenarnya ialah disebutkan oleh Muhammad batin bukan Muhammad yang zahir, atau iktikad bahawa kerasulan Nabi Muhammad saw hanya untuk orang-orang Arab sahaja atau iktikad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman.


2 - Perkataan - قول .
Perkataan iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifatNya, MalaikatNya, RasulNya, KitabNya dan hukum-hakam yang diterangkan oleh RasulNya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu daripada agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

a- Hukum apa ini?
b- Hukum ini sudah lapuk.
c- Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalangi kemajuan.
d- Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus.
e- Berzina kalau suka sama suka apalah salahnya.
f- Minum arak kalau bertujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.
g- Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
h- Kalau hendak sangat menurut hukum Islam sampai Qiamat kita tak maju.

# ramai orang-orang Melayu Islam menutur ucapan-ucapan di atas.

3- Perbuatan - فعل
a- Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walaupun tidak berniat menghormatinya sama seperti Tuhan atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya rukuk sembahyangdengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah. Kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadi orangyang melakukan itu murtad,tetapi hukumnya tetap haram.

b- Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhlukyang disembah aleh arang-arang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.

c- Melakukan mana-mana upacara ibadat terhadap yang lain dari Allah
.
d- Meletakkan ayat-ayatsuci,Hadis-hadis Nabi,nama-nama Tuhan,Rasul-rasulNya,Malaikat-malaikatNya,dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya,kalau tidak dengan tujuan tersebut maka hukumnya tetap haram.

e- Meninggalkan sembahyang. Orang yang meninggalkan sembahyang fardhu,jika ia ingkar wajibnya,jadilah ia kafir murtad keluar dari Islam,kerana ia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara ituadalah satu perkara yang wajib di atas tiap-tiap orangIslam,selama akalnya sihat.


Bagaimana pula yang buat syirik/khurafat di Mekah dan Madinah. Antaranya:

1. Memohon sesuatu hajat kepada tuan kubur samada kubur Nabi atau para sahabat.
2. Mempercayai kelambu Ka'bah boleh mendatangkan manfaat seperti untuk pengubatan.
3. Bergayut pada dinding Ka'bah atau Kelambu kerana memohon hajat.

- Siri berikut kita akan menyentuh batal haji dalam bahagian feqah khususnya tentang bersuci dan tawaf.

No comments:

Post a Comment