Thursday, February 11, 2010

Memahami Fitnah (Cabaran) Dalam Dakwah & Jamaah - DI MANA KITA?

Salam sahabat-sahabat,

Hari ini(khamis) selepas solat Subuh di surau Pondok Pemuda al-Khalthumiah Batu Tiga Kuantan, saya tidur puas-puas jam 10 pagi baru bangun. Lantas saya terfikir apa nak dimuatkan dalam blog saya setelah dua hari tidak diupdatekan. Buka kitab sana tak jadi, buka kitab sini tak jadi. alhamduliLLah bila buka blog sendiri maka terpandang beberapa blog sisipan di blog saya antaranya blog tantawi, syeikh yusainnei dan hazmi dibok.

Maka saya sangat tertarik dengan posting dalam blog ustaz Mohd Hazmi Dibok yang bertajuk Memahami Fitnah (Cabaran) Dalam Dakwah & Jamaah.

Saya kira kita kena baca dan wajib baca supaya kita tidak termasuk di kalangan pembawa dan pembuat kerosakan dalam parti dan jamaah Islam.

1. Golongan yang berbisik-bisik di belakang atau tidak melalui saluran jika tidak berpuas hati dan menimbulkan puak-puak dalam jamaah.

"As-Syahid Sayyid Qutb ketika menafsirkan ayat yang membicarakan tentang berbisikan (Surah An-Nisak ayat 114-pen) berkata : Nampaknya sebahagian kaum muslimin - yang terdiri drpd mereka yang belum sensitif dengan deria tanzim Islami (gerakan Islam)- ketika berlaku sesuatu perkara, mereka berkumpul sesama sendiri untuk bersembang-sembang dan berbisikan serta bermesyuarat jauh dari pantauan qiadah (pimpinan) mereka.

Kaedah ini tidak diperakui oleh tabiat perjalanan Jamaah Islam dan ruh tanzim Islami yang menuntut agar segala pandangan, pendapat dan cadangan (atau kritikan) yang timbul hendaklah dibentangkan kepada qiadah secara lansung (face to face). Perkumpulan-perkumpulan pinggiran (klik atau team) dalam jamaah adalah tidak dibenarkan.

Adalah diperhatikan bahawa perkumpulan-perkumpulan yang wujud di dalam jamaah akan menyebabkan keadaan kucar-kacir dan menyusahkan jamaah, sekali pun orang yang melakukannya tidak berniat demikian (mungkin niat kerana sayangkan jemaah). Tetapi, cara pengutaraan permasalahan semasa yang dihadapi atau pembentangan pendapat dan cadangan (atau kritikan) dengan cara demikian (tidak melalui saluran) sudah cukup untuk membawa kepada kesulitan dan ketidak patuhan." [Fi Zilal Al-Quran, 6/351]


2. Penimbul fitnah (perpecahan) dalam jamaah seringkali menggunakan alasan yang indah untuk menjustifikasi tindakan

Sikap menjustifikasikan tindakan sumbang dengan alasan yang indah (cth : kerana sayangkan jamaah) ini adalah merupakan syiar golongan kafir yang menjangkiti penimbul fitnah dalam jamaah Islam.

"Kemudian ada pemimpin yang dituduh tidak memahami permainan politik. Qiaskan apa yang berlaku sekarang dengan apa yang telah berlaku dahulu. Al-Quran telah memberi amaran kepada kita daripada terlibat dengan tuduhan-tuduhan tersebut kerana ia merupakan syiar golongan kafir. Firaun (dan menteri-menterinya) telah berkata tentang Nabi Musa a.s ;

{dan Firaun berkata ; Biarkan aku membunuh Musa dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya kerana aku bimbang dia akan menukar agama kamu atau dia akan menimbulkan kerosakan di muka bumi} - Surah Al-Ghafir ayat 26

{Dan berkata pula ketua-ketua dari kaum Firaun ; Adakah kamu (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir)} - Surah Al-A'raf ayat 127

Bukankah inilah perkataan yang turut digunakan oleh setiap thagut yang melakukan kerosakan di atas muka bumi dan mendakwa yang yang mereka melakukan pembaikan?

Bukankah ia merupakan perkataan batil yang hodoh dan digunakan bagi berhadapan dengan kebenaran yang indah?

Bukankah ia juga perkataan yang digunakan oleh si penjahat bagi membangkitkan keraguan dan syak wasangka di sisi seorang yang beriman lagi tenang?

Logik yang digunakan adalah sama. Ia berulang ketika bertembung di antara kebenaran dan kebatilan, iman dan kufur, kebaikan dan keburukan di sepanjang zaman dan setiap tempat. Kisah ini sentiasa berulang dari masa ke semasa" [Fi Zilal Al-Qur'an, 5/3078]

Oleh itu para daie hendaklah sentiasa berwaspada daripada menyerupai golongan kafir, iaitu dengan mengadakan alasan ;

- bahawa fitnah yang digembar-gemburkan bertujuan untuk membaiki,
- bahawa mereka keluar dari jamaah demi melakukan pembetulan,
- bahawa bisikan yang dilakukan di kalangan mereka bertujuan untuk berbincang (wacana),
- bahawa umpatan yang dilakukan bertujuan untuk mewujudkan suasana dialog,
- bahawa percanggahan dengan pemimpin atas alasan kebenaran bukannya satu,
- bahawa ketidak tegasan (dengan Islam-pen) dengan hujjah untuk mendapatkan sokongan,
- bahawa tidak taat kepada dakwah atas alasan mempermudahkan (dinamik)
- bahawa mengkritik golongan yang membawa kebaikan dengan alasan (kebaikan) itu subjektif,
- bahawa meninggalkan dasar-dasar syarak dengan hujjah maslahah,........

Tetapi, kerosakan adalah tetap kerosakan, tidak boleh diubah oleh ibarat dan lafaz yang digunakan untuk menggambarkannya. Tetap teguh di atas manhaj adalah lebih utama daripada mendapat sokongan yang cepat. Kesatuan jamaah adalah daripada lebih utama mendapat sokongan di dalam satu-satu situasi. Kemaslahatan umum mengatasi kepentingan individu.

* Petikan dari buku Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah - Muhammad Ahmad Ar-Rashid m.s. 33
* Petikan dari buku Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah - Muhammad Ahmad Ar-Rashid m.s. 55-57

1 comments:

  1. Mabruk ustaz...sedang ulangkaji buku yg ustaz rujuk

    ReplyDelete