Monday, June 29, 2009

SIAPA LAYAK JADI AHLI JAWATANKUASA MASJID? .......negeri Selangor telah dan sedang menyusun. SIRI 2

Salam para muslim dan muslimah,
Baru sampai kat umah di Kuantan, saya out station 2 or 3 hari. Itu sebab 2 hari ntak up date blog. Kita sambung cerita pasal kelayakan untuk menjadi ahli jawatankuasa masjid termasuklah pegawai masjid dan penyampai ilmu(khatib n pengkuliah) di masjid dan surau.

ORANG YANG LAYAK MENJADI AHLI JAWATANKUASA MASJID
Allah berfirman lagi,
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـجِدَ اللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَوةَ وَءاتَى الزَّكَوةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللَّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” At-Taubah : 18.

Masjid adalah bangunan yang sengaja dibina bagi membolehkan orang-orang Islam dan orang-orang mukmin menziarahi Allah. Dalam satu hadith Qudsi, Allah swt ta’ala berfirman, yang bermaksud: “ Ketahuilah bahawa rumah-Ku di bumi ialah masjid. Maka berbahagialah bagi orang-orang yang menziarahi-Ku. Terhadap para penziarah rumah-Ku itu berhaklah mereka menerima layanan baik dari-Ku”.

Melalui hadith qudsi itu, ALlah mengakui bahawa masjid-masjid itu adalah rumahNya. ALlah menawarkan layanan istimewa terhadap para pengunjungnya. Para pengunjungnya tidak lain ialah golongan mukmin; semestinya merekalah golongan yang mengingati ALlah. Keengganan atau kurangnya minat sesetengah orang mukmin mengunjungi masjid laksana orang yang tidak sudi melawat ke rumah orang yang telah berbuat baik kepada mereka. Terhadap sesama manusiapun, sekiranya seseorang itu berbuat baik kepada kita, tentulah timbul perasaan di hati untuk mengucap terima kasih. Kalau boleh setiap ketika kita ingin berkunjung ke rumahnya untuk membalas budi baiknya. Mungkin akan terkilan di hati sekiranya kita tidak menemui dan menziarahi rumahnya, apatah lagi jika saban hari lalu di hadapan rumahnya. Betapalah pula terhadap ALlah swt yang menciptakan manusia dan alam seluruhnya, yang telah mengurnikan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Kurnianya yang paling agung yang wajib disyukuri ialah apabila dihantarkan para Rasul kepada masyarakat manusia serta diturunkan kitab-kitab sebagai panduan manusia demi kebaikan di dunia dan di akhirat.

Dalam keadaan demikian orang-orang mukmin itu dikira tidak menghargai kurnia ALlah. Lebih-lebih lagi apabila ALlah mengisytiharkan bahawa masjid-masjid itu sebagai rumahNya. Jika orang mukmin tidak mengunjungi masjid-masjidNYA beerti mereka tidak mengenang budi dan tidak bersyukur anugerah nikmatNYA yang tidak terhingga.

Semakin kerap seorang mukmin berkunjung ke masjid beerti semakin kerap mereka menyatakan kesyukuran terhadap ALlah.

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـجِدَ اللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَوةَ وَءاتَى الزَّكَوةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللَّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” At-Taubah : 18.

Dalam ayat ke 18 di atas, ALlah menjelaskan siapakah orang-orang yang layak memakmurkan masjid ALlah, yang layak jadi pengerusi atau nazir, jawatankuasa serta pegawai masjid untuk mentadbir masjid, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :

“Hanya sesungguhnya yang (layak) memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat…….”

Sebelum seseorang itu pergi ke masjid Allah dengan tujuan hendak memakmurkannya, perlulah memastikan dirinya sama ada sebenarnya beriman dengan Allah Taala dan juga beriman dengan hari Akhirat. Beriman dengan Allah Taala adalah menjadi asas keimanan kepada yang lain-lainnya. Ini kerana apabila seseorang itu beriman dengan Allah s.w.t. mereka mestilah beriman dengan Rasul-Nya, beriman dengan kitab-kitab-Nya, beriman dengan malaikat-Nya, beriman dengan qadha dan qadar dan seterusnya beriman dengan hari Akhirat. Beriman dengan hari Akhirat telah digandingkan dengan beriman kepada Allah dalam ayat ke 18 surah At-Taubah. Ini sesuai dengan naluri dan kehendak manusia yang ingin hidup lama dan kalau boleh, tidak mati-mati. Kematian yang menimpa manusia bukan bererti tamat riwayat hidup manusia. Mati hanyalah menyingkap tabir pemisah antara kehidupan di dunia dengan kehidupan abadi. Alam Barzah adalah tempat yang memisahkan antara kehidupan di alam fana dengan kehidupan di alam akhirat yang abadi.

Beriman dengan Allah Taala bukan sekadar menyebutnya dengan lidah semata-mata. Justeru beriman dengan Allah Taala itu bererti mereka beriman dengan firmannya iaitu wahyu Allah yang terkandung di dalam Al-Quran secara keseluruhan. Bukan sekadar percaya dan mengamalkannya hanya pada ayat-ayat yang berhubung dengan ibadah khusussiah seperti solat, puasa, zakat dan haji, sedangkan ayat-ayat yang berhubung dengan pembinaan negara Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah diketepikan dari urusan bernegara. Sikap menerima separuh dari firman Allah dan menolak sebahagian yang lain adalah jelas membawa kekufuran.

Demikian pula beriman dengan kehidupan hari Akhirat. Tidak sekadar mengetahui adanya hari Akhirat selagi tidak melaksanakan tuntutan apa yang ia ketahui. Yang demikian itu sekadar tahu tetapi belum beriman. Sedangkan ayat mengenainya ialah : “من ءامن بالله” (orang yang beriman dengan Allah) bukannya “من علم بالله” (orang yang tahu adanya Allah). Tidaklah dikatakan beriman dengan Allah dan hari Akhirat jika seseorang hanya beriman dengan sebahagian firman Allah yang sesuai dengan kemahuan nafsunya. Sebaliknya menolak sebahagain hukum Allah atas kepentingan peribadi ataupun kepentingan untuk mengekalkan kuasa dalam politik dan sebagainya. Tindakan demikian dengan jelas telah membawa kepada runtuhnya Iman. Adakah dianggap beriman dengan hari Akhirat jika keimanan telah dibiarkan runtuh atas kepentingan nafsu duniawi itu ? - BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment