Friday, April 3, 2009

“POLITIK WANG” atau "RASUAH POLITIK" ....khutbah JAKIM

Assalamu'alaikum.
Sekalung tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana mengeluarkan khutbah bertajuk sebagaimana di atas "POLITIK WANG atau "RASUAH POLITIK" pada 27 Mac 2009. Saya memperolehi khutbah tersebut dalam bentuk power point apabila diemailkan oleh seorang netter. Bila saya semak di http://www.islam.gov.my/khutbahjakim KHUTBAH ON-LINE Jakim) tajuk sebenarnya ialah “PEMIMPIN BERTELAGAH RAKYAT BERPECAH”. Tetapi isi kandungannya jelas menunjukkan isu "POLITIK WANG atau "RASUAH POLITIK". Jadi benar juga sahabat yang emailkan pada saya. Tajuk itu hanya untuk melembutkan isi cerita agaknya.
Antara kandungan khutbah adalah seperti berikut:

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan saja mimbar ini tetapi ramai pihak yang waras melahirkan rasa bimbang mengenai perkembangan politik wang atau rasuah politik di negara ini. Berdasarkan pemerhatian mimbar, penggunaan wang untuk mendapatkan pengaruh kepimpinan dan politik telah menjadi budaya segelintir daripada pemimpin masyarakat.

Dalam isu ini, mereka yang kaya raya dan bernafsu besar dalam politik tanpa merasa malu melantik proksi atau agen tertentu untuk menjalankan kempen membeli undi, menawarkan ganjaran, kemudahan, dan sebagainya secara tidak sah dalam usaha mendapatkan penyokong dan kuasa.

Berdasarkan kempen sengit dalam tempoh bertahun-tahun menggunakan politik wang ini, sebenarnya telah membuktikan sikap tidak amanah dan menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin. Apabila pemimpin asyik bertelagah merebut jawatan hingga lalai dan lupa tanggungjawab membela nasib rakyat menyebabkan rakyat merasa bosan. Keadaan bosan yang berterusan ini mampu mengugat sistem bernegara kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam sejarah silam tamadun Islam, dapat disaksikan bagaimana pemimpin yang terlibat dengan politik wang, tamak kuasa, mengutamakan puak dan keluarga, dan gila wanita adalah penyebab utama tumbangnya kerajaan Umaiyah, Abbasiah dan Uthmaniah. Persoalan besar timbul ialah jika pemimpin sendiri berpecah belah dan terlibat pula dengan amalan-amalan buruk, maka bagaimana ia mahu menyuruh rakyat bersatu padu dan berakhlak mulia?.

Rasulullah s.a.w menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa satu ketika Abdul Rahman bin Samurah telah ditegur oleh Rasulullah s.a.w:
Mafhumnya: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan”

Hadith ini menjelaskan bahawa dalam Islam, jawatan pemimpin adalah satu tanggungjawab yang berat. Ia bukan suatu status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan tertentu. Oleh sebab itu, Islam menegaskan bahawa jawatan kepimpinan tidak boleh ditagih-tagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata. Bahkan, dalam proses pemilihan pemimpin atau pentadbir hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, karisma dan ciri kepimpinan seperti bertaqwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Allah s.w.t telah mengingatkan bahawa kepimpinan yang paling berkesan ialah kepimpinan melaui teladan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam surah at-Taubat ayat 128:
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.”

Ayat tadi mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Justeru, mimbar ingin mengingatkan bahawa memegang kuasa melalui kemenangan politik wang hanya memberi keseronokan sementara waktu untuk diri sendiri dan beberapa kerat kuncu-kuncu mereka, tetapi memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat jelata.

Kita perlu insaf dan sedar bahawa budaya politik wang akan mewariskan pemimpin yang tidak berkualiti, pemimpin korup, tidak berakhlak, dan tidak berintegriti. Selain itu, amalan politik wang akan menutup proses demokrasi secara sihat kerana orang yang berduit sahaja berpeluang menjadi pemimpin besar, manakala mereka yang tidak berduit terhalang walaupun mempunyai karisma dan benar-benar layak menjadi pemimpin.

Keadaan ini jika terjadi merupakan satu kerugian besar kepada agama, negara dan rakyat jelata. Isu-isu politik wang di kalangan pemimpin ini akan menyukarkan usaha untuk menyatu padukan umat Islam di negara ini. Kita perlu ingat bahawa kelemahan kepimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan yang mencabar institusi Raja sebagai ketua agama Islam, mempertikai Islam dalam perlembagaan, dan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam prinsip ketiga pendekatan Islam Hadhari ada menetapkan bahawa sesebuah kerajaan perlu berlaku adil dan beramanah. Untuk mencapai matlamat ini maka amalan buruk dalam berpolitik seperti politik wang, menyalahguna kuasa, rasuah, dan sebagainya hendaklah ditolak dan dihapuskan. Sewajarnya mereka yang mengamalkan budaya ini tidak diberi ruang sebagai pemimpin.

Sebagai kesimpulan, mimbar ingin menasihatkan kepada pemimpin yang diberi kepercayaan supaya memikul amanah dan tanggungjawab dengan meletakkan hala tuju negara selari dengan al-Qur'an dan as-Sunnah serta memastikan rakyat hidup bersatu padu. Waspadalah dengan penyokong yang cuba merosakkan kita kerana pemimpin yang berwibawa tidak mudah terpengaruh dengan tekanan penyokong yang rosak. tk..

No comments:

Post a Comment