Sunday, April 5, 2009

P059 Bukit Gantang........MASA DEPAN UNTUK ISLAM

Salam.

Hari ini ahad 05/04/2009 sekali lagi saya dan Mejar Abdul Aziz ke penempatan kaum India di Kg Matang, lebih kurang 7 kilometer dari bandar Taiping. Kami ke situ untuk memberi penerangan mengenai Islam. Di sini lebih ramai lagi kaum India yang keluar memberi sokongan terdiri daripada lelaki, perempauan, tua, muda dan kanak-kanak. Bilangan mereka yang hadir lebih daripada 50 orang. Lagi satu petanda baik untuk masa depan Islam. Benarlah kata Ustaz Fathi Yakan yang menyebut kita wajib menyakini bahawa masa depan untuk Islam.

Antara lain beliau menyebut dalam kitabnya Apa Ertinya Saya Menganut Islam.
Keimanan saya dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Agama Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.

Allah berfirman:
أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ
Yang bermaksud:
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya! (Surah Al-Mulk, Ayat: 14).

SEBAB-SEBAB MENGAPA ISLAM BOLEH DITERIMA OLEH SEMUA

A. Manhaj Islam Bersifat Rabbani.
Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat.

B. Manhaj Islam Bersifat Universal (Sejagat).
Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri "infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri "infitah" ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.


C. Manhaj Islam Bersifat Anjal (Murunah).
Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti "Sibghah" atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan sebagainya.

D. Manhaj Islam Bersifat Syumul atau Menyeluruh.
Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.


Allah s.w.t berfirman:
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
Yang bermaksud:
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).

E. Kegagalan Sistem-sistem Ciptaan Manusia.
Kemudian saya harus mengetahui dan menginsafi tentang selok-belok serta kegagalan yang dialami oleh sistem hidup dan ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi ini adalah kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ianya dari ciptaan insan.

Doa-doakanlah agar Islam menang di P059 Bukit Gantang, Perak. Sekian, terima kasih..

No comments:

Post a Comment