hadi awang
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan surat rasmi mengenai isu Amanat Haji Hadi yang didakwa bercanggah dengan Islam.

Menurutnya, sejak 31 tahun lalu, beliau langsung tidak pernah menerima apa-apa surat atau dipanggil untuk memberi keterangan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Saya tidak pernah menerima surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya cabar Majlis Fatwa hantar surat kepada saya. Majlis Fatwa tidak pernah panggil saya.

“Surat rasmi pun tidak ada, atas angin sahaja. Bukan boleh atas angin begitu, bukan ‘meniaga’ ni dan kalau berniaga pun tidak boleh atas angin. Ini soal agama,” katanya dalam laman sosial Facebook hari ini.

Katanya lagi, ‘amanat’ itu merupakan satu petikan daripada ucapan beliau yang dibuat di Banggol Peradong, Terengganu, 31 tahun yang lalu.

Abdul Hadi menjelaskan beliau tidak pernah menamakan ucapan tersebut sebagai amanat tetapi dibuat oleh pihak lain.

“Amanat itu satu petikan, saya tidak menamakan ‘amanat’ tetapi orang lain yang menamakan ‘amanat’ dan yang beri nama ‘amanat’ itu termasuk Umno,” katanya.

Pada 17 Disember lalu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menggesa Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi.

Harussani berkata, selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadat, mengamalkan ajaran agama, orang itu tidak boleh dituduh kafir.

Wan Zahidi pula menyifatkan, amanat tersebut tidak memberi bahaya kepada Umno, sebaliknya ke atas Hadi sendiri.

Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak bercakap perkara yang benar sahaja.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, namun Abdul Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.