BOLEHKAH MUSLIM MEMBELA HAK NON-MUSLIM?Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ada
yang bertanya saya mengenai hukum muslim membela hak non-muslim. Mereka
merasa seakan berdosa seorang muslim itu berpihak kepada non-muslim
yang menuntut hak dari muslim, sekalipun non-muslim itu di pihak yang
benar. Ini kerana mereka merasakan membela hak non-muslim yang menuntut
dari muslim bagaikan mengkhianati saudara seakidah ataupun ukhuwwah islamiyyah (Islamic brotherhood).
Anggapan
mereka bahawa muslim itu mesti setia bersama muslim sekalipun saudara
muslimnya di pihak yang salah. Membela hak non-muslim yang berselisah
faham dan tuntutan dengan muslim itu bagaikan satu pengkhianatan. Ini
sebenarnya anggapan yang tidak tepat. Memang benar orang muslim itu
bersaudara. Kecintaan antara kita amat tinggi. Kita membantu antara satu
sama lain. Namun, ini tidak bererti kita diizinkan untuk menindas atau
merampas hak mereka yang tidak seagama dengan kita.
Pendirian al-Quran
Kefahaman
Islam tidak boleh hanya berdasarkan emosi, tetapi hendaklah berasas
hujah dan dalil yang dibuktikan oleh al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad
s.a.w. Islam adalah agama sejagat (universal). Inilah yang
menjadikan ajaran itu contoh dan memimpin kehidupan manusia dengan adil
dan saksama. Keadilan Islam yang merentasi sempadan agama, bangsa dan
geografi.
Inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).
Bahkan al-Quran menyebut dalam ayat yang lain: (maksudnya)
“dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami (Allah) memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan” (Surah al-An’am ayat 108).
Al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran ketika menafsirkan ayat di atas menyebut:
“Kata para ulama: Hukum (larangan mencerca sembahan golongan non-muslim) kekal dalam umat ini dalam semua keadaan selagi seorang kafir (unbeliver) terhalang dari mencerca Islam ataupun Nabi a.s. ataupun Allah, maka tidak halal untuk muslim mencerca salib mereka, atau agama mereka atau gereja mereka. Jangan melakukan sesuatu yang membawa ke arah tersebut kerana ia sama dengan menggalakkan maksiat” (7/61, Beirut: Dar al-Fikr)
Akhlak Nabi Muhammad
Jika
kita melihat kepada pendirian Nabi Muhammad s.a.w, kita dapati baginda
adalah sebaik dan semulia-mulia insan dalam berinteraksi dengan semua
pihak, termasuk mereka yang tidak beriman dengannya (unbelievers).
Justeru itulah kedatangan Nabi Muhammad ke alam ini dianggap sebagai
rahmat untuk seluruh alam yang meliputi muslims, non-muslim, manusia,
haiwan, tumbuhan, alam sekitar dan segalanya.
Dalam hadis, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
“Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”. (Riwayat Abu Daud, sahih).
Dalam hadis ini
Nabi Muhammad s.a.w memberi amaran kepada sesiapa yang melakukan apa
sahaja bentuk penindasan kepada warga non-muslim yang berada di bawah
pentadbiran muslim. Baginda memberikan jaminan kepada non-muslim yang
tertindas itu bahawa baginda sendiri akan berhujah menentang muslim yang
zalim pada Hari Kiamat kelak. Demikian indahnya keadilan Tuhan yang
dinyatakan oleh Islam. Keadilan yang rentas sempadan agama, kaum, puak
dan segala sempadan kehidupan.
Maka tidak hairanlah jika
Islam dalam sejarahnya menjadi agama yang paling pantas diterima oleh
masyarakat manusia di dunia ini. Keindahan budi dan sikap. Sikap Islam
ini ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w pada lebih 1430 tahun yang
lalu, pada masa masyarakat dunia belum membicarakan tentang toleransi
agama. Pada zaman kekejaman atas nama Tuhan berlaku di setiap lapisan
masyarakat manusia, Nabi Muhammad membawa sikap yang begitu tolerant sekali.
Bahkan menjadikan hubungan baik antara penganut agama itu ada nilai
dosa dan pahala di sisi Tuhan. Inilah yang membawa Islam menjadi kuasa
yang dihormati dan manusia masuk ke dalamnya berbondong-bondong. Namun,
apabila semua ini hilang dari akhlak kaum muslimin, maka kita sentiasa
berada di belakang, merasa tertekan dan offensive selalu.
Teladan Sahabat
Pesanan
Nabi s.a.w ini menjadi pegangan para pemerintah selepas baginda yang
mengikuti jalan baginda. Marilah merenung surat Khalifah ‘Umar bin
al-Khattab kepada gabenornya di Mesir iaitu ‘Amr bin al-‘As. Dalam surat
itu ‘Umar menyebut:
“Ketahuilah wahai ‘Amr, sesungguhnya Allah melihat engkau dan amalanmu. Sesungguhnya Allah berfirman dalam kitabnya “(mereka berdoa: wahai Tuhan) jadilah kami pemimpin orang-orang yang bertaqwa” (Surah al-Furqan:74) tujuannya agar dicontohi. Sesungguhnya (wahai ‘Amr) bersamamu terdapat ahl zimmah (rakyat non-muslim) dan ‘ahd (non-muslim yang mengikat perjanjian). Rasulullah s.a.w telah berpesan mengenai mereka. Baginda juga berpesan mengenai kaum qibti (Coptic) dengan menyebut: “Aku berpesan agar kamu berbuat baik kepada kaum qibti kerana bagi mereka hak perlindungan dan hubungan rahim (keluarga)”. Kekeluargaan mereka disebabkan Nabi Ismail a.s. dari keturunan mereka. Nabi s.a.w juga bersabda: “Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat non-muslim) ataupun membebankannya di luar kemampuannya maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”. Jaga-jaga wahai ‘Amr jangan sampai Rasulullah itu memusuhimu kerana baginda akan menentang musuhnya…sesungguh aku ini takut jika seekor unta yang berada di bawah wilayahmu mati tersesat jalan lalu aku ditanya oleh Allah pada Hari Kiamat” (Kanz al-‘Umal 5/760).
Di manakah
hendak kita cari ketelusan dan ketulusan yang seperti itu. Ramai yang
mengakui pemerintah muslim tapi bukan sahaja tidak kisah jika unta mati,
bahkan tidak peduli jika rakyat terbunuh tanpa sebab yang sah.
Dalam riwayat dari Sa’sa‘ah, berkata: Aku bertanya Ibn ‘Abbas:
“Kami berjalan di tanah ahl zimmah (rakyat non-muslim) lalu kami ambil apa yang terdapat padanya”. Tanya Ibn ‘Abbas: “Tanpa sebarang harga?”. Jawabku: “Ya”. Tanya Ibn ‘Abbas lagi: “Apa pendapat kamu?”. Kami jawab: “Halal, tiada masalah”. Kata Ibn ‘Abbas: “Kamu bercakap macam dengan ahlul kitab (seperti yang al-Quran ceritakan dalam Surah Ali-‘Imran: 75) “(mereka berkata) Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi (buta huruf) dan, mereka selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui”. (al-Qasim bin Salam, al-Amwal. 1/395).
Inilah
Islam. Inilah keindahannya. Sikap yang benar dan adil untuk semua.
Terlalu banyak riwayat dalam sejarah kegemilangan Islam jika hendak
dinukilkan mengenai keadilan Islam kepada penganut agama lain. Islam
yang seperti itu tidak defensive tetapi sentiasa maju ke depan mempengaruhi pemikiran manusia yang berakal.
Sumber : http://drmaza.com/home/?p=2267
No comments:
Post a Comment