Friday, August 31, 2012

Penyokong Janji Demokrasi banjiri Dataran Merdeka


Dataran Merdeka
Sebahagian daripada penyokong Himpunan Janji Demokrasi yang berkumpul di kawasan Dataran Merdeka malam ini.
Dataran Merdeka
Penyokong Himpunan Janji Demokrasi berhimpun berhampiran Dataran Merdeka malam ini.
KUALA LUMPUR - Penyokong-penyokong Himpunan Janji Demokrasi sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 esok mula membanjiri lokasi perhimpunan itu - di kawasan berhampiran Dataran Merdeka, dengan mengenakan kemeja-T dan lain-lain lambang berwarna kuning dan tertulis "bersih".
Suasana di pekarangan Dataran Merdeka mula gamat dengan pelbagai bunyian, namun keadaan masih terkawal sehingga kesemua peserta bersurai.
Kedengaran laungan "Bersih" dilaungkan beberapa kali.
Pun begitu sehingga 10.30 malam tadi, wakil penganjur Himpunan Janji Demokrasi belum kelihatan. Mengikut maklumat sebelum ini perhimpunan itu akan bermula jam 11 malam.
Kira-kira 11.15 malam, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said dan ahli jawatankuasanya Maria Chin Abdullah tiba di Dataran Merdeka.
Di lokasi tradisi di Dataran Merdeka, orang ramai turut berkumpul untuk menyambut kedatangan tanggal 31 Ogos.
Sebahagian besar kawasan Jalan Raja-Jalan Tun Perak dibanjiri oleh penyokong Himpunan Janji Demokrasi, seolah-olah menggambarkan keadaan ketika Himpunan Bersih 3.0 April lalu, yang berakhir dengan kekecohan.
Seperti lazim keadaan ibu negara khususnya di laluan ke pusat bandar dan dekat Dataran Merdeka sesak teruk.
Papan tanda yang membawa mesej "Dilarang diadakan sebarang aktiviti di sini" - merujuk kepada Dataran Merdeka, juga kelihatan dipacak di persimpangan Jalan Raja-Tun Perak. Pihak polis juga ditempatkan di kawasan Dataran Merdeka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Ekoran kawalan ketat di kawasan Dataran Merdeka, pemimpin-pemimpin Himpunan Janji Demokrasi beralih ke Dataran DBKL, kira-kira 20 meter.
Petang tadi, polis mengeluarkan notis bahawa Himpunan Janji Demokrasi malam ini bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman 2012, tetapi penganjur bertekad untuk mengadakannya di Dataran Merdeka atau mana-mana kawasan yang sesuai.
Beberapa pengikut menerusi Twitter menghantar mesej tidak dapat bergerak ke Dataran Merdeka atas alasan "sesak kerana geng Bersih."
Jumlah kehadiran dikatakan agar besar di sebalik larangan pihak polis agar tidak berkumpul di Dataran Merdeka kerana tiada kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Sekitar jam 11.30 malam, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said mendeklamasikan sajak "Janji Demokrasi" di Dataran DBKL.
Dalam laman sosial Facebook petang tadi, Samad antara lain berkata:
"Kerana terbayang wujudnya flipa-flopan,
"jika tak dimungkin di dataran larangan,
"berdirilah di mana-mana bumi Tuhan,
"Janji Demokrasi" tetaplah dilaungkan!"

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat kelihatan hadir, antaranya Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Himpunan yang serupa juga diadakan di beberapa bandar utama yang lain termasuk di Ipoh.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/penyokong-janji-demokrasi-banjiri-dataran-merdeka-1.80345

No comments:

Post a Comment