Tuesday, August 28, 2012

Pakatan beri jamin hak Melayu dan kaum lain


Negara tidak akan bangkrap jika ditadbir Pakatan Rakyat.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hak keistimewaan orang Melayu dan lain- lain kaum akan terjamin jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, antara tawaran Pakatan termasuklah menurunkan harga minyak dan kereta serta membatalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Rakyat tak bodoh…..menurut Umno-BN (Barisan Nasional), negara akan bankrap sedangkan kita bagi fakta,” katanya merujuk tawaran berkenaan ketika berucap pada Ceramah Perdana Demi Rakyat di Bagan Serai malam tadi.
Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, rakyat tidak bodoh untuk terus percaya dakwaan Umno-BN bahawa negara akan bangkrap jika ditadbir Pakatan.
Anwar berkata, semua golongan akan mendapat keuntungan daripada tawaran tersebut, terutama rakyat miskin dan kebanyakannya Melayu.
Beliau turut menyangkal tohmahan sesetengah pihak mengatakan nasib orang Melayu tidak akan terbela di bawah pentadbiran Pakatan.
Menurutnya, PKR, PAS dan DAP bersetuju memberi jaminan untuk terus membela Melayu dan pada masa sama hak kaum lain sebagai warganegara yang sah.
“Ini kerana Malaysia tidak akan selamat kalau orang Melayu sebagai kaum majoriti tersisih dan tidak kuat,” kata Anwar lagi. Jelasnya, orang Melayu tidak mendapat pembelaan sebenar di bawah pemerintahan Umno-BN yang hanya mengkayakan keluarga dan kroni.
“Ahli-ahli Umno yang bawah dapat apa? Itupun ahli masih lagi melaungkan ‘Hidup Melayu’,” kata Anwar.

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/08/27/pakatan-beri-jamin-hak-melayu-dan-kaum-lain/

No comments:

Post a Comment