Thursday, August 30, 2012

Air: Kegagalan Pahang dikesali



KUANTAN: Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar Pahang (LPPAS) melahirkan kekecewaan di atas kegagalan Kerajaan Negeri Pahang termasuklah Perdana Menteri dalam menangani krisis air yang tidak henti-henti di negeri ini.

Ia menghantui penduduk di negeri yang diketahui umum mempunyai sumber air yang banyak khususnya ketika umat Islam berpuasa termasuklah ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

“Dengan ketiadaan sumber air ketika bulan Ramadhan dan sambutan Aidilfitri khususnya di Jengka, Kuantan malah di Parlimen Pekan baru-baru ini, jelas membuktikan Kerajaan Negeri Pahang malah Perdana Menteri selepas 55 tahun merdeka, masih gagal menyelesaikan masalah air di negeri itu.

"Agak memalukan bila Umno yang dilihat cuba memutarbelitkan isu air di Selangor dan Kelantan, rupa-rupanya tidak berupaya menguruskan keperluan asas utama itu di negeri yang diperintah mereka.

"Dengan kekuatan sumber kewangan yang mereka miliki diperingkat pusat, Umno dan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang berasal dari Pekan Pahang itu seharusnya akur bahawa isu seperti ini cukup memalukan buat beliau yang sentiasa ke hulu ke hilir menjaja program transformasi beliau," kata Andansura Rabu (gambar atas) Pengerusi LPPAS PAS Pahang.

Katanya, LPPAS Pahang juga kecewa dengan kualiti air bersih yang dibekalkan kerana terlalu keruh seperti kelodak lumpur.

(Antara laporan media ketiadaan air di negeri PM, Pahang)

“Adakah ini yang program transformasi yang dijaja Perdana Menteri kita itu? Iaitu transformasi air jernih ke air yang keruh?

"Kalau inilah program transformasi beliau, maka sudah tiba masanya rakyat Pahang melaksanakan program transformasi menukar kerajaan negeri yang sedia ada.

"Kain mereka yang terlondeh pun mereka tidak nampak tetapi sibuk dengan kain orang lain. Inilah hipokritnya mereka," ujar Andansura yang komited untuk memantau isu air ini.

Antaranya beliau komited untuk mendesak kerajaan negeri dan anak syarikat mereka iaitu Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk memperbaiki kemudahan keperluan asas ini serta perkhidmatan mereka kepada rakyat dengan seberapa segera.

Sumber : https://harakahdaily.net/index.php/headline/12757-air-kegagalan-pahang-dikesali

1 comments:

  1. 2 kali lima dgn kelantan .. apa cerita UYE

    ReplyDelete