Friday, June 18, 2010

ISLAM ADIL UNTUK SEMUA(v) - Ucapan dasar presiden 2010

Salam sahabat-sahabat seperjuangan,

Mari kita terus menliti kalimah demi kalimah pesanan Tok Guru Presiden kepada komponen -komponen yang ada dalam PAS agar memainkan peranan masing-masing.

MAJLIS SYURA ULAMA


31. Majlis Syura Ulama dibentuk dengan memiliki syarat syakhsiah yang tinggi dan kemampuan ilmu Islam, dalam masa yang sama perlu juga meningkatkan kajian ilmu Islam yang menjadi roh
kepada parti, mendalami ijtihad para ulama silam secara muqaranah dan memterjemahkan penghayatan Islam dalam menghadapi cabaran terkini untuk menyelesaikan semua perkara dengan Islam. Islam yang menjadi petunjuk sepanjang zaman mewajibkan kita berijtihad menghadapi masalah dan cabaran baru yang tidak wujud di zaman silam dalam keadaan situasi dan realiti yang berbeza dan berubah.

32. Dalam suasana serangan kecelaruan pemikiran ini, maka seluruh ahli parti dan penyokong wajib memberi thiqah dan wala’, demi menjaga parti agar beristiqamah dengan landasan Islam yang kita imani dengan ikhlas, berpandukan hidayah dan hikmah, kerana akal tanpa hidayah tidak selamat daripada kesilapan yang boleh membawa kesesatan. Kalangan ulama yang mendalami ilmu Islam adalah pewaris pusaka para Anbiya’ yang terpelihara dengan jaminan Allah, jaminan ini wujud sekiranya mereka bersama parti yang bercirikan Islam yang tetap ada di sepanjang zaman.

PIMPINAN PUSAT
33. Pimpinan pusat yang saudara dan saudari pilih dalam muktamar yang lalu dan segala Lajnah yang ada di dalamnya adalah pemimpin yang merancang, mentadbir, mengatur strategi dan
menggerakkan parti, sama ada dalam menghadapi pilihanraya di semua peringkat, dan menangani setiap isu dan halangan yang berlaku sepanjang masa, seterusnya aktif beramal di lapangan masing-masing. Mereka ini adalah pimpinan yang wajib menjalankan tugasnya sepanjang masa, bukannya bermusim, wajib diberi ketaatan dan wala’ kepada keputusan dan arahan yang tidak bercangah dengan hukum Islam yang tertinggi sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

34. Kita telah berjaya membentuk kepimpinan secara jama’ei (kolektif) yang menghimpunkan berbagai latarbelakang yang terdiri dari para ulama, ilmuan, professional dan aktivis masyarakat. Adunan ini wujud sejak penubuhan PAS dan meneguhkannya sehingga kini. Adunan ini jugalah yang memperkasakan PAS untuk memimpin negara, dengan menolak jahiliyah sekularisma yang meminggirkan Islam dan memisahkan urusan dunia daripada Islam.

35. Dalam menghadapi cabaran langit terbuka dengan teknologi maklumat yang sangat pesat bertaburan menyebarkan apa sahaja, jangan sekali-kali kita terpedaya dan hanyut bersama loncai di luar parti kita yang berkeliaran dengan labu-labunya. Alhamdulillah, walaupun kita berhadapan dengan cabaran sebegini, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang terkeluar daripada bahtera perjuangan mengikut telatah luncai-luncai itu, walau pun menghadapi ribut dan gelombang yang datang dari segenap penjuru. Berpeganglah kepada amaran Rasulullah SAW :
(Manusia akan menghadapi tibanya tahun-tahun yang banyak penipuan. Dipercayai pembohong, dibohongi orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, orang yang bebal membuat kenyataan. Apabila ditanya bagaimana keadaannya. Rasulullah SAW menegaskan : Orang yang jahil bercakap perkara yang melibatkan kepentingan orang ramai)

36. Dalam hal ini, ahli PAS hendaklah berwaspada dengan penyebaran maklumat melalui blog yang berkeliaran tanpa sempadan, supaya berhati-hati kerana kita berada di zaman yang penuh kefasikan ini. Selidiklah dahulu maklumat yang disampaikan, kerana kita menghayati firman Allah SWT :
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang
fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti
agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu
kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan
kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Hujuraat : 9)

DEWAN ULAMA
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,
37. Dewan Ulama telah dipertanggungjawabkan untuk mengumpulkan para ulama seramai mungkin, mereka adalah kalangan yang paling berjasa menubuhkan PAS, pemimpin berterusan
kepada umat, penyelamat manusia dan pewaris pusaka para Rasul. Mereka paling dihormati sekiranya beristiqamah dengan perjuangan dan paling dikutuk sekiranya menyeleweng.

38. Oleh yang demikian, maka besarlah harapan agar Dewan Ulama bekerja keras untuk mengumpulkan kalangan ulama yang berselerak dan ada pula yang terjerumus ke dalam kelompok musuh dan terpesong halatujunya kerana tidak berjamaah. Bawalah mereka
ini bersama kita, binalah fikrah perjuangan dan fahamkan mereka dengan fiqh siyasah yang dibawa oleh PAS, supaya akhirnya mereka dapat saling lengkap melengkapi saf perjuangan kita.
39. Keseluruhan aktiviti menyebarkan ilmu Islam diberi peranan ke atas para ulama. Allah menetapkan peranan mereka bukan sekadar menyebarkan ilmu dan berdakwah tetapi menyelamatkan ilmu Islam dan menyelamatkan umat dengan Islam. Firman Allah SWT :

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke
medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di
antara mereka beberapa orang untuk memperdalam
pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi
peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali
kepadanya, supaya mereka itu dapat berwaspada menjaga
dirinya. (At Taubah : 122)

40. Semua ini menunjukkan kepada kita, bahawa peranan ahli ilmu ialah menjaga umat supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam. Dalam masyarakat Islam hari ini kita berdepan dengan kejahilan umat Islam sendiri terhadap agama, dan kelemahan para ulama yang tidak melibatkan diri dalam masyarakat dengan cara yang tepat, tanpa mengira kalangan yang diperalatkan musuh . Ada juga yang memberi penekanan pengajian Islam secara serpihan tanpa menyeluruh, lalu menyisihkan diri tanpa penglibatan dalam masyarakat di atas nama bertasawuf dan beruzlah. Imam Malik pernah menegaskan :
Sesiapa yang bertasawuf dalam keadaan tidak berfeqah sesungguhnya dia terjerumus ke dalam Zindiq (ajaran sesat) dan sesiapa yang berfeqah tanpa tasawuf sesungguhnya dia fasiq dan sesiapa yang mengumpul kedua-duanya, maka sesungguhnya dia berada di atas kebenaran.

41. Mengambil tanggungjawab menyebarkan ilmu Islam ini, maka Dewan Ulama juga perlu terus menerus mengumpulkan para ulama muda, diberikan kefahaman tanzim dan aktiviti parti serta feqah siyasah yang dibawa oleh PAS, kerana merekalah yang akan mengambilalih peranan menjadi pemimpin dan penggerak kepada perjuangan kita.


Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,
DEWAN PEMUDA

42. Para pemuda adalah tenaga hadapan dan masa depan kepada perjuangan ini, mereka perlu diisi dengan ilmu, memiliki akidah perjuangan yang mantap di seluruh peringkat untuk melahirkan pemuda yang boleh menjadi rijaalut taghyir, yang akan menggerakkan perubahan dalam negara kita. Kita mahu generasi Pemuda PAS yang memiliki kualiti dalam aspek amal jama’ei dan Islami, amal siyasi, kebajikan dan dakwah. Fikrah yang jelas ini, ditambah pula dengan kekuatan fizikal dan semangat yang berkobar, perlulah digandingkan dengan kematangan supaya tindakan mereka adalah penuh dengan hikmah.

43. Pemuda juga adalah pelapis kepada kesinambungan perjuangan Islam, kerana itu mereka perlu digandingkan dengan kepimpinan yang lebih lama dalam melaksanakan tugas kepimpinan. Kecergasan merekalah yang akan banyak membantu seluruh saf kepimpinan dalam melaksanakan tugas yang mencabar.

44. Peranan Dewan Pemuda perlu diperkasakan lagi dengan kemampuan menangani golongan muda yang menjadi sasaran serangan pemikiran dan budaya negatif yang bertujuan jahat terhadap masa depan mereka. Dekatilah mereka, bawa dan pimpinlah generasi muda yang ada di serata tempat dalam negara kita ini kepada cahaya Islam yang akan menerangi hati serta jiwa mereka. Ingatlah, bahawa golongan muda inilah yang akan menentukan perubahan dalam amalan demokrasi pilihanraya dan hala tuju negara seterusnya.

45. Pemuda mestilah mencari jalan dengan memerah pemikiran mereka untuk meneroka ruang-ruang dakwah yang masih luas di semua tempat dan ceruk, untuk memberikan kefahaman Islam yang syumul kepada masyarakat yang ada dalam negara kita ini.

46. Selain dari itu, peranan Pemuda di peringkat antarabangsa dan rantau nusantara ini perlulah diperhebatkan, kerana ianya akan melahirkan generasi pemuda yang lebih matang, berkemampuan, penuh ketrampilan, sehingga menjadi aset paling berharga untuk perjuangan parti kita ini.

DEWAN MUSLIMAT
47. Kepada Dewan Muslimat, satu penghargaan patut kita berikan kepada seluruh ahli dan kepimpinan Dewan Muslimat PAS, jentera HalWa dan Nisa’ di atas penglibatan mereka dalam beberapa siri pilihanraya kecil. Penglibatan mereka amat besar ertinya dalam sebuah perjuangan Islam di Malaysia ini. Muslimat telah membuktikan keupayaan mereka dengan penuh kecekalan dan kesanggupan mengharungi kepayahan dalam misi dakwah.

48. Dalam konteks perjuangan Islam secara Demokrasi dan muwajahah silmiyyah, para muslimat juga berkewajipan sama menegakkan Islam. Keupayaan para muslimat memainkan peranannya dalam pilihanraya, samada sebagai calon dan petugas pilihanraya, adalah amat dihormati oleh kawan dan digeruni lawan. Teruskan keterlibatan para muslimat sekalian, dengan struktur yang lebih tersusun dan perancangan jangka pendek dan panjang, supaya sumbangan mereka itu akan lebih berkekalan kepada perjuangan kita ini.

49. Dalam suasana kebanjiran pemikiran yang menyerang umat dan merosakkan masyarakat hasil daripada kuasa politik yang salah, sudah tiba masanya diisytiharkan muslimat wajib bersama muslimin untuk berganding secara berjadual mengikut peranan dan tugas yang dibahagikan tanpa mejejaskan kewajipan dalam rumahtangga yang menjadi asal tugasnya, dalam masa yang sama menolak serangan budaya negatif yang telah masuk ke dalam rumah, keluarga dan masyarakat.
Marilah kita sama - sama menegakkan Islam di tempat yang berkuasa melindungi umat untuk melaksanakan amar maaruf dan nahi munkar. Firman Allah SWT :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi
sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang
maaruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat,
menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan RasulNya.
Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah
Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (At Taubah : 71)

50. Muslimat juga mempunyai matlamat yang sama dan menyeluruh untuk membela dan membangunkan keseluruhan masyarakat Islam. Muslimat juga mesti berusaha dan komited untuk meningkatkan setiap ruang dan unsur keperibadian serta meningkatkan keupayaan bistari mereka. Muslimat harus mengembeling seluruh keupayaan, potensi, kepintaran, kemahiran, prasarana, teknologi komunikasi dan informasi untuk memacu kemenangan.

51. Teruskanlah gerakerja dengan melebarkan sayap untuk mendekati dan menghimpunkan remaja wanita dalam siri-siri program keagamaan, sukan serta kesenian, agar naluri remaja ini sentiasa didampingi melalui methodologi dakwah. Dengan itu mereka akan dapat memahami dan menghayati amalan-amalan soleh dari perspektif Islam. Pada masa yang sama, pentarbiyahan rakan-rakan remaja ini mesti diberi perhatian agar mereka dapat memahami Islam yang syumul dan di samping itu memahami erti jihad dan pengorbanan dalam erti kata yang lebih luas.

52. Gejala sosial dan penindasan remaja, wanita dan kanak-kanak menjadi isu utama di dalam negara kita. Oleh itu, sudah sampai masanya agar Dewan Muslimat mengambil inisiatif dan berperanan mendepani isu-isu penindasan wanita, remaja dan kanak-kanak secara lebih pro-aktif dan berkesan menerusi penubuhan sebuah institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan. Penubuhan institusi sebegini ini adalah bertujuan untuk menangani gejala keruntuhan akhlak yang bermaharajalela dan memberi pendidikan mengawal dan menyekat merebaknya kemungkaran ini.

53. Kepimpinan parti juga menyedari bahawa keupayaan para muslimat ini wajar untuk dimanafaatkan dengan lebih optimum di masa yang akan datang. Oleh yang demikian, kepimpinan parti juga sentiasa membuka ruang kepada para Muslimat yang berwibawa, mampu dan layak untuk menjadi calon Muslimat di dalam pilihanraya dan mengalualukan penglibatan mereka di peringkat pembuat dasar.

DEWAN HIMPUNAN PENYOKONG
54. Kita bukan sahaja berjaya meruntuhkan tembok yang memisahkan kita selama ini dengan kaum bukan Islam, bahkan perjuangan kita juga mahu disertai oleh kalangan mereka. Ini
merupakan satu pencapaiann yang lebih maju bagi penyelesaian masyarakat majmuk secara Islam, bagi memperkenalkan Islam yang boleh berlaku adil untuk semua.

55. Peranan ini mengingatkan kita kepada penyertaan bukan Islam dalam perjalanan dakwah di Makkah dan peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, kerana bukan semua yang bukan Islam menentang perjuangan ini, ada yang mahu melihat lebih dekat bersama dalam masyarakat dan negara yang kita perjuangkan. Hakikatnya, jiwa mereka merasa resah dengan kegagalan pemerintah yang menambahkan masalah kepada mereka juga, dan mengharapkan kita menjadi penyelamatnya.

56. Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang telah dirasmikan penubuhannya perlulah diperkasakan, dirangka gerakerjanya bersesuaian dengan kemampuan yang ada, dididik dengan konsep serta prinsip perjuangan yang dibawa oleh PAS.

57. Kita berharap supaya sayap ini dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan, bagi menarik kalangan bukan Islam mengenali kita secara amali dan bersama membuat perubahan yang berjaya selepas kejayaan kini. Mudah-mudahan kita melaksanakan peringatan Allah SWT :

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku
adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena
agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu.
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku
adil. (Al Mumtahanah : 8)

No comments:

Post a Comment