Sunday, June 13, 2010

ISLAM ADIL UNTUK SEMUA - Ucapan dasar presiden 2010

Assalamu'alaikum,

Baca dan fahamilah baik-baik Ucapan Dasar Presiden, mudah-mudahan menjadi pedoman untuk meneruskan kerja tarbiyah, dakwah dan siasah dalam parti Islam SeMalaysia PAS.

Bersempena dengan Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang ke 56 ini, saya berdiri mewakili saf kepimpinan PAS ingin mengalu-ngalukan kehadiran seluruh perwakilan dan para tetamu ke pertemuan tahunan yang sungguh bermakna ini dengan ucapan Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum, serta memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dimasukkan kehadiran ini sebagai satu perhitungan ribat fi sabilillah. Marilah kita terus menerus melangsungkan tugas memikul amanah generasi awal yang menubuhkan PAS, sebagai satu mata rantai yang menghubung perjuangan Islam sejak zaman berzaman. Semuanya ini dilaksanakan dengan penuh istiqamah dengan matlamat melaksanakan kewajipan Islah dan Tajdid daripada risalah Islam yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, untuk menyelamat manusia seluruhnya dengan Islam yang merupakan Rahmat Allah ke seluruh alam, berwawasan dunia sehingga akhirat, dengan mengajak sesiapa yang mahu tanpa sebarang paksaan. Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, Timbunan krisis yang melanda seluruh dunia di masa kini, di mana negara kita yang tercinta juga menerima padahnya, adalah berlaku akibat dari kegagalan dasar dan cara hidup dengan pendekatan ciptaan manusia yang mengandungi serba kelemahan.
Keadaan ini telah lebih meyakinkan kita kepada Islam ciptaan Allah yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan kita, dengan syarat kita terus menerus beristiqamah dan ikhlas dengan arahan Allah kepada kumpulan Islam. Firman Allah SWT : يَـأَيُّهَآ الَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ للَّهِ شُهَدَآءَ بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Hai orang-orang yang beriman jadikan diri kamu orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil, dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al Maidah : 8)
Bertitik-tolak dari ayat ini, maka kita memilih “ISLAM ADIL UNTUK SEMUA” sebagai tema bagi Muktamar PAS kali ke 56 ini. Tema kali ini menuntut untuk setiap di antara pemimpin dan kepimpinan, ‘amilin dan ‘amilat, di seluruh lapisan organisasi untuk memperteguhkan model pentarbiyahan dalaman sendiri, dengan disemai oleh fikrah yang jelas dan keperibadian yang unggul, seterusnya menjadi parti yang ikhlas kerana Allah dan beriman kepadaNya bagi menegakkan keadilan untuk semua, kerana ianya adalah keadilan Ilahi yang terpancar daripada Islam, sebagai Al Din yang sempurna. PAS wajib menegakkan keadilan untuk semua tanpa mengira batas agama dan kaum, kerana Islam dalam cara hidupnya adalah untuk seluruh manusia sejagat. Lihatlah bagaimana keperibadian pimpinan Rasulullah SAW dan generasi kegemilangan Islam yang mencipta tamadun untuk seluruh umat manusia, bermula dengan membina modal insan dengan memenuhi ciri fitrah manusia secara menyeluruh, bukan sahaja berpegang dengan Al Quran dan Al Sunnah yang tidak boleh dipertikaikan, tetapi dalam masa yang sama melaksanakan perintah Allah dan Rasul Nya supaya menerima kebijaksanaan ciptaan akal manusia yang datang dari seluruh pelusuk dunia tanpa mengira dari mana puncanya. Firman Allah SWT :
Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (yaitu) tidak menyembahNya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba- hambaKu, yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.(Az-Zumar: 17 – 18)
7. Islam mengajar orang yang beriman, bukan sahaja menerima yang terbaik daripada Al Quran dan Sunnah, tetapi juga menerima pandangan manusia terbaik dan kebijaksanaannya. Hal ini di huraikan lagi oleh sabda Rasulullah SAW :
(Kebijaksanaan itu laksana barang berharga yang jatuh
tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, di mana sahaja
dia menemuinya, maka dialah yang berhak memungutnya)

- mungkin disambungkan.

No comments:

Post a Comment