Saturday, June 19, 2010

ISLAM ADIL UNTUK SEMUA(ix) - Ucapan dasar presiden 2010

PERANAN PAS DI PERINGKAT ANTARABANGSA
73. Suasana geo-politik dunia dan konflik antarabangsa terus bergolak sehingga ke hari ini. Pelbagai isu antarabangsa telah mewarnai sepanjang setahun yang lalu, antaranya keganasan
berterusan regim Zionis ke atas umat Islam di Baitul Maqdis dengan menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa dan menyerang orang awam di kawasan berkenaan. Selain dari itu, penduduk Gaza bukan sahaja dihimpit oleh regim Zionis, tetapi juga dikepung oleh Kerajaan Mesir, terus menerus menghadapi tekanan yang di luar batas tamadun kemanusiaan.

74. Pada akhir bulan Mei yang baru sahaja berlalu, kita
berhadapan dengan tindakan ganas Regim Zionis Israel yang menyerang konvoi flotilla bantuan ke Gaza, sehingga menyebabkan
kehilangan nyawa kepada beberapa anggota konvoi berkenaan, yang turut dianggotai oleh ratusan wartawan, aktivis keamanan dan ahli parlimen dari berbagai negara, termasuklah sebilangan rakyat dari Malaysia sendiri.

75. PAS sentiasa menegaskan bahawa inilah wajah sebenar
Regim Zionis Israel yang sememangnya sedikit pun tidak menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa, termasuklah
kecaman keras dari Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri. Masyarakat dunia sememangnya memerlukan satu strategi dan tindakan baru yang lebih serius, tegas, dan keras untuk memberikan tekanan kepada regim Zionis yang sudah terbukti tidak menghormati meja perundingan.

76. Kesemua tindakan zalim yang dihadapi ini, telah mewujudkan
penentangan rakyat yang ditindas di atas pelbagai nama. Dalam masa yang sama, kerajaan yang menjadi penguasa di negara umat Islam juga dibelenggu oleh kuasa Barat dan Regim Zionis, dengan menjadikan kedudukan politik dan imbuhan ekonomi sebagai gadaiannya. Akibatnya, kerajaan di negara umat Islam tidak berdaya, lemah dan menjadi hina kerana menjadi hamba kepada kuasa hegemoni Neo-kolonisma dan Zionis.

77. Dalam hal ini juga, PAS mempersoalkan langkah Kerajaan
Malaysia yang turut sama terikut dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang berterusan mengenakan sikap ‘double standard’ dalam menguruskan isu pembangunan teknologi nuklear sebagaimana yang disimpulkan dari Nuclear Summit 2010 yang dianjurkan oleh pentadbiran Washington. Malaysia seharusnya mengambil sikap yang sama dengan Republik Turki yang konsisten, berani dan tegas bahawa hak penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak.

78. Apa yang paling dikesalkan ialah Regim Zionis haram Israel
yang terbukti telah dan sedang bertindak ganas tanpa batas tamadun manusia pula dibiarkan bermaharajalela dengan mempunyai teknologi nuklear sekian lama tanpa pula dikecam oleh mana-mana pihak di Washington. Inilah yang sebenarnya menjadi punca krisis keamanan dunia di waktu ini. Apa yang lebih buruk ialah dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia juga telah gagal untuk menyuarakan tekanan kepada Regim Zionis Israel dalam persidangan di Washington itu.

79. Disebalik kezaliman yang ditunjukkan oleh regim haram itu,
negara pula didedahkan terlibat secara langsung dengan firma mereka yang mempunyai tugas-tugas tertentu dalam negara kita ini, seperti perancangan hubungan antarabangsa negara, pelaksanaan sistem maklumat dalam agensi keselamatan negara dan sebagainya. Ini bukan sahaja mendedahkan negara kepada Zionis yang sedang mencari pengaruh dan pengkalannya di rantau ini, tetapi adalah merupakan satu penghinaan kepada umat manusia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin itu sendiri.

80. Betolak dari realiti kelemahan kerajaan yang menjadi
pemerintah di negara umat Islam ini, maka PAS bersama dengan rakyat dalam negara ini, menyeru supaya kita semua kembali kepada Islam yang syumul dengan berpegang kepada Al-Quran dan AsSunnah supaya kita dapat menjadi negara yang hebat, berdaulat dan dihormati.

81. PAS akan terus istiqamah untuk menyuarakan ketidakadilan
dan penentangan terhadap kezaliman ini di pentas antarabangsa –samada menerusi memorandum dan dialog, demonstrasi, forum antarabangsa seperti di Istanbul menerusi Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Sosial (ESAM), Muktamar Al-Quds, Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP), Persidangan Ahli Parlimen Islam dan sebagainya.

82. PAS akan terus menerus menyumbang kepada dunia yang
lebih adil dan aman. Inilah yang pernah dibuktikan oleh PAS, apabila kepimpinan PAS telah turut bersama dengan pimpinan gerakan Islam lain turun ke medan di Afghanistan dan Negara Teluk pada tahun 1990an dahulu untuk menyelesaikan konflik peperangan di rantau berkenaan. Di rantau Asean ini, usaha dan peranan PAS yang bertemu tanpa jemu dan menyuarakan pandangan serta nasihat kepada kepimpinan yang bertelagah, sehingga akhirnya cahaya perdamaian berjaya di meterai di wilayah Acheh.

83. Paling terkini, PAS diberikan kepercayaan dari pimpinan
Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa dan beberapa Negara OIC untuk menyelesaikan konflik antarabangsa yang berlaku di Yaman. Konflik sebegini, sekiranya tidak ditangani dengan segera boleh mencetuskan perang yang lebih besar dan ketidakstabilan ekonomi bukan sahaja di rantau Teluk tetapi kepada dunia umumnya. Akibatnya nanti ialah, kuasa Barat akan campurtangan dan akan bermula sekali lagi penjajahan bentuk baru di bumi para sahabat dan anbiya’ itu.

No comments:

Post a Comment