Tuesday, June 15, 2010

ISLAM ADIL UNTUK SEMUA(iii) - Ucapan dasar presiden 2010

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Penglibatan PAS dalam harakah Islamiyyah juga mewajibkan kita untuk meneruskan ukhuwwah dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh, sehingga PAS terus diterima menjadi satu sahaja parti yang berwadah Islam yang syumul berada dalam gelanggang politik dalam negara kita ini. Inilah yang mewajibkan semua kumpulan Islam berada dalam saf perjuangan Islam bersama PAS. Ukhuwwah yang dibina ini pula, wajar untuk digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab ‘amal Islami yang syumul di segenap pelusuk negara.

Di atas pentas politik dalam negara kita pula, semua pihak telah menyaksikan bahawa PAS terus menerus istiqamah melaksanakan Tahaluf Siyasi sejak dari tahun 1982 di atas nama Islam, dengan pertimbangan hukum berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah, dan bukannya di atas semangat yang sempit, apatah lagi semangat perkauman yang boleh meruntuhkan pemikiran yang waras dalam negara kita.

Oleh yang demikian, pendekatan fekah politik Islam yang dipegang oleh PAS menerusi amalan Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat, dengan model Islam yang sebenar akan terus diperkasakan.

Beberapa siri pilihanraya kecil yang dihadapi bersama oleh parti dalam Pakatan Rakyat, dengan Pilihanraya Kecil Sibu menjadi yang terkini, telah menjadi medan pengukuhan hubungan antara parti di mana PAS telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerakerja sehingga
membuahkan hasil yang boleh mengubah lanskap politik negara.

Kita merasa amat berbesar hati dengan perkembangan yang sangat positif apabila PAS bersama-sama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat menjayakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang Pertama, dan telah menempa sejarah bermakna apabila telah mencapai kesepakatan dalam perkara asas iaitu :

i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,
ii. Melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan Perkara 153,
iii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan,
iv. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai linguafranca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum,
v. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undangundang yang membenarkan tahanan secara zalim,
vi. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi,
vii. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Kewajipan kita ialah meletakkan perkara ini di atas landasan yang benar dan melaksanakannya dengan istiqamah, bukannya secara slogan tanpa pengisian yang tepat, kerana kita tidak boleh
menipu rakyat dengan slogan yang manis tanpa amalan yang berasaskan kepada akhlak, adil dan amanah. Slogan yang saban ketika dijana secara kosmetik oleh Kerajaan Barisan Nasional di waktu ini seperti “Juara Rakyat”, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” akan hanya menjadi satu lagi retorik penyedap telinga semata-mata dan tidak lahir dari satu tadjid dan islah menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara kita.

1 comments:

  1. Sila ke facebook DSMM utk melihat usaha beliau membantu rakyat Kelantan...

    http://www.facebook.com/pages/Mustapa-Mohamed/227789400038

    ReplyDelete