Tuesday, April 21, 2009

HAK PERSAHABATAN DAN PERSAUDARAAN .....adakah kita telah laksanakannya SIRI TERAKHIR

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sahabat-sahabat dan teman-teman seperjuangan,

Sesungguhnya bukan sahaja dalam ibadat ada dosa pahala, bahkan dalam persahabatan dan persaudaraan juga ada dosa pahala. Sebagaimana kita wajib jaga ibadat solat maka begitulah juga kita wajib jaga persaudaraan dan persahabatan. Jagalah hati supaya tidak buruk sangka. Jagalah lidah supaya tidak mengumpat, menghina dan memfitnah sahabat dan saudara seIslam kita. Sentiasalah memelihara dan memulihara persahabatan/persaudaraan kita.

(5) HAK MEMAAFKAN KESALAHAN DAN KETELANJURAN
Keterlanjuran kawan/sahabat di dalam agamanya boleh ditegur secara lemah-lembut dengan jalan nasihat. Jika kawan itu terus tidak mengendahkan nasihat,
-memutuskan perhubungan dengannya.
-boleh diteruskan perhubungan dan rasa kasih sayang dengannya, tetapi harus membenci segala kelakuannya yang buruk itu.

Adapun ketelanjurannya terhadap diri kamu meskipun membosankan, tiada diragukan lagi utamanya dimaafkan dan menanggung dengan penuh daya-upaya segala kesalahannya itu. Malah harus dibalas dengan cara yang baik, ataupun mengharapkan sesuatu keuzuran daripadanya, sama ada dalam waktu yang dekat mahupun jauh.

Al-Ahnaf berkata: Hak seseorang sahabat atasmu ialah agar kamu menanggung tiga macam perkara, iaitu:
(1) Penganiayaan disebabkan kemarahannya
(2) Penganiayaan disebabkan perubahan keadaannya
(3) Penganiayaan disebabkan kesalahannya


Walau bagaimanapun sekalipun, bila seorang sahabat mengemukakan sebab-sebab keuzurannya, sama ada bohong apatah lagi kalau betul, maka hendaklah anda menerima keuzuran itu, sebab orang Mu’min yang sejati ketika dalam keadaaran marah, dia segera pula redha dengan alasan yang dikemukakan kepadanya. Dan kalau mesti marah atau benci pun, maka janganlah bersikap keterlaluan.

(6) HAK MENDOAKAN SAHABAT
nSewajarnyalah seorang sahabat mendoakan sahabatnya dengan doa yang baik-baik termasuk ahli rumahtangga serta tanggunggannya, sebagaimana dia mendoakan bagi dirinya sendiri; sama ada sahabat itu masih hidup atau sudah mati.

Dalam hadith ada tertera:
“Bila seseorang mendoakan bagi diri sahabatnya sedang dia tidak ada bersama-nya, maka Malaikat akan berkata: Dan engkau juga akan menerima sepertinya juga.”
“Doa seseorang untuk saudaranya dalam masa ketiadaannya, tidak akan tertolak.”

(7) HAK KEUNGGULAN JANJI DAN IKHLAS.
Erti keunggulan di sini, ialah berdiri teguh atas cinta yang berterusan, hingga menemui maut, kemudian yang hidup akan meneruskan kecintaan itu terhadap anak buah si mati dan para sahabatnya. Sebab maksud cinta itu, ialah supaya berpanjangan hingga ke Hari Akhirat. Jika cintanya terputus sebelum mati, niscaya akan sia-sialah amalan dan hilanglah segala usaha.

Diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w.pernah memuliakan seorang perempuan tua, lalu para sahabat bertanya sebabnya. Jawab baginda: Perempuan tua ini selalu datang ke rumah kami di waktu hayat Siti Khadijah, dan sesungguhnya kemuliaan janji itu dari agama.

Begitu juga memelihara sekalian rakan-rakan dan sanak-keluarganya yang menggantungkan kehidupan mereka kepadanya. Mengambil berat tentang hal-ehwal mereka ini lebih berkesan dalam hati kawan itu daripada mengambil berat tentang dirinya sendiri. Ia akan melonjakkan gembira kerana ada orang yang mengambil tahu tentang kesusahan para tanggungannya.

Apabila seseorang itu berkasih sayang pada jalan Allah jangan biarkan kasih sayang itu bercampur aduk dengan dengki dan hasad baik dalam perkara agama ataupun dunia. Bagaimana hatinya sampai tergamak dengki, padahal segala yang ada dalam tangannya itu, adalah untuk kawannya dan segala manfaat dan maslahat akan kembali kepada kawannya.

PENTING: Termasuk dalam arti keunggulan lagi ialah: Jangan sampai keadaannya berubah dalam perhubungan dengan sahabatnya andaikata dia mendapat pangkat, atau luas pengaruhnya, ataupun tinggi kedudukannya. Meninggikan diri ke atas rakan-rakan kerana sebab-sebab tersebut tadi adalah sifat yang tercela.

Selanjutnya hendaklah anda ketahui, bahawasanya pengertian keunggulan itu bukanlah bila anda menyetujui rakan anda menjejaki jalan batil dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama yang suci, malah hendaklah anda menentangnya serta menasihatinya kerana Allah.

Sebagai tanda kebenaran dan keikhlasan dalam persahabatan serta keunggulan dalam diri, hendaklah anda merasa berat bila hendak berpisah dengan kawan, tidak dapat ditanggung oleh diri biar apa pun sebabnya.

Kata seorang penyair:
Semua bencana zaman dapat kutanggung
Hanya berpisah dengan kekasih saja berat padahnya.

(8) HAK MERINGANKAN DAN TIDAK MEMBERATKAN
Hendaklah seseorang kawan itu tiada memberati kawannya dengan sesuatu perkara yang akan menjengkelkannya, bahkan hendaklah dia meringankan tanggungannya dengan memikul setengah dari kebutuhannya dan keperluannya,

Jangan sekali-kali ia membebankan kawan itu untuk menunaikan sebahagian dari kewajiban-kewajibannya sendiri. Malah jangan pula ia mengharap sesuatu dari kasih sayangnya terhadap kawan itu, melainkan semata-mata kerana Allah Ta’ala saja, ataupun menganggapnya sebagai semacam sumbangan terhadap agamanya, dan berlapang hati untuk menemui Allah serta mendekatkan diri kepadaNya. Atas tujuan-tujuan serupa itulah ia menunaikan hak-hak kawan dan memberikan bantuan-bantuan kepadanya.

Setengah para Solihin berkata: Sesiapa yang membebani saudaranya dengan sesuatu perkara yan tak dapat ditanggungnya, maka telah menganiayai saudara itu. Sesiapa membebani saudaranya pula dengan sesuatu yang pernah ia bebani sebelum itu, maka ia telah menyusahkannya. Dan sesiapa yang tidak pernah membebani saudaranya apa-apa pun, maka itulah orang yang paling utama dan paling unggul kepada sekalian saudaranya.

Kesimpulannya, janganlah sampai dia menyusahkan kawannya sama sekali sehingga ia merasa tiada malu dengan kawan , sebagai mana ia tiada malu dengan diri sendiri.
Berkata Ali r.a.: Seburuk-buruk kawan, ialah kawan yang sentiasa memberati kamu dengan perkara-perkara yang tak tertanggung, menyebabkan kamu bersikap serba-salah dan menyeret kamu kepada memuat berbagai alasan.


Al-Fudhail berkata: Yang menyebabkan orang ramai putus perhubungan antara satu dengan yang lain ialah taklif; iaitu memberatkan diri orang lain dengan bermacam-macam permintaan. Seseorang kawan menziarahi kawannya, lalu ia memberatkan kawan itu dengan berbagai-bagai tanggungan, akhirnya kawan itu pun memutuskan perhubungan dengannya.

Sahabat-sahabat.......jagalah, peliharalah, puliharalah dan suburkanlah persahabatan dan persaudaraan kita lebih-lebih di ketika kita memilih pucuk pimpinan dewan-dewan, kawasan-kawasan dan cawangan.

No comments:

Post a Comment