Thursday, August 23, 2012

Hudud: Nik Aziz tunggu Umno respons MCA


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pemimpin Umno memberi respons terlebih dahulu berhubung kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyentuh isu hudud sebelum beliau mengulas pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Mursyidul Am Pas ini berkata, Soi Lek sebelum ini secara berterusan menghina hudud dan pernah melabel seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dari Johor sebagai “hilang akal” kerana mencadangkan negeri itu melaksanakan hukum hudud.
"Saya diminta respons tentang kenyataan Karpal Singh tentang isu hudud kebelakangan ini.
“Dalam akhbar, saya lihat sudah ada beberapa respons daripada pemimpin parti. Buat masa ini, itu sudah memadai," kata beliau dalam satu entri ringkas menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Bagaimanapun menurut beliau, "saya ingin membaca respons pemimpin Umno terlebih dahulu terhadap kenyataan Presiden MCA yang menyatakan Adun Umno hilang akal kerana mencadangkan hudud."
Menteri Besar Kelantan berkata demikian berhubung laporan terbaru berhubung pendirian Karpal, yang baru-baru ini berkata akan mengambil tindakan mahkamah ke atas bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Karpal dalam mempertahankan pendirian DAP menolak hukum hudud sebelum ini terlajak kata sehingga cuba merendah dan mempertikaikan keupayaan hukum hudud dalam mengatasi jenayah.
Beliau dilaporkan berkata hukum hudud bukanlah satu undang-undang yang adil untuk semua pihak kerana hukumnya memerlukan bukti yang 100 peratus tanpa keraguan berbanding undang-undang jenayah sivil sedia ada yang hanya memerlukan bukti tanpa keraguan yang munasabah.
Dua bulan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mengambil langkah berani apabila mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.
Di pihak Pas, mereka menyambut baik dan menyokong penuh cadangan itu bairpun dilaksanakan di negeri di kuasai Umno.
Namun tindakan Ayub itu mendapat tentangan hebat dari parti komponen BN sendiri termasuk MCA dan Gerakan yang lantang menolak cadangan itu sehingga Soi Lek menggelarkan Ayub sebagai hilang akal.
Sehubungan itu, Nik Aziz berkata, beliau hanya akan memebri respon terhadap kenyataan Karpal selepas melihat respon Umno terhadap kenyataan Soi Lek itu.
"Pihak media sila dapatkan kenyataan dari pemimpin Umno terlebih dahulu untuk tatapan semua," katanya.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/hudud-nik-aziz-tunggu-umno-respons-mca-1.78229

No comments:

Post a Comment