Thursday, August 16, 2012

Apa guna puasa penuh jika…


16 OGOS ― Ramadan semakin menghampiri penghujung sekaligus menamatkan pesta ibadat setahun hijrah sekali. Ramadan tamat maka Syawal menjelma yang ditandai dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal.

Beberapa tahun kebelakangan ibadat puasa dirayakan dengan luar biasa di negara kita, malah dalam beberapa hal menandingi kemeriahan Aidilfiri itu sendiri. Semua pihak menunggu kedatangannya dengan penuh nafsu baik penjaja makanan, restoran, hotel, penjual kain dan tidak lupa kaki ibadat. Ramadan adalah pesta bagi semua.

Idealnya, Ramadan adalah bulan menguatkan moral sebagaimana dituntut dalam Al Quran dan Sunnah Rasul seterusnya meneguhkan rasa cinta dan ketakwaan kepada Sang Pencipta. Meski begitu fenomena kehidupan sosial masyarakat tidak menampakkan Ramadan memberi dampak besar dalam kehidupan seharian.

Ramadan secara mata kasar memberi impak besar dalam kehidupan seharian jika diukur dari segi ibadat ritual seperti kekerapan ke surau atau masjid, kekerapan membaca Al Quran, solat malam, beriktikaf di masjid dan sejenisnya. Selama saya hidup, inilah ukuran yang diajar kebanyakan agamawan dan sering diguna pakai untuk menilai tahap puasa seseorang.

Namun Ramadan berdampak kecil jika diukur dari sikap dan perilaku masyarakat. Ramadan seringkali digunakan sebagai alasan untuk tidak bekerja bersungguh-sungguh dengan menonjolkan muka lemah longlai menagih simpati supaya mereka yang tidak berpuasa memahami keperihan mereka.

Untuk pembenci Islam, Ramadan barangkali bulan paling sempurna untuk mereka menyerang umat Islam secara mental dan fizikal. Hanya di bulan ini wajah layu dan lemah lebih banyak ditemui berbanding wajah cergas dan ceria dan sesungguhnya inilah ciri khas Ramadan yang dicipta tanpa disedari. Ramadan adalah bulan tidak produktif dan bulan pulang awal untuk mengejar waktu berbuka.

Di bulan ini juga umat Muslim berlumba-lumba untuk berpuasa penuh dengan harapan menyelami kehidupan si miskin dan rajin bersedekah. Sesungguhnya ini amalan terpuji, hanya saja esensinya hilang begitu sahaja tatkala berbuka puasa dengan penuh kemewahan dan pembaziran.

Lebih malang amalan bersedekah sekadar tren dan setelah Ramadan pergi ia turut menghilang seolah-olah 11 bulan hijrah lainnya tiada kesusahan dan lebih sadis ada golongan yang menyucikan wang harta rasuah dengan bersedekah. Ramadan adalah bulan kepura-puraan tahap tertinggi.

Aneh kerana jika puasa dihayati dengan sesungguhnya maka gejala rasuah akan berkurangan dari tahun ke tahun dan semakin tidak ditoleransi. Malangnya ini tidak berlaku dan mereka yang kuat berpuasa tidak terlepas dari amalan rasuah baik sebagai pelaku, penerima mahupun penyokong senyap atas nama Ketuanan Melayu.

Bagi golongan ini, rasuah atas nama mempertahankan negara dari kepimpinan “kafir” DAP adalah ibadat juga. Lazimnya mereka yang di atas sering ditunjuk sebagai perasuah, namun Ramadan memperlihatkan bahawa rasuah bersifat merata melangkaui kelas walau tidak merata dari segi jumlah amaunnya. Bukan hal yang luar biasa lot dagangan untuk berniaga di bazar Ramadan dirasuahkan demi mencari “rezeki halal”, ironis sekali.

Selain bersahabat dengan rasuah, puasa penuh tidak memberi sebarang makna sekiranya kezaliman dan penindasan ditoleransi atas nama kaum dan agama. Di Malaysia, puasa itu sinonim dengan Melayu (baca Islam) dan sebagai “tuan rumah” dan “pemilik” negara ini puasa meneguhkan iltizam kerajaan yang didominasi umat Melayu untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat bukan Islam. Puasa yang menghilangkan kemanusiaan dan rasa peduli sesama yang merentas kaum dan agama menurut saya sia-sia.

Semoga puasa yang berbaki beberapa hari sempat dihayati dengan makna yang sesungguhnya dan seandainya tidak, masih banyak kesempatan dengan menggunakan 11 bulan hijrah lainnya. Sudah tiba masanya umat Islam memberikan contoh yang baik kepada dunia melalui ibadat mereka dan bukannya menonjolkan ego yang selama ini menjadi dominan dan menjadi ciri khas umat Islam.

Ibadat seharusnya menambahkan kasih sayang kita kepada Sang Pencipta dan seluruh makhlukNYA dan seandainya tidak barangkali itu adalah pemujaan syaitan.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Source: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article/apa-guna-puasa-penuh-jika/

No comments:

Post a Comment