Tuesday, December 20, 2011

Susulan Pengarah Besar diarah cuti, Felda rombak pengurusan kanan

Susulan Pengarah Besar diarah cuti, Felda rombak pengurusan kanan


Oleh G Manimaran

December 20, 2011
KUALA LUMPUR, 20 Dis — Pengurusan kanan Felda sedang melalui rombakan besar-besaran susulan keputusan kerajaan mengarahkan Pengarah Besarnya Datuk Dzulkifli Abdul Wahab bercuti sembilan bulan - didakwa sebahagian usaha menyingkirkan mereka yang dikatakan menjadi ‘penghalang’ kepada proses penyenaraian tahun depan.

The Malaysian Insider difahamkan salah satu tindakan drastik susulan selepas Dzulkifli diminta bercuti mengikuti pengajian di United Kingdom ialah menghantar Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Abidin Abd Rahman, yang akan bersara dalam beberapa bulan lagi, ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Abidin juga merupakan Setiausaha Koperasi Permodalanan Felda (KPF). Dzulkifli pula merupakan pengerusinya sebelum ini dan dilaporkan digantikan oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Difahamkan lebih banyak perubahan akan disaksikan susulan mesyuarat lembaga pengarah Felda.

“Timbalan Pengarah Besar Felda Abidin Abd Rahman pula yang jadi mangsa (sekarang). Dia ditukarkan ke Putrajaya untuk dipetisejukkan padahal dia akan pencen Jun depan. Surat belum sampai tetapi dia sudah terima makluman lisan,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider dengan merujuk kepada surat arahan cuti yang diberi kepada Dzulkifli dua minggu lalu.

Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan dan Kewangan) Datuk Suhaimi Zanuddin dilantik sebagai pemangku pengarah besar sementara Dzulkifli berada di luar negara.

“Saya difahamkan, ada terima maklumat bahawa akan ada lebih banyak perubahan selepas ini, di peringkat pengurusan kanan, ada usaha untuk membawa mereka yang seiring dengan kepimpinan Tan Sri Isa,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insider.

Menurut sumber itu, ini kali pertama Felda melalui perubahan besar-besaran di peringkat atasan sejak ia ditubuhkan lebih empat dekad lalu.

“Kami tidak tahu tujuan langkah ini diambil, tetapi dipercayai ada kaitan dengan proses penyenaraian Felda Global Ventures di Bursa Malaysia tahun depan,” katanya sambil menambah, perubahan yang jelas akan diketahui selepas mesyuarat lembaga pengarah, dipercayai akan diadakan dalam sehari dua ini.

“Saya percaya lembaga akan membuat keputusan melakukan perubahan,” katanya lagi yang kelihatan agar terkejut dengan perkembangan itu.

Minggu lalu, Kesatuan Pekerja-pekerja Felda berkata akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu cuti Dzulkifli.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Datuk Omar Osman berkata pihaknya turut terkejut dengan arahan bercuti itu ketika perkhidmatan Dzulkifli masih diperlukan oleh Felda.

“KPF akan mengutus surat kepada Datuk Seri Najib melalui Cuepacs berhubung perkara ini, untuk satu pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, Cuepacs bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perkara itu.

PKR juga mendakwa Dzulkifli digantung tugas sebagai pengarah besar Felda bagi membolehkan kerajaan meneruskan urusan penyenaraian tahun depan, yang turut mendapat bantahan sebahagian besar peneroka baru-baru ini.

Bekas timbalan presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali berkata, arahan daripada perdana menteri agar Dzulkifli mengambil cuti selama lapan bulan bertujuan memastikan beliau tidak menjadi penghalang kepada Isa.

Katanya, Dzulkifli digantikan sebagai Pengerusi KPF ketika beliau berada di Mekah untuk menunaikan umrah.

Malah minggu lalu, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan menyerahkan memorandum sokongan kepada Dzulkifli meminta Perdana Menteri kekalkan jawatan pengarah besar beliau dengan membatalkan surat arahan bercuti.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata Najib mesti menarik balik cadangan menyenaraikan Felda Global Ventures jika benar-benar mahu membela kepentingan warga Felda.

Penyenaraian yang dijangka dijalankan pertengahan tahun depan turut dibantah oleh peneroka atas alasan mereka tidak mendapat maklumat tepat dan menyeluruh.

Pihaknya juga berhasrat untuk bertemu dengan Najib bagi menuntut Najib memecat Isa sebagai Pengerusi Felda yang didakwa menyebabkan “huru-hura” dalam pengurusan Felda dan mengekalkan kedudukan Dzulkifli sebagai Pengarah Besar Felda.


Source: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/susulan-pengarah-besar-diarah-cuti-felda-rombak-pengurusan-kanan/

No comments:

Post a Comment