Thursday, December 15, 2011

Isu Dzulkifli: Kesatuan Felda sedih, mahu temu PM

Isu Dzulkifli: Kesatuan Felda sedih, mahu temu PM
December 14, 2011

KANGAR, 14 Dis – Kesatuan Pekerja-pekerja Felda (KPF) akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung isu cuti Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Setiausaha agungnya Dr Faudzuli Jaafar berkata, pihaknya sedih dengan arahan bercuti selama sembilan bulan itu kerana Dzulkifli mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Datuk Omar Osman di sini, Faudzuli berkata kesatuan itu tidak pernah dimaklumkan mengenai arahan itu.

“Kami tidak tahu arahan cuti itu daripada siapa dan mengapa. Apa yang kami tahu bilik Pengarah Besar Felda kini dikosongkan,” katanya dipetik Bernama Online.

Sehubungan itu, KPF akan berjumpa Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda untuk mendapat gambaran jelas mengenai arahan itu.

Sementara itu, Omar berkata, Cuepacs turut terkejut dengan arahan bercuti itu ketika perkhidmatan Dzulkifli masih diperlukan oleh Felda.

“KPF akan mengutus surat kepada Datuk Seri Najib melalui Cuepacs berhubung perkara ini, untuk satu pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, Cuepacs bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perkara itu.
Source: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/isu-dzulkifli-kesatuan-felda-sedih-mahu-temu-pm/

No comments:

Post a Comment