

Selaku Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak. Justeru, dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas. Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan. Dalam hal ini, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS ini.
Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti. Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-allah.
YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATO NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh pada : 26 Muharram 1433H bersamaan 22 Disember 2011M
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan
Source: http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=11263
No comments:
Post a Comment