Sunday, December 11, 2011

ANAK rancang perhimpunan protes jika Najib tak selesai krisis Felda

Anak rancang perhimpunan protes jika Najib tak selesai krisis Felda


Oleh G Manimaran
December 11, 2011

GOMBAK, 11 Dis ― Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) mahu mengadakan protes besar-besaran, dijangka awal bulan depan, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menarik balik surat yang mengarahkan Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab bercuti selama lapan bulan.

Pengerusinya Mazlan Aliman (gambar) berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Najib pada 20 Disember ini, menggesa agar proses penyenaraian Felda dibatalkan, selain menarik balik surat arahan bercuti yang dikeluarkan ke atas Dzulkifli, Jumaat lalu.

The Malaysian Insider difahamkan surat itu berkuat kuasa akhir bulan lalu.

“Kami akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan meminta beliau mengambil tindakan-tindakan ini.

“Dan, jika tidak ada apa-apa kemajuan, kami akan menggerakkan perhimpunan besar-besar seperti yang diadakan sebelum ini,” kata beliau dengan merujuk kepada perhimpunan menentang dasar PPSMI dua tahun lalu dan Bersih 2.0 Julai tahun ini.

“Kemungkinan ia akan diadakan awal tahun depan,” kata beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ketika ditemui di Markas Tarbiyah parti itu di sini malam tadi.

Anak juga akan menyerahkan memorandum sokongan kepada Dzulkifli Selasa ini berkaitan isu semasa ini.

“Kami hendak memberi sokongan kepada Datuk Dzulkifli, kami tidak mahu pegawai kanan Felda berhadapan dengan masalah seperti ini,” katanya lagi.

Kata Mazlan, pihaknya akan menyerahkan dua memorandum ini untuk menyelamatkan Felda daripada terus berhadapan dengan kontroversi dan perpecahan di kalangan para peneroka.

The Malaysian Insider difahamkan Dzulkifli akan berlepas ke United Kingdom hari ini ekoran surat arahan bercuti untuk mengikuti pengajian jangka pendek.

“Kami melihat ini usaha halus untuk menyingkirkan Datuk Dzulkifli dari Felda... jadi, kami mahu Datuk Seri Najib kembali memberi jawatan itu kepada beliau dan membatalkan surat arahan bercuti ini,” katanya lagi.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa Felda yang menjadi perhatian sejak beberapa bulan lalu disebabkan isu kepimpinan dan penyenaraian, dijangka berhadapan dengan kontroversi baru ekoran arahan agar Dzulkifli bercuti selama lapan bulan.

The Malaysian Insider difahamkan arahan itu dikeluarkan di sebalik dakwaan bahawa Dzulkifli, yang dilantik ke jawatan itu dua tahun lalu, tidak sehaluan dengan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dalam banyak perkara kontroversi, yang mendapat protes peneroka.

Antara perkara itu termasuklah proses penyenaraian Felda Global Ventures yang akan dilaksanakan tahun depan, isu perjanjian pajakan tanah dan kepimpinan Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) sendiri.

Beberapa sumber yang rapat dengan Felda mengesahkan perkara tersebut sambil mendakwa ia memang mengejutkan banyak pihak.

Kata mereka, perkembangan itu akan merumitkan lagi dilema yang menyelubungi para peneroka.

Dzulkifli yang dihubungi pagi semalam enggan mengulas mengenai perkara itu.

Beliau yang telah 30 tahun berkhidmat di Felda sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Besar (Perusahaan Perladangan dan Pembangunan Kebun) agensi pusat itu.

Dalam pada itu, Isa yang dihubungi The Malaysian Insider juga enggan mengulas.

Isu terbaru ini muncul kira-kira dua minggu selepas Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Shamsuddin Othman meminta Isa memohon maaf atas alasan telah menghina beliau pada satu majlis terbuka.

Isa sebelum ini menegaskan beliau tidak akan meminta maaf.

Shamsudin, 59, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka Wilayah Johor Bahru, merupakan satu-satunya wakil peneroka yang berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Konfrontasi antara peneroka dengan Pengerusi Felda bermula apabila Isa didakwa dilantik secara ‘kontroversi’ menjadi pengerusi KPF dengan mengetepikan Zulkifli dan perkembangan itu menyebabkan kepimpinan Felda terpecah dua kepada dua kelompok.

Sebelum ini, Anak melancarkan kempen mendakwa Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya dalam koperasi adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai pengerusi koperasi hanya bertaraf kontrak.

Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan Felda yang berstatus tetap.

Anak telah membawa kes berkenaan ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia.


Source: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anak-rancang-perhimpunan-protes-jika-najib-tak-selesai-krisis-felda/

No comments:

Post a Comment