Wednesday, January 26, 2011

Ambil Kesempatan Kemalangan & Dosa Berganda


Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang boleh dikatakan kepada pemilik
wang syiling RM75,000 yang mengalami kemalangan di Kilometer 244
Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat susur keluar Pedas. Menurut
laporan akhbar-akhbar tempatan, orang ramai dikatakan berpusu-pusu
menghentikan kenderaan mereka, sebahagiannya bukan untuk menolong
mengutip dan mengembalikan wang yang berteraburan itu tetapi
sebaliknya mengambil dan melarikan semua wang syiling yang dikutip.

Tentunya penghargaan wajar diberikan kepada mereka yang datang
membantu tetapi bagi mereka yang mengambil kesempatan melarikan wang
terbabit, kejadian seperti ini amat mendukacitakan dan jelas
memperlihatkan betapa rakusnya nafsu keinginan kepada wang.

Mereka sama sekali tidak mengendahkan persoalan hukum. Demikian amaran
Nabi Muhammad :

يأتي على المرء زمان لا يبالي المرء ما أخذ منه ، أمن الحلال أم من الحرام

Ertinya : Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi
menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag
halal atau yang haram
(Riwayat Al-Bukhari)

Lebih teruk dari itu, tiada lagi rasa ‘malu’ dan hiraukan kecederaan
tuan punya wang yang berada di tempat yang sama. Mereka juga tidak
menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri sehingga dilaporkan ada
yang mengutipnya di tengah-tengah lebuh raya, sehingga terpaksa
akhirnya pihak berkuasa menutup laluan bagi memastikan tiada
kemalangan nyawa akibat kerakusan itu.

HUKUM BARANG JUMPA

Bayangkan di dalam Islam, setiap harta yang dijumpai dan tidak
diketahui pemilik pun tidak boleh kita nikmati sebelum melalui proses
tertentu. Harta yang ditemui tanpa diketahui pemilik dinamakan
‘Luqatah’ di dalam ilmu Fiqh Islam.

Nabi menyatakan :

من وجد لقطة فليشهد ذا عدل أو ذوي عدل ولا يكتم ولا يغيب فإن وجد صاحبها
فليردها عليه وإلا فهو مال الله عز وجل يؤتيه من يشاء

Ertinya : Barangsiapa yang menumpai sesuatu harta, maka wajiblah dia
memaklumkannya ( bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil
atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan
menghilangkannya. Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya wajiblah dia
mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi adalah dikira
milik Allah dan boleh disedeqahkan kepada sesiapa yang diingini.” (
Riwayat Abu Daud )

Imam Al-Khattabi menghuraikan , ia hanya boleh dimanfaatkan oleh yang
menjumpainya setelah mencari pemilik tersebut dalam tempoh satu tahun.
( Aunul Ma’bud, hlm 101).

Itu perbincangan hukum menjumpai harta dan panjang lagi
perbincangannya dalam mazhab-mazhab Fiqh Islam, cuma dapat kita lihat
betapa Islam mengajar umatnya agar sentiasa peka dan berhati-hati
dalam apa jua harta yang diterima. Malah yang dijumpai pun belum tentu
boleh dimanfaatkan. Apatah lagi untuk mengganggap ia sebagai ‘rezeki
terpijak’ atau ‘durian runtuh’.

Jika demikian displin Islam dalam bab harta yang dijumpai, tentulah
Islam sangat melarang sesiapa juga mengambil kesempatan mencuri,
merompak dan melarikan wang yang tercicir akibat kemalangan sedang
diketahui tuannya sedang dalam kesakitan.

Sebenarnya keadaan ‘mengambil kesempatan’ di atas sesuatu musibah dan
kemalangan ini bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi telah
banyak kali dapat kita baca disiarkan oleh media massa. Ada yang
mengambil kesempatan semasa kebakaran, gempa bumi dan sepertinya,
mereka mencuri barangan tuan rumah yang terpaksa ditinggalkan.

Teringat pernah diwartakan suatu ketika dahulu, bagaimana mangsa yang
cedera parah dan yang maut akibat kemalangan dicuri dompet dan
barangan berharga mereka yang terdapat di dalam kenderaan. Semuanya
dilakukan oleh sebahagian penyamun dari kalangan orang ramai yang
berkerumun yang kononnya ingin membantu, keadaan itu menyukarkan tugas
polis untuk mengenal mangsa.

Tidak kurang juga yang merompak semasa demonstrasi dan yang lebih
teruk pernah dilaporkan, seorang pegawai sukarela menangkap pelaku
khalwat, menerima rasuah dan ada yang merogol mangsa ketika dalam
perjalanan menghantarnya ke rumah ibubapa mangsa. Begitu buruknya
sifat dan sikap manusia seperti ini.

CERMINAN MASYARAKAT KITA?

Gambaran-gambaran di atas sebenarnya mampu memberikan sedikit idea
berkenaan sikap sebahagian besar masyarakat kita hari ini. Sikap tidak
amanah apabila berhadapan dengan peluang mendapat wang dan peluang
mudah, dengan segera disambar tanpa menghiraukan kesan luka di dalam
hati mangsa. Disebabkan oleh sifat sebegini rasuah masih gagal
dihentikan, keterlibatan dalam skim cepat kaya, skim piramid dan
pelbagai skim menipu masih terus berkembang dan mendapat mangsa.

Semuanya disebabkan sifat kerakusan, malas mengkaji dan tanpa ilmu
yang menyubur, menyebabkan diri tersangkut di dalam jerat pendapatan
kononnya cara mudah.

DOSA BERGANDA

Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang
lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa. Merampas dan meragut
sememangnya merupakan suatu dosa. Namun apabila ia dilakukan di ketika
pemilik harta dalam keadaan cedera kemalangan sama ada di jalanraya
atau kemusnahan di dalam rumah. Dosa penjenayah terbabit BERGANDA,
KEHINAAN mereka di sisi Allah juga menjadi berganda.

Hal itu hampir sama seperti mengenakan caj penalti di ketika peminjam
tidak mampu melunaskan hutangnya, dan berada di dalam situasi yang
benar-benar sukar. Dalam keadaan itu, pemberi pinjam sewajarnya
memberikan waktu kelegaan bagi meringan beban peminjam dan bukan
menjerut leher mereka dengan menambah hutang mereka dengan caj penalti
yang membebankan. Ia adalah riba dan Ibn Qayyim menegaskan
pengharamannya disebabkan kezaliman jelas yang terkandung dalam
tindakan tersebut.

WAJIB PULANGKAN

Justeru, saya ingin menasihatkan mana-mana individu yang terlibat
mengutip dan melarikan wang tercicir di dalam kemalangan di lebuhraya,
agar segera bertaubat dan memulangkan wang terbabit kepada pemiliknya
walau ia bernilai beberapa ringgit.

Nabi bersabda :

لا يحل لمسلم أن يروع مسلما، إذا أخذ أحدكم متاع أخيه فليرده

Ertinya : Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang
lain, dan apabila seorang kamu mengambil hak milik saudaranya yang
lain, wajiblah dia memulangkannya kembali (Riwayat At-Tirmidzi, Abu
Daud)

Nabi juga mengingatkan :

لا يحل مال امرئ مسلم إلا بطيب نفس منه.

Ertinya : Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim (
untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya ( Riwayat
Ahmad, 5/72)

Tanpa memulangkan kembali, ia bakal menjadi suatu beban di dalam
kuburan kelak. Ia amat jelas wang yang haram digunakan oleh mereka dan
perlu disedari dosa tindakan itu berganda-ganda kerana sebab yang
dinyatakan di atas.

KESIMPULAN

Kes kemalangan di lebuhraya itu hanyalah sebagai contoh kepada semua
jenis insiden kemalangan yang lain. Amat perlu masyarakat kita
diingatkan agar tidak sama sekali mengambil kesempatan di atas
kesusahan orang lain.

Walaupun sekali pandang, kes ini kelihatan kecil dan remeh tetapi
hakikatnya ia adalah besar kerana memberi cerminan sikap masyarakat
kita yang amat gersang dari pengisian rohani dan etika, sehingga
tergamak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang. Ia juga
membimbangkan kerana melambangkan sikap pentingkan diri sendiri sudah
begitu hampir ke tahap kemuncak kejahatan.

Jika demikian sikap mereka terhadap duit beberapa sen dan ringgit
sahaja, bayangkan jika di hadapan mereka adalah wang yang lebih besar.

Pihak berwajib dan mana-mana pihak yang punyai kuasa sama ada di
peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara tidak boleh
memandang ringan insiden ini kerana ia jelas memerlukan satu plan
terbaik untuk merawat pembangunan kerohanian, integriti dan etika
masyarakat.

Tidak dinafikan, ia juga mungkin manifestasi betapa terdesaknya
masyarakat ketika menghadapi tekanan perbelanjaan harian yang semakin
meningkat dewasa ini. Tekanan yang semakin mendesak boleh
mengakibatkan seseorang bertindak seperti hilang aqal.

Semoga kita semua mampu berperanan dalam ruang lingkup kuasa kita
selain berteriak meminta pihak itu dan ini untuk bertindak. Jalan yang
terbaik untuk memulihkan masalah ini adalah mulakan dengan diri dan
keluarga sendiri.

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net

No comments:

Post a Comment