Monday, September 26, 2011

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA - ada ke jaminan ? . Sedutan Titah Diraja - PERTAMA

Teman-teman seperjuangan yang dikasihi,

Jom kita baca dan meneliti
Titah D.Y.M.M Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia kali Pertama. Kita ambil apa-apa yang dapat memberi keteguhan dan kekuatan kepada Islam di Malaysia.

http://www.islam.gov.my/sites/default/files/bahagian/bpict/titah_diraja.pdf


Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan Nya.1
Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk menyempurnakan satu tanggung jawab fardu kifayah di pagi ini. Dengan segala kerendahan sifat – kelemahan kudrat, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua.

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.

“ WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI

Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undangundang dan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.”2

3. Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.
Status Ketua Utama Negara bukan sekadar simbol hiasan. Status Ketua Agama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggung jawab besar memenuhi amanah. Terkandung lima kata kunci dalam sumpah jawatan tersebut;
ia itu: Undang-undang, Perlembagaan Negeri, Agama Islam, Adil dan Aman.

4. Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27 September ini, dianjurkan, menyusuli ketetapan yang telah diperkenankan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja. Menjunjung titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Patik merafak sembah junjungan kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku, memberikan pengiktirafan ke atas batang tubuh Patik, menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku, untuk
Patik menzahirkan Titah Diraja atas tema “MAJLIS AGAMA ISLAM PEMACU TRANSFORMASI UMMAH”.

5. Setiap yang tersurat dizahirkan dari yang tersirat. Ketetapan Majlis Raja-Raja memperkenankan kelangsungan Kongres ini, perlu direnung secara tajam, diamati secara halus dan diselami secara mendalam; betapa keprihatinan yang tersirat dalam ruang minda Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Melayu tentang senario semasa negara; senario semasa negara yang harus dirangkaikan dengan lima kata kunci yang terkandung dalam sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong; senario semasa negara berkaitan Islam, survival ummah dan perpaduan ummah, soal keluhuran Perlembagaan, soal kedaulatan undang-undang, soal keadilan, soal keamanan; serta lebih utama keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia itu, sebagai pewaris kepada Tujuh Wasiat yang telah diperkenankan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu oleh sembilan Raja Melayu pada tarikh 5 Ogos 1957, lalu memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu. - BERSAMBUNG

TITAH DIRAJA
DULI YANG MAHA MULIA
PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA NAZRIN SHAH
DI KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SELURUH MALAYSIA.

TARIKH: 26 SEPTEMBER 2011 (ISNIN); MASA: 11.30 PAGI
TEMPAT: DEWAN MERDEKA
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR.


1 Al-Quran – Saba – 34:1
2 Sumpah Jawatan Yang Dipertuan Agong, Perkara 37, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perlembagaan Persekutuan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/titah-dymm-pemangku-raja-perak-darul-ridzuan-raja-nazrin-shah-sempena-kongres-majlis-agama-islam-neg

No comments:

Post a Comment