Saturday, June 19, 2010

ISLAM ADIL UNTUK SEMUA(vii) - Ucapan dasar presiden 2010

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

KONSEP FEDERALISMA DAN MASA DEPAN NEGARA
58. PAS yang berjaya memerintah Kelantan, pernah di Terengganu dan Perak, dan terkini memimpin kerajaan di Kedah, di samping menyertai kerajaan campuran di Selangor dan Pulau Pinang telah mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri. Walaupun demikian, kita terpaksa menghadapi tekanan dan kepungan secara terbuka dan halus, daripada Kerajaan Pusat yang masih dikuasai oleh Barisan Nasional, dengan UMNO
menjadi tonggaknya.

59. Tindak-tanduk yang dilakukan oleh mereka ternyata tidak menghormati semangat Federalime yang membahagikan kuasa kerajaan negeri dan persekutuan. Akibatnya, mereka bukan sahaja
tidak menghormati perjanjian yang dimeterai tetapi bertindak melanggar perjanjian terutamanya dalam perampasan hasil bumi dalam bentuk royalti minyak di Kelantan dan Terengganu. Semuanya dilakukan dengan memutar belit Akta Petrolium dan perjanjian yang dimeteraikan
di antara kerajaan negeri dan Petronas. Sejarah tidak dapat menafikan bahawa perampasan Royalti Minyak Terengganu adalah keputusan politik yang didesak dalam perhimpunan agung Umno tahun 2000, dan mereka meneruskan tindakan zalim ini terhadap rakyat Kelantan.

60. Rakyat negeri yang telah membuat pemilihan mereka telah didera dengan tindakan zalim secara membelakangkan hak mereka, pentadbiran dan urusan yang menjadi hak kerajaan negeri tidak dihormati. Kerajaan Pusat telah menubuhkan pentadbiran negeri, daerah dan mukim secara berasingan, dengan mempolitikkan jabatanjabatan persekutuan, melantik pemimpin masyarakat yang tidak direstui rakyat, menggunakan media untuk menekan rakyat secara bohong dengan tujuan melumpuhkan dan menjatuhkan kerajaan negeri serta menyembunyikan penyelewengan kerajaan pusat.

61. Dalam hal ini, kita berjanji untuk melakukan perubahan struktur pemerintahan dan pentadbiran yang lebih adil di peringkat negeri dan persekutuan sekiranya diberikan amanah oleh rakyat dalam
pilihanraya yang akan datang. Hasilnya, rakyat akan lebih dibela dan diiktiraf oleh kerajaan yang dipilih oleh mereka sendiri.

62. Kita juga ingin mengucapkan syabas kepada kepimpinan PAS di negeri Kelantan dan Kedah, serta seluruh anggota Dewan Undangan Negeri dan Parlimen PAS di seluruh negara, kerana
walaupun terus menerus dikepung dari timur dan barat serta utara dan selatan, bahtera kerajaan dan amanah yang dipikul ini dapat terus dipertahankan. Jadikanlah istiqamah ini sebagai suatu contoh, bahawa perjuangan yang kita bawa ini adalah suatu tanggungjawab yang mempunyai kaitan antara dosa dan pahala.

KRISIS NILAI ,SOSIAL DAN EKONOMI
63. Selain dari sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan oleh rakyat, malapetaka dalam negara kita telah diburukkan lagi dengan kekalutan iklim ekonomi, krisis nilai kemanusiaan dan akhlak, runtuhnya keimanan dan sistem keadilan yang menjadi barang jualbeli oleh kerajaan UMNO-BN dalam negara kita ini. Akibatnya amalan rasuah, menipu, pecah amanah dan lain-lain masih berleluasa dalam negara dengan saban kali pendedahan baru dilakukan, di samping yang lama terdedah seperti bangkai berulat, namun tidak ada tanda tindakan yang berani mengatasinya. Kini kita mencipta sejarah yang sangat memalukan wajah Malaysia di mata dunia, apabila memiliki pesawat tempur tanpa enjin, yang tentunya lebih hebat dari sebuah pesawat tanpa pemandu (UAV) .

64. Negara kita dikurniakan hasil bumi melimpah ruah, tanah yang subur, sumber air yang kaya, semuanya mampu untuk mencukupi keperluan asasi rakyat dan membangun negara. Walau pun demikian kita tidak mencapai kemajuan yang kukuh, tetapi ada negara yang lebih maju tanpa sumber alam seperti negara kita, yang terdekat seperti Singapura, yang jauh seperti kalangan negara Eropah. Keadaan ini menunjukkan ada perkara yang tidak kena pada kita, salah urus dan penyelewengan terus berlaku, kadar kemiskinan yang ketara, paling ketara di negeri paling kaya hasil buminya seperti Sarawak, Sabah, dan Terengganu.

65. Kekayaan pula berpusing/berligar di kalangan orang-orang yang tertentu sepertimana amaran Allah SWT. Manakala hasil Negara yang turun ke bawah bagi mengatasi kemiskinan sebenarnya tidak mencukupi dan masih banyak berlaku ketirisan. Firman Allah SWT :
Apa saja harta (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya
(dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka
adalah untuk Allah, untuk rasul, kaum kerabat, anak-anak
yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam
perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orangorang
kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul
kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya
bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah amat keras hukumanNya. (Al Hasyr : 7)

66. Tindakan kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru yang masih bersifat orde lama, iaitu tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu teras
terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi. Sesebuah negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit matlamatnya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.

67. Model Ekonomi Baru itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu, di mana pihak kerajaan akan
melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.

68. Penglibatan kerajaan atau orang-orangnya yang bersaing dengan kegiatan ekonomi rakyat menimbulkan rasa tidak senang di antara satu sama lain. Semua perkara-perkara tersebut secara
langsung atau tidak langsung boleh mencetuskan rasa bencimembenci di antara kaum dan di kalangan sesama kaum. Benarlah tulisan Ibnu Khaldun di dalam bukunya "Al-Mukaddimah", :
Maksudnya :
"Kegiatan kerajaan secara langsung dalam bidang perniagaan
membawa keburukan"

69. Selain dari itu juga, tindakan pihak kerajaan memperkenalkan lesen judi bola dalam negara kita pada ketika ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini. Ianya menggambarkan bahawa kerajaan yang ada telah bankrap idea pembangunan ekonomi dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam. Perkiraan dosapahala, dan keberkatan hasil negara tidak wujud dalam pertimbangan perancangan ekonomi mereka.

70. Di atas asas kelemahan dan kepincangan ini, maka PAS akan terus menerus mendekati rakyat pelbagai rumpun dalam negara ini, dengan pendekatan penuh hikmah dan maklumat, dengan strategi yang lebih tersusun, untuk menggerakkan penyelesaian dan perubahan asas yang besar dalam negara kita, supaya kehidupan rakyat akan lebih aman dan sejahtera. Inilah masa depan negara yang kita inginkan.

71. Dalam menegakkan perubahan ini pula, yang merupakan satu tuntutan Islam, PAS akan terus memilih pendekatan demokrasi menyertai pilihanraya walaupun penuh kepincangan dan lapangannya tidak sama rata dan saksama. Kita juga akan terus komited memperjuangkan agar suatu peraturan pilihanraya yang lebih demokratik diwujudkan, pemansuhan akta yang menzalimi rakyat seperti ISA, dan kajian semula akta yang menekan rakyat seperti AUKU, Akta Polis, Akta Penerbitan, Akta Mesin Cetak dan sebagainya.

72. Namun, sekiranya jentera kita kuat dan tersusun, kemenangan boleh dicapai dan sudah terbukti dengan nyata kita pernah menang. Kita perlu istiqamah dengan mengambil lapangan yang wujud dalam amalan demokrasi, seperti dakwah, penerangan, khidmat masyarakat sehingga kita boleh menguasai masyarakat. Ingatlah, sekiranya gerakkerja kita sampai ke sasarannya, segala tipu daya dan undang-undang yang tidak adil dapat dipatahkan. PAS akan terus konsisten untuk
berjuang bagi memastikan perubahan menyeluruh dapat dilaksanakan ke atas sistem pilihanraya di negara kita yang tercinta ini.

No comments:

Post a Comment