Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Union of World  Rohingya Organzation - UWRO (Kesatuan Organisasi Rohingya Seduia ) mendesak semua organisasi antarabangsa UN, OIC, EU dan ASEAN mengambil tindakan segera ke atas perkembangan terbaru yang berlaku di Arakan, Myanmar.

Perkembangan terkini telah menunjukkan pembunuhan, pembakaran ribuan rumah dan serangan bertalu-talu yang amat dahsyat masih berlaku di serata Arakan. Oleh kerana itu badan-badan antarabangsa tidak mempunyai pilihan lain melainkan  menempatkan tentera pengaman untuk mengawal keganasan dengan serta-merta.

Gerakan ‘ethnic cleansing’ yang dijalankan sudah mencapai tahap maksima. Kerajaan Myanmar mengambil kesempatan untuk meneruskan dasar mereka untuk menghapuskan etnik Rohingya Muslim di Arakan.

Presiden Thein Sein berjaya mengaburkan mata dunia dengan berjanji untuk mencari penyelesaian bagi konflik ini ketika berucap dalam perhimpunan agung PBB yang lalu.
Laporan membuktikan keganasan yang dilakukan di kawasan minoriti Muslim terutama di Arakan terus giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Myanmar tempatan sejak 21 Oktober.
Ketika pemenang anugerah Nobel Suu Kyi disanjung , beliau nampak buntu dan tidak bersuara, adalah tidak rasional bagi organisasi bertaraf dunia seperti UN dan negara-negara ahlinya untuk berpeluk tubuh apabila jelas isu "ethnic cleansing" yang berlaku ini dibiarkan.  Walhal  suatu angkara kejam terus menerus dilakukan terhadap kaum Rohingya  oleh pihak berkuasa di bawah perkenan badan pemerintahan Myanmar itu sendiri.

Laporan yang diterima daripada perkampungan Kyauktaw and Maungdaw , menunjukkan seramai 150,000 penduduk hilang tempat tinggal dan kini terkandas di kem-kem pelarian di sekitar lapan buah kawasan dalam Arakan sejak lebih daripada empat bulan yang lalu.

Hampir sejuta penduduk yang terdiri daripada Rohingya, Kaman dan muslim Rakhine yang lainnya bukan sahaja terus terperangkap malah terpaksa hidup dalam ketakutan dek kerana ancaman yang mereka terima saban hari.

Situasi terbaru melaporkan pekan Taht Minbya dan Mrauk U adalah antara kawasan yang paling teruk dimusnahkan. Rumah-rumah milik Rohingya muslim di kampung Yainetay (Zula Fara)  di pekan Mrauk U dan kampung Nagara Pauktaw di pekan Minbya habis musnah dibakar.

Ada sumber dalaman dari Arakan  yang melapurkan pihak tentera dan polis tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menghentikan kekejaman oleh kaum Rakhine dan mereka maseh menghalau penduduk muslim keluar dari kampung.

Melalui kerjasama UWRO kami telahpun menerima laporan yang menggambarkan jumlah serangan yang kian meningkat. Kesemua laporan diteliti mengikut tarikh, masa, lokasi dan nama mangsa. Sebahagian daripada laporan adalah seperti berikut:

1) Kampung Parein yang mempunyai lebih daripada 500 buah rumah musnah terbakar pada 22 Oktober.

2) Paiketay Rwa (perkampungan nelayan) yang mengandungi sekitar 300 buah rumah, 50 daripadanya dibakar pada 21 Oktober.

3) Tharak Rwa di kampung Pann Mraung yang mempunyai hampir 190 rumah di dalam kawasan yang didominasi orang Rakhine, telah habis rentung  dibakar pada 22 Oktober; dan

4) Kampung Sudaine Rwa turut dibakar dan kesemua rumah rentung dibakar pada 22 Oktober

Untuk kedua-dua bandar tersebut, sumber menyatakan anggaran kematian menghampiri 100 orang, namun buat masa ini lebih daripada sepuluh yang dijumpai mati termasuk 3 orang Rakhine.

Di bandar Kyaukpyu, dua buah masjid, Anauk Paikseik (kampung nelayan barat) dan Arashi Quarter telah diserang.

Kini, penculikan, penyiksaan and rampasan harta Rohingya oleh orang Rakhine berkembang di seluruh Arakan yang turut dibantu oleh pihak polis dan sami-sami.

Rumah-rumah orang Rohingya, Kaman dan Rakhine Muslim yang berada di kampung Parien di bandar Mrauk U dan Paiketay Rwa (perkampungan nelayan), Tharak Rwa di kampung Pann Mraung, kampung Sudaine Rwa di bandar Minbya semuanya diserang dengan teruk.

Situasi di Yangon juga tidak dapat dipastikan memandangkan sami-sami telah menyebarkan risalah-risalah yang menyalahkan orang-orang Islam yang didakwa mendominasi perniagaan, pembangunan dan kepimpinan. Sumber maklumat mengesahkan ratusan sami-sami palsu bersedia untuk menyerang orang Islam di bandar Mingaladon dan Tinngangyuan.

Di samping Myanmar kini menikmati pengiktirafan dari negara-negara membangun kerana kononnya ia telah mengubah polisi dari penindasan ke atas rakyatnya sendiri. Namun Presiden Thein Sein masih sewenang-wenangnya meneruskan pelan penghapusannya terhadap etnik Rohingya.

Walaupun diplomat PBB, Nambia dan Quintana baru sahaja mengunjungi Myanmar untuk meninjau krisis ini, PBB tetap membiarkan situasi ini berterusan dan sekadar merujuk kepada boneka Pengurusan Hak Asasi Manusia Myanmar untuk membuat siasatan lanjut.  Sehingga hari ini masih tiada apa-apa usaha yang dijalankan untuk menghentikan kekejaman yang berlaku.

Krisis semasa ini mendesak OIC dan PBB untuk mengambil tindakan segera. Tiada kunjungan diplomatik setakat ini yang mampu meredakan krisis yang berterusan di Myanmar.

Kami menyeru Tentera Pengaman Khas  PBB diwujudkan segera dan dihatar segera ke Myanamr demi melindungi komuniti Rohingya.

Pengumuman baru-baru ini oleh ketua Muslim di Yangon yang menyatakan keputusan untuk tidak melaksanakan Qurban mencerminkan keterdesakan dan kerumitan yang dihadapi oleh Muslim di Myanmar.

Oleh itu, kami menyeru Muslim di seluruh dunia untuk menunjukkan sokongan kepada orang Rohingya dan mendesak OIC untuk menghantar delegasi khas pada hari Raya Aidul Adha dan menuntut Kerajaan Myanmar untuk melindungi orang Rohingya dari serangan yang berterusan ini.

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA
Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiusaha Agung MAPIM

Ghiyathudeen Abdul Salam
Setiausha Agung UWRO