Thursday, October 4, 2012

'Maafkan saya merompak' - Akui tiada pilihan



'Maafkan saya merompak' - Akui tiada pilihan
Wan Seman berbangga apabila tanamannya dapat dirasai anak dan cucunya.
PASIR MAS – “Maafkan saya kerana mencuri dan merompak,” kata seorang warga emas yang mencecah usia 106 tahun, semalam.

Disebabkan keadaan darurat ketika diserang tentera Jepun pada 1942, Wan Seman Wan Soh bersama 12 rakan sekampung, berjalan kaki sehingga ke Labok, Machang untuk mencuri dan merompak.

Wan Seman berkata, bukan kerana mereka terlalu malas mengusahakan kebun, tetapi semua tanaman sekitar kampung, dicuri sama ada oleh penduduk kampung sendiri atau dirampas tentera Jepun.

“Kami terpaksa merompak di rumah orang kaya dan mengambil apa sahaja barangan berharga dan makanan yang disimpan.

“Saya cuba meminta maaf, tetapi semua mangsa saya mungkin sudah meninggal dunia,” katanya semalam.

Wan Seman berkata, dia turut memohon maaf bagi pihak rakan-rakannya yang lain, memandangkan mereka juga telah meninggal dunia puluhan tahun lalu.


Penjara 19 bulan

Menurutnya, dia menyesal kerana terlibat dalam aktiviti jenayah ini kerana di usia yang lanjut ini, amalan akhiratlah yang menjadi keutamaan.

“Disebabkan perbuatan itu, kami ditangkap tentera Jepun dan ditempatkan di Penjara Kota Bharu selama 19 bulan. Meskipun saya dihukum, isteri tetap menunggu sehingga saya dibebaskan,” katanya.

Wan Seman menambah, ketika dipenjarakan, dia tidak pelik jika rakannya meninggal memandangkan mereka hanya diberi makan sekali sehari.

"Makanan yang diberi hanya cukup sesudu nasi setiap orang, maka tidak mustahil ramai yang mati ketika dalam penjara," katanya.


Buruh paksa jika ingkar

Menurutnya, keadaan ketika pemerintahan Jepun ketika itu terlalu seksa, kerana jika ada yang ingkar, penduduk akan dikerah ke Thailand atau Burma.

Wan Seman berkata, penduduk terpaksa mengikut perintah agar tidak dikerah ke luar negara.

“Sekiranya kami ke sana, kami mungkin tidak akan pulang lagi ke kampung, buat selama-lamanya.

“Penduduk yang dipaksa dulu, tidak pernah pulang sehingga ada yang meninggal dunia ketika bekerja,” katanya, semalam.


Jodohkan segera anak gadis

Disebabkan takut, penduduk kampung sanggup menyerahkan anak-anak perempuan mereka kepada pemuda untuk dijadikan isteri. Maka tidak hairanlah, anak-anak kecil ketika itu, berkahwin ketika usia baru mencecah 10 tahun.

“Biarpun sudah mempunyai isteri, orang kampung mempelawa anak muda untuk mengahwini anak dara mereka kerana tidak mahu mereka dilarikan oleh tentera Jepun.

“Sekiranya sudah berkahwin, gadis di sini tidak akan diganggu mahupun dilarikan untuk menjadi buruh paksa,” katanya, semalam.


Tali barut Jepun

Wan Seman berkata, penduduk tidak dapat bersembunyi dengan baik, kerana tali barut Jepun yang digelar ‘Gede’, sering menemui mereka.

Menurutnya, sekiranya penduduk ingkar dengan perintah Gede, mereka akan diseksa dan dipisahkan daripada keluarga.

“Tidak semua tentera Jepun jahat, kerana selagi kita patuh, semua urusan harian termasuk menunaikan solat, boleh dibuat dengan tenang. Namun, Gede yang angkuh dengan kuasa yang diberikan tentera Jepun, menindas penduduk kampung tanpa belas kasihan,” katanya, semalam.


Kesihatan masih baik

Penduduk di sini, kagum kerana usia Wan Seman yang dijangka lebih 100 tahun, namun tidak mempunyai sebarang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi mahupun lemah jantung.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik, ia memudahkan saya mengumpul amalan untuk bekalan di akhirat,” katanya.

No comments:

Post a Comment