Tuesday, October 23, 2012

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia(MAPIM) bantah sikap biadap parti



Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid
ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membantah sikap biadab parti politik tertentu yang meneruskan serangan serta penghinaan terhadap hukum hudud.
Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Gerakan dan MCA menggunakan kesempatan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk melancarkan kempen anti hudud dengan menyatakan pendirian secara terbuka yang melampau.
“Kita tidak mempunyai masalah jika mereka tidak bersetuju dengan hukum hudud dilaksanakan ke atas bukan Islam tetapi mereka dilihat cuba berselindung di sebalik alasan hudud yang diutarakan iaitu hudud buatan Pas untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh perasaan umat Islam.
“Pakar undang-undang dan ahli ilmuan Islam boleh berhujah jika mereka bersedia untuk memahami kenapa hukum hudud jauh lebih berkesan dalam membanteras gejala jenayah,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Azmi berkata, tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Gerakan Kedah yang merendahkan hukum hudud dianggap sengaja mahu memprovokasi sentimen agama antara orang Islam dan bukan Islam.
“Mereka mencari alasan untuk menanamkan kebencian orang bukan Islam kepada hukum Islam dan menghilangkan hormat terhadap kedudukan Islam di negara ini.
“Hudud kini jadi bahan serangan murahan kepada parti politik mahu mencari kelebihan untuk meraih pengundi bukan Islam. Apakah isu yang mempunyai implikasi menyentuh sensitiviti umat Islam tidak diambil peduli?,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai gambaran buruk diberikan kepada hukum hudud termasuk tohmahan ia adalah hukum sebuah parti politik dengan harapan bagi kesan negatif kepada golongan bukan Islam.
“Kita tetap menyokong pelaksanaan hukum Allah kerana ia adalah kewajipan dan keyakinan bahawa hanya ia sahaja yang mampu mengekang gejala jenayah sekarang. Kita berpendirian teguh serangan terhadap hudud tidak akan di kompromi.
“Hukum Islam diperkatakan secara tidak beradab kerana selama ini orang bukan Islam sering dipengaruhi tanggapan hukum Islam tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana dianggap berbilang bangsa serta agama,” katanya.

No comments:

Post a Comment