Ketika diminta memperjelaskan laporan media kononnya beliau tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Abdul Hadi berkata perkara itu adalah biasa kerana akhlak seorang muslim yang baik adalah tidak meminta jawatan.
"Memang dalam perjuangan ini kena bagi kepada pelapis-pelapis, kita dalam PAS memang begitu. Kita tak boleh berlumba nak jadi ketua, kita kena berlumba untuk berkhidmat.
"Tapi terpulang kepada ahli-ahli parti jemaah kita. Kalau tak ada orang, kita wajib ke hadapan, begitu kaedahnya," jelasnya ketika menjawab pertanyaan peserta Retreat Harakah: Persiapan Menghadapi PRU13 di Hutan Lipur Sungai Tua, dekat sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang akan berundur dari bertanding pada PRU-13 nanti.
Laporan itu sekaligus mencetuskan polemik sehingga rakan Pakatan Rakyat lain termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan agar Abdul Hadi tidak bertindak demikian.
Terbaru, hari ini Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menyatakan rasa tidak bersetuju dengan keputusan Abdul Hadi itu.
Katanya, Abdul Hadi, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.
Pemimpin dan media Umno pula terus mengambil kesempatan seolah-olah memberi gambaran kononnya Presiden PAS itu 'merajuk'.
"Kalau kita lihat di Tunisia, yang menonjolnya Rashid Ghannushi (Parti Nahdah), bila pilihan raya Ghannushi tak jadi calon," jelas presiden PAS itu membuat perbandingan.
Abdul Hadi telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama tujuh penggal bermula tahun 1982 dan ahli parlimen selama empat penggal serta Ketua Pembangkang di parlimen.
Beliau juga pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004 selepas PAS menang pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999.
"Inilah adab dalam parti kita, sebab itu kita berbeza dengan Umno," jelas Abdul Hadi.
No comments:
Post a Comment