Sunday, January 29, 2012

Felda diunjur defisit selepas penyenaraian FGVH?

Felda diunjur defisit selepas penyenaraian FGVH?

Dr. Rosli Yaakop, 28 Jan 2012

Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa (Malaysiakini, 27 Januari 2012) angka-angka yang didedahkan oleh Presiden ANAK, Mazlan Aliman dan saya pada sidang akhbar pada 26 Januari 2012 tidak betul. Saya ingin memberitahu bahawa maklumat yang kami perolehi adalah berwibawa. Tentang angka-angka yang kami sebut, saya mahu menegaskan di sini bahawa saya tidak mereka-reka angka. Saya memetik angka-angka itu dari sumber yang diyakini berstatus “boleh dipercayai” (reliable). Saya tidak memetik angka dari sumber yang saya yakini “tidak boleh dipercayai” jauh sekali untuk mengada-adakan angka sendiri.

Di antaranya, sumber yang boleh dipercayai itu memberitahu bahawa Felda menanggung perbelanjaan sebesar RM1.745 bilion dalam tahun 2007. Dalam tahun 2010 pula, ia menanggung perbelanjaan sebesar RM1.981 bilion. Butiran-butiran utama perbelanjaan ini ialah perbelanjaan peneroka (35-37%), perbelanjaan pengurusan (25-27%), perbelanjaan tanam semula peneroka (23-25%) dan pinjaman kepada peneroka.

Felda membiayai perbelanjaan ini melalui pelbagai sumber, iaitu, pendapatan dari ladang, dividen, geran infrasturktur yang diterima dan lain-lain dan hakikatnya, pendapatan dari ladanglah yang utama merupakan 60-70% daripada jumlah pendapatan. Dalam tahun 2007, pendapatan Felda berjumlah RM2.134 bilion yang mana RM1.349 bilion adalah pendapatan ladang. Dalam tahun 2010, Felda menjana pendapatan berjumlah RM2.387 bilion yang mana pendapatan dari ladang berjumlah RM1.43 bilion.

Dalam struktur organisasi yang ada sekarang, Felda menikmati lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan. Dalam tahun 2007, lebihan pendapatan berjumlah RM389 juta (RM2.134 bilion – RM1.745 bilion). Dalam tahun 2010 pula, lebihan pendapatan berjumalah RM406 juta (RM2.387 bilion – RM1.981 bilion).

Berdasarkan cadangan penyenaraian FGVB, senario ini akan berubah seperti berikut: Felda akan memajakkan kesemua tanah yang ia miliki (bukan tanah milik langsung peneroka) kepada FGVHB selama 99 tahun merangkumi “tanah semasa” (tanah yang mempunyai geran hak milik), “tanah semasa tambahan” (tanah belum ada lagi geran hak milik) dan “tanah masa hadapan” (sebarang tanah yang akan diberi miliki atau diambil alih oleh Felda di masa hadapan). Sebagai balasan kepada memajakkan tanah kepada FGVB, Felda akan dibayar seperti berikut: RM251 juta setahun bagi sewa tanah (Datuk Maslan: RM1.5 bilion setahun sebagai “pendapatan bersama” Felda dan FGVHB) dan RM508 juta (anggaran) yang merupakan 15% dari keuntungan operasi pertanian yang dijangka diperolehi FGVHB selepas penyenaraian kelak. Oleh itu, jumlah pendapatan Felda selepas penyenaraian ialah RM759 juta. Jelas, jumlah ini memang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan Felda di anggarkan berjumlah antara RM1.7-2.0 bilion setahun (2007-2010).

Dalam tempoh 2007-2010 (4 tahun), purata pendapatan ladang ialah RM1.357 bilion setahun. Selepas disenaraikan nanti, Felda akan hanya menerima RM508 juta atau 15% dari jumlah keuntungan tahunan (anggaran), bermakna akibat penyenaraian FGVB, Felda akan kehilangan pendapatan ladang sebesar RM849 juta setiap tahun, kurang atau lebih, bergantung kepada pendapatan sebenar.

Untuk menampong kekurangan ini ada tiga syor yang diberitahu oleh sumber yang boleh dipercayai itu, iaitu, pertama, kadar pajakan tahunan dibayar mengikut kadar pajakan semasa (bermakna kadar pajakan dalam cadangan sekarang adalah rendah). Kedua, kadar perkongsian keuntungan tahunan dinaikkan dari 15% kepada 30%. Ketiga, FGVHB menyediakan wang tahunan berjumlah tidak kurang dari RM1.5 bilion kepada Felda. Namun, setakat ini, syor ini tidak ada dalam deraf perjanjian pajakan, mungkin alasannya ialah ia akan memberi kesan negatif kepada prestasi kewangan FGVHB sekaligus menghadkan nilai saham di pasaran. Atas fakta inilah dikatakan Felda akan dalam defisit selepas penyenaraian. Kalau tidak, syor-syor yang demikian tidak mungkin timbul.

Saya juga mendapat tahu bahawa, pertama, kadar pajakkan itu tidak berubah selama 10 tahun, bermakna selama 10 tahun bermula dari perjanjian pajakan dimeterai, sewa tahunan yang diterima oleh Felda kekal pada RM251 juta setahun. Juga, kadar sewa tanah berbeda-beda dari negeri ke negeri. Tanah Felda di negeri Pahang sewanya paling tinggi, iaitu, melebihi RM1,000 se hektar setahun dan yang paling rendah Perlis, iaitu, di bawah RM90 se hektar setahun. Di negeri selebihnya, kadar sewa tanah berubah-ubah di antara setinggi-tingginya sekitar RM900 se hektar setahun dan serendah-rendahnya RM100 se hektar setahun.

Kedua, keuntungan sebanyak 15% yang akan diberi kepada Felda setiap tahun hanyalah “keuntungan dari operasi pertanian,” bermakna pendapatan daripada aktiviti pemprosesan dan pengewangan sisa (monetisation of by-products) diambil semuanya oleh FGVHB. Keuntungan ini adalah keuntungan”amat” bersih, iaitu, semua kos telah ditolak termasuk kos membina infrastruktur dan kos pengurusan estet.

Saya sedia diperbetulkan.


Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7795-felda-diunjur-defisit-selepas-penyenaraian-fgvh

No comments:

Post a Comment