Friday, September 30, 2011

Hak PAS untuk Melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Tidak dinafikan

Hak PAS untuk Melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Tidak dinafikan
1. Semalam, hampir 4 jam Pakatan Rakyat telah membincangkan hasrat PAS mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan dalam keadaan penuh harmoni dan semangat toleransi yang seimbang. Sungguhpun mewakili anutan ideology dan agama yang berbeza, namun disiplin muafakat dan keterbukaan sikap diserlahkan dalam setiap hujjah dan perbahasan bag
i memastikan Pakatan Rakyat bukan sahaja berupaya merungkai masaalah yang sedang dihadapi tetapi juga terus mendada, mendepani segala cabaran dan halangan yang mahu menggagalkan Pakatan Rakyat membuka ibupejabat pentadbiran kerajaannya di Putrajaya.

2. PAS menyatakan hasratnya yang murni dengan penuh tertib dan jelas membawa maksud mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di Kelantan bersulamkan hujjah yang bernas pula dari saff kepimpinannya yang diketuai oleh Yb. Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Sementara rakan – rakan parti kompenan Pakatan Rakyat yang terdiri dari DAP dan PKR mengemukakan pandangan balas mereka, mengimbangi kepentingan semua pula melatari scenario politik semasa.

3. Akhirnya, kata sepakat dicapai dengan semua parti kompenan Pakatan Rakyat mempertegaskan untuk saling kukuh mengukuh dalam perkara yang dipersetujui bersama seperti objektif, agenda, dasar dan prinsip yang terkandung di dalam Buku Jingga. Sementara dalam perkara yang berbeza seperti teras ideology dan prinsip agama yang dianut meletakkan semua parti kompenan Pakatan Rakyat untuk saling hormat – menghormati antara satu sama lain.

4. Statement ini adalah suatu yang telah didirikan di atas semangat muafakat yang luar biasa pula menepati ajaran Islam yang suci. Bagaimana Rasulullah saw pernah bangun berdiri tatkala dibawa lalu di hadapannya jenazah non muslim, lantas baginda saw. ditegur ekoran tindakan baginda saw berdiri menghormati jenazah tersebut. Baginda saw menjawab, bukankah ia juga manusia, dihormati sewaktu hidupnya dan dihormati juga sewaktu matinya.

5. Menghormati tidak bermakna bersetuju. Sebagaimana Islam tidak pernah dan tidak boleh bersetuju dengan agama yang mensyirikkan Allah swt. namun Islam mengajar kita menghormati hak mereka untuk menunaikan ajaran agama yang mereka anut malah mereka tidak boleh sekali – kali dipaksa menerima Islam justeru Islam hanya sah dianut dengan yakin, sedar dan insaf. Demikianlah sebaliknya, mereka juga wajar menghormati hak orang Islam untuk mengamal atau melaksanakan tuntutan ajaran Islam meskipun mereka tidak bersetuju dengan ajaran Islam tersebut kerana menghormati tidak bermakna bersetuju.

6. Menghormati bermakna tidak menghalang. Sebagaimana Islam tidak boleh menghalang non muslim melaksanakan hak dan ajaran agama mereka justeru Islam dituntut menghormati mereka, demikianlah sebaliknya mereka juga tidak menghalang hak orang Islam untuk mengamal dan melaksanakan tuntutan ajaran Islam seperti undang – undang syariah Islam. Inilah semangat dan ruh hormat – menghormati dalam perkara yang berbeza antara muslim dan non muslim.

7. Sangat jauh bezanya jika kita melihat bagaimana UMNO dan BN melayan hasrat PAS untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan. Sejak awal dulu, pemimpin UMNO biarpun mengaku muslim sangat konsisten untuk menolak perlaksanaan syariat Islam ini. Sudahlah mereka menolak syariat itu, mereka juga bertindak lebih nekad dan biadab apabila turut menghalang PAS yang mahu melaksanakannya. UMNO gagal menjadi budak baik, apabila mereka tidak mampu melaksanakannya, dia halang dan marah pula orang lain yang mahu melaksanakannya.

8. UMNO bukan sahaja gagal menjadi budak baik tetapi kelihatan sangat naïf dan gugup apabila tergesa – gesa Presidennya mengeluarkan komitmen enggan melaksanakan hukum Hudud yang menjadi sebahagian dari Syariat Allah swt sebaik sahaja disergah MCA yang mengancam mahu keluar dari BN jika UMNO melaksana hudud. Padahal MCA hanya acah – acah sahaja untuk meninggalkan BN kerana mereka terlebih awal tahu “perut pedal” UMNO sangat “istiqamah” menentang dan enggan melaksanakan hudud.

9. PAS telah membuat pengisytiharan sejak 1993 [ sebelum wujudnya Pakatan Rakyat ] untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 apabila Enakmen itu telah diluluskan di DUN Kelantan yang dikuasai oleh PAS pada waktu itu. Kemudiannya diperkukuhkan pula pengisytiharan itu pada tahun 2003 apabila Enakmen Jenayah Syariah tersebut dilulus dan digazetkan pula oleh DUN Terengganu apabila PAS menguasai negeri itu secara demokrasi.

10. Pengisytiharan dan hasrat tersebut tidak pernah dinasakhkan [ dihapuskan ] malah Kelantan terus membina semangat dan mendidik rakyatnya dengan menganjurkan siri wacana, diskusi, forum bagi menjelaskan hukum jenayah syariah [ hudud ] secara terperinci.

11. Terbaru, YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar sekali lagi mempertegaskan hasrat untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 setelah sekian lama tertangguh kerana berhadapan dengan pelbagai kekangan. Saya melihat penegasan itu bukan retorik atau gimik menghadapi pilihanraya justeru itulah yang diulang saban tahun, samaada tahun pilihanraya atau tidak. Sebaliknya penegasan itu datang dari iman dan taqwa beliau selaku seorang muslim, pula berilmu dan memiliki kuasa memerintah kerajaan negeri.


12. Saya mewakili rakan – rakan EXCO Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh warganya sebulat suara menyokong langkah tegas YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz untuk terus meraih redha dan keampunan Allah buat pemerintahan negeri Kelantan dengan melaksanakan apa yang telah menjadi perintah Allah swt. dan kami juga menegaskan bahawa kami bukan sekadar menyokong sebaliknya terus berjuang untuk memastikan hukum Allah swt ini akhirnya berdaulat di atas muka bumi ini khasnya di Kelantan.
Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan pemuda PAS Malaysia
Baca Selanjutnya...

Thursday, September 29, 2011

HUDUD DI KELANTAN. . . . .BUKAN ISLAM jangan keliru n celaru

Jom kita baca kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan. Baca dan fahami betul-betul supaya TIDAK KELIRU dan TIDAK CELARU nanti.

KOTA BHARU 26 Sept. – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempersoalkan apa hubungan DAP dengan Islam sehingga pemimpin parti tersebut sanggup bertindak ‘mengugut’ akan meletakkan jawatan beramai-ramai jika Pas meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud.

Menurut Nik Abdul Aziz (gambar), tindakan pemimpin DAP itu amat menghairankan kerana hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh Pas adalah untuk orang Islam dan melibatkan mahkamah syariah yang hanya mengendalikan kes-kes membabitkan orang Islam.

Beliau juga secara sinis mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa, mana-mana pihak termasuk DAP yang menentang hasrat Pas itu ibarat “orang takut melihat hantu.”

“Nak keluar kerana apa? Hudud untuk orang Islam, apa hubungan dia dengan Islam? Macam saya kata kelmarinlah, orang takut hudud macam takut hantulah. Tanya dia hantu benda apa, dia tak tahu tapi orang dah takut dia takut sama. Budak kecil takut hantu tapi tanya dia apa hantu, dia tak tahu tapi mengaku takut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang menegaskan, pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, mengulangi kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini bahawa parti itu tidak akan menerima hudud atau idea membentuk sebuah negara Islam sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.

Ditanya kemungkinan Pas akan kehilangan sokongan pengundi bukan Islam sekiranya melaksanakan hudud, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas sebaliknya mempersoalkan kenapa masyarakat bukan Islam tidak menyokong parti tersebut.

“Tak sokong kerana apa, kerana hudud? Ini bukan untuk dia, untuk orang Islam,” katanya sinis.

Nik Abdul Aziz semalam memberitahu, kerajaan Pas Kelantan kini dalam usaha memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum di mahkamah syariahnya walaupun pelaksanaan hukum Islam itu ditentang keras oleh DAP.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan hakim-hakim menggunakan akta tersebut dalam perbicaraan sesuatu kes sekiranya wujud prima facie.

Ditanya sama ada kerajaan negeri perlu meminta kebenaran daripada Kerajaan Pusat sekiranya hendak melaksanakan hukum tersebut, Nik Abdul Aziz berkata, ia tetap perlu meminta kebenaran walaupun bidang kuasa membabitkan mahkamah syariah terletak di bawah sultan.

“Tentu kena mintalah, jadi dia dah buat kenyataan semalam tak beri, Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) serupa sahaja sama-sama tak beri belaka. Jadi kesimpulannya, hudud tak boleh buat bukan kerana apa, kerana UMNO tak bagi.”

Oleh YULPISMAN ASLI utusankelantan@utusan.com.my


Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka%5FHadapan&pg=mh_03.htm
Baca Selanjutnya...

Wednesday, September 28, 2011

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA - ada ke jaminan ? . Sedutan Titah Diraja - KETIGA

Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amar makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala16

11. Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak17. Di negeri Perak, Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing18.


12. Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu meneruskan tradisi pemerintahan beraja yang kekal berpandukan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris dalam pentadbiran negerinegeri Melayu. Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam. Proses peralihan kepada sistem pentadbiran perundangan Inggeris telah dilakukan dari negeri ke negeri. Hal ehwal Islam ditadbirkan secara
berasingan dengan penubuhan institusi-institusi khusus untuk urusan Agama Islam dan adat istiadat Melayu.


13. Di negeri Perak, pentadbiran Islam dipertanggungjawabkan kepada beberapa Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Sultan19. Salah seorang Orang Besar Delapan, Imam Paduka Tuan dilantik memegang jawatan Kadi20. Di pertengahan abad kesembilan belas, terdapat gelaran-gelaran Imam Seri Raja Kota Lama Kanan, Imam Siraja Pakih Kota Lama Kiri, Imam Malaikat Amin Ketior, Imam Siraja Diraja Geronggong, Imam Seri Jidin Sayong, Imam Siraja Mahkota Bota, Imam SyakuI-Islam Pasir Salak dan Imam Siraja Dalam Istana Sultan21. Dalam abad kedua puluh, Majlis Orang Besar-Orang Besar dan ulama ditubuhkan untuk mengambil tanggung jawab mengurus tadbir hal ehwal Islam di Perak22.


14. Amat ketara, urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek perundangan, toleransi, ekonomi dan sosial ketika itu, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini23. Pengiktirafan tersebut selanjutnya diterjemahkan melalui kes Raman – lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah “lex loci of the land”24. Begitu ketara Inggeris mengakui hakikat
bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai agama bagi negeri-negeri Tanah Melayu, berkedudukan tertinggi berbanding agama-agama lain.


15. Berasaskan hakikat tersebut, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan supaya Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Parti Perikatan adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu, masyarakat Cina dan masyarakat India, tiga kaum utama di kalangan penduduk Tanah Melayu. Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat 15 buah
negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka, Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:
Petikan:
“ If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya. In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in in the Federal”25


16. Tradisi pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan- kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), meletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di Negeri-Negeri. Islam adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.


16 T. Arnold, The Caliphate, (Karachi: Oxford University Press, 1965), 50; S,N.H. Naqvi, Ethicsand Economy: An Islamic Approach,
(Leicester: Islamic Foundation, 1981) 45-47.
17 Mahamad Naser bin Desa, “Kekebalan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan”, Wacana Ilmiah, ILIM 2009, 1
18 Ibid.
19 Abdullah Alwi Hassan, opcit, 19.
20 R.J. Wilkinson, Notes on Perak, History: Papers on Malay Subjects, History Pt. II, (Kuala Lumpur: F.M.S. Govt. Press, 1924) 69-
71; E. Sadka, “The Journal of Sir Hugh Low, Perak. 1887”, JMBRAS, Vol. XXVII, Pt. 4, No. 168 (1954), 107-108. dlm Abdullah
Alwi Hassan., 19.
21 R.J. Wilkinson, opcit, 72, dalam Abdullah Alwi Hassan, 19.
22 Perak State Council Minutes, 1877-82, dicetak di dalam R.J. Wilkinson, Papers on Malay Subjects, Ser 1, History Pts 3 and 4,
(1907-1909), Passim; Perak Annual Report, 1932, 3. dalam Abdullah Alwi Hassan, 20.
23 Ibid.
24 (1927) 6, FMSLR 128, dipetik dari Mahamad Naser bin Desa.
25 Ahmad Ibrahim: The Position of Islam in The constitution of Malaysia, 213



17. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain26, telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan; dan hakikat akan penerusan kedaulatan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia. Adalah penting untuk Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan secara menyeluruh untuk memastikan kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.27


18. Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.


19. Dalam kes Dato’ Menteri Othman bin Baginda & Anor melawan Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus28,
Ketua Hakim Negara ketika itu, Yang Amat Arif Raja Azlan Shah memutuskan antara lain:
Petikan:
“ In interpreting a constitution two points must be borne in mind. First, judicial precedent plays a lesser part than is normal in matters of ordinary statutory interpretation. Secondly, a constitution, being a living piece of legislation, its provision must be construed broadly and not in a pedantic way – with less rigidity and more generosity than other Acts”
(see Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21)

Yang Amat Arif Raja Azlan Shah seterusnya menyatakan:
Petikan:
“It is in the light of this kind of ambulatory approach that we must construe our Constitution. The Federal Constitution was enacted as a result of negotiations and discussions between the British Government, the Malay Rulers and the Alliance Party relating to the terms on which independence should be granted. One of its main features is the enumeration and entrenchment of certain rights and freedoms. Embodied in these rights are the guarantee provisions of Article 71 and the first point to note is that, that right does not claim to be new. It already exists long before Merdeka, and the purpose of the entrenchment is to protect it against encroachment.”


20. Segala yang terpahat di dalam Perlembagaan adalah dalam semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara kekal terjamin. Perkaraperkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik. Perkara-perkara tersebut adalah prinsip asas, prinsip utama yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan.


21. Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan29. Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain – lawan – Fatimah Sihi dan yang lain,30 telah memberikan tafsiran berikut:
Petikan:
“... Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdidiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam....”


22. Setelah lima puluh empat tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah tiga belas Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah dua belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan -BERSAMBUNG di
http://www.islam.gov.my/sites/default/files/bahagian/bpict/titah_diraja.pdf

26 Perkara 11(4), 12 (2), 121 (1A), Senarai 2-Senarai Negeri – Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
27 Abdul Kadir bin Sulaiman, Ucaptama: “Kedudukan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan Dalam Perlembagaan Persekutuan”, 4.
28 (1981) 1 MLJ 29
29 Mahamad Naser bin Disa, opcit, 6.
30 (2000) 1 CLJ 393

Baca Selanjutnya...

Tuesday, September 27, 2011

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA - ada ke jaminan ? . Sedutan Titah Diraja - KEDUA

6. Perlembagaan Persekutuan secara nyata menetapkan kewajipan penting Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, selaku Ketua Utama Negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa. Tanggung jawab penting tersebut didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di Negeri-negeri. Tanggung jawab penting tersebut telah sekian lama diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu telah menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan kesucian Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam dilindungi dari penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan. Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Negeri menggubal undang-undang untuk mempertahankan agama Islam dan penganutnya dari dipengaruhi unsur-unsur agama lain.


7. Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Islam terpahat kukuh di persada
sejarah negara. Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka 3. Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409 4, Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu 5, dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)6 Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara7.


8. Risalah Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan
rohani, begitu serasi - begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu. Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia. Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala8. Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat 9. Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru10.


9. Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu. Ia telah mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan
umat, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur11. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya12. Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan susila serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan13.


10. Beberapa pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan identiti baru. Raja
dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)”14. Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia15. Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amar makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala16 . ...........BERSAMBUNG


3 Mahayuddin Haji Yahya, Penyebaran Islam Di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah Dan
Implikasinya dalam Polemik Sejarah Malaysia – Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008) 31
4 Encyclopedia of Islam, 1218
5 Abdul Monir b. Yaacob, Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka Dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1. (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 319
6 Abu Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya, (Kuala Terengganu: Pustaka Damai, 1986) 8.
7 Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam Di Malaysia”.
8 A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan I Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003) 109.
9 Ibid 105.
10 Ibid.

11 Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 19.

12 Ibid 22

13 Ibid 20.
14 Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di Malaysia”, Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia, (Jabatan Sejarah, Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994), 1.
15 Muhammad Yussoff b. Hashim, Kesultanan Melaka dan Budaya Politik dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur:
Arkib Negara Malaysia, 2008) 192.
Baca Selanjutnya...

Monday, September 26, 2011

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA - ada ke jaminan ? . Sedutan Titah Diraja - PERTAMA

Teman-teman seperjuangan yang dikasihi,

Jom kita baca dan meneliti
Titah D.Y.M.M Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia kali Pertama. Kita ambil apa-apa yang dapat memberi keteguhan dan kekuatan kepada Islam di Malaysia.

http://www.islam.gov.my/sites/default/files/bahagian/bpict/titah_diraja.pdf


Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan Nya.1
Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk menyempurnakan satu tanggung jawab fardu kifayah di pagi ini. Dengan segala kerendahan sifat – kelemahan kudrat, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua.

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.

“ WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI

Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undangundang dan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.”2

3. Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.
Status Ketua Utama Negara bukan sekadar simbol hiasan. Status Ketua Agama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggung jawab besar memenuhi amanah. Terkandung lima kata kunci dalam sumpah jawatan tersebut;
ia itu: Undang-undang, Perlembagaan Negeri, Agama Islam, Adil dan Aman.

4. Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27 September ini, dianjurkan, menyusuli ketetapan yang telah diperkenankan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja. Menjunjung titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Patik merafak sembah junjungan kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku, memberikan pengiktirafan ke atas batang tubuh Patik, menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku, untuk
Patik menzahirkan Titah Diraja atas tema “MAJLIS AGAMA ISLAM PEMACU TRANSFORMASI UMMAH”.

5. Setiap yang tersurat dizahirkan dari yang tersirat. Ketetapan Majlis Raja-Raja memperkenankan kelangsungan Kongres ini, perlu direnung secara tajam, diamati secara halus dan diselami secara mendalam; betapa keprihatinan yang tersirat dalam ruang minda Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Melayu tentang senario semasa negara; senario semasa negara yang harus dirangkaikan dengan lima kata kunci yang terkandung dalam sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong; senario semasa negara berkaitan Islam, survival ummah dan perpaduan ummah, soal keluhuran Perlembagaan, soal kedaulatan undang-undang, soal keadilan, soal keamanan; serta lebih utama keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia itu, sebagai pewaris kepada Tujuh Wasiat yang telah diperkenankan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu oleh sembilan Raja Melayu pada tarikh 5 Ogos 1957, lalu memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu. - BERSAMBUNG

TITAH DIRAJA
DULI YANG MAHA MULIA
PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA NAZRIN SHAH
DI KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SELURUH MALAYSIA.

TARIKH: 26 SEPTEMBER 2011 (ISNIN); MASA: 11.30 PAGI
TEMPAT: DEWAN MERDEKA
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR.


1 Al-Quran – Saba – 34:1
2 Sumpah Jawatan Yang Dipertuan Agong, Perkara 37, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perlembagaan Persekutuan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/titah-dymm-pemangku-raja-perak-darul-ridzuan-raja-nazrin-shah-sempena-kongres-majlis-agama-islam-neg
Baca Selanjutnya...

Sunday, September 25, 2011

Friday, September 23, 2011

Tanpa Kerjasama Umno - Pas Hudud Tidak Akan Tertegak?

Tanpa Kerjasama Umno - Pas
Hudud Tidak Akan Tertegak?

MENTERI Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sesetengah orang yang memberi gambaran buruk mengenai hudud sehingga usaha menegakkanya menjadi sukar. Tindakan itulah katanya menyebabkan hukum hudud - hukum yang disebut dan dituntut dalam al-Quran dilihat sebagai menggerikan dan ditentang.

Ini berlaku katanya disebabkan oleh mereka jahil mengenai hukum tersebut dan juga jahil mengenai Islam tetapi bercakap mengenainya. Sudah tentulah kejahilan membawa keruntuhan dan kelemahan.

Memang benarlah apa yang dikatakan Nik Aziz itu. Sesetengah orang Islam sendirilah yang memberi gambaran negatif dan buruk mengenai hudud. Mereka jahil tetapi cuba juga hendak bercakap dan menghuraikan apa yang mereka tidak faham. Apa pun tidak akan menjadi baik dan mencapai natijahnya kalau ia dilakukan oleh si jahil. Bagi si jahil satu-satu kegiatan atau perbuatan mereka yang sempurna ialah makan, tidur dan berak saja, sesekali melompat!

Setengah orang mentafsir hudud mengikut akal sendiri dan tidak menggali hikmah di sebalik sesuatu hukum yang ditetapkan oleh Allah. Tidak cuba mendalami sejarah atau sebab musabab kenapa hukum itu ditetapkan. Apa juga sesuatu kejadian dan perintah Allah kalau dikaji dengan akal susah untuk diterimanya kerana ada sebahagian tuntutan itu bersifat ghaib - spiritual.

Memang Allah memberi akal fikiran untuk menguruskan kehidupan ini. Tetapi bukan semua akal dapat menjawab segala permasalahan hidup. Banyak perkara yang diluar logik akal yang berladum di sekitar diri kita, yang tidak munasabah tetapi kita dapat merasai akan kewujudannya. Salah satu rukun imam, mempercayai kepada malaikat dan hari khiamat. Kedua perkara itu tidak dapat dicapai dengan deria fizikal melainkan ianya perlu diyakinkan dengan iman (kepercayaan) kerana ia bersifat spiritual dan tidak berjisim dan berjirim.

Begitu juga dengan hukum hudud yang dilihat menyeksa dan menyusahkan itu. Tetapi ia tidak ganjil dan pelik kalau manusia membuka akalnya seluas-luasnya dan menggali segala hikmah di sebalik yang dikendung al-Quran. Dalam hal-hal seperti hukum hudud ia dapat diterima oleh keimanan dan ketakwaan sahaja.

Selagi manusia tidak beriman dan bertaqwa atau menambah iman dan taqwa agar iman dan taqwanya penuh, maka selama itulah hal-hal yang memerlukan penglihatan dengan mata batin (basirah) tidak akan dapat dicapai. Ia tidak akan meresap dalam hati dan jiwa manusia. Kemunasabahan hukum hudud yang melibatkan penyeksaan fizikal tidak dapat diterima oleh fizikal yang amat terhad ilmu untuk mengenali maknawiNya. Ia memerlukan pencapaian deria yang boleh berhubung dengan cara ghaib.

Saya tidak yakin hudud dapat dilaksanakan selagi manusia tidak mencapai peringkat iman yang tertinggi, memiliki sifat-sifat mahmudah. Lagi pun jelas, bahawa segala hukum hakam dan tuntutan Allah hanya berlaku kepada manusia yang beriman dan bertakwa saja.

Semisalnya sembahyang, puasa, zakat, haji dan segala macam kebaikan hanya tertakluk kepada mereka yang beriman saja atau mereka yang ada iman saja akan terbuka hati untuk berbuat demikian. Mereka tidak beriman - yakin dan percaya mereka terkecuali daripada mempercayai dan menerimanya.

Di dalam al-Quran Nur Karim Tuhan tidak mengatakan; wahai orang-orang kafir hendaklah kamu berpuasa, atau solat atau mempercayai hudud dan lain-lain perintah mutlak. Tetapi Tuhan kata; wahai orang-orang beriman. Kerana begitu kedudukan dan hakikatnya maka solat, puasa, zakat, haji serta hudud tidak akan berlaku atau diterima oleh orang yang tidak percayai atau mempunyai ketauhidan yang tinggi.

Justeru kalau hendak laksanakan hukum Tuhan itu, maka biarlah semua manusia terlebih dahulu beriman dan bertaqwa. Atau majoritinya sudah mempercayai dan yakin. Makanya untuk itu dakwah, ajak, panggil, seru dan berilah kesedaran Islam dulu kepada mereka baru hukum Islam boleh ditegakkan. Payungi mereka dengan Nur Islam terlebih dahulu, baru hukum-hukum itu dilaksanakan. Sebab itu Allah berpesan supaya manusia berdakwah ke jalannya, memberi kesedaran kepada manusia.

Dalam hal ini kesedaran bukan saja kepada orang Islam, tetapi orang kafir juga perlu diberi kefahaman mengenai Islam. Bila mereka sudah faham dan jika dilaksanakan ia tidak akan menolaknya. Bukan bermakna mereka perlu bersyahadat, tetapi cukup biar mereka memahami akan sebab musabab dan hikmah di sebaliknya. Biar mereka mengetahui hukum itu adalah untuk kepentingan sejagat. Perbandingan di antara hukum hudud dengan hukum ciptaan manusia hendaklah dibuat dengan jelas dan tuntas dalam usaha memberi kefahaman ini.

Tidak salah kalau Karpal Singh, Lim Kit Siang atau kumpulan-kumpulan NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia tolak hudud kerana mereka tidak faham dan tidak arif mengenai Islam. Keindaan dan kecantikan Islam mereka tidak pandang dan merasai macam mana mereka boleh menerimanya. Mereka tidak salah tetapi yang salah ialah kita yang tahu tetapi malas atau gagal dalam usaha menyedarkan mereka.

Bukan saja Karpal Singh (yang pernah mengatakan kalau Pas hendak laksanakan hudud langkah dulu mayatnya) hatta orang Melayu sendiri yang tidak tahu kecantikan Islam tidak akan dapat merasai kecantikan itu kandati hudud itu adalah ajaran agamanya. Disebabkan kejahilan itulah maka mereka "tepu" untuk menerima dan melaksanakan hudud. Mereka akan tentang dan akan berbahas dan berhujah dengan dalil akal berlandaskan ilmu profesional mereka untuk menolak.

Jangan marah kepada mereka, sebab mereka tidak hampir dan menghayati Islam maka terjadilah begitu. Dalam hal ini yang perlu dikesal dan dimahasabah ialah diri kita sendiri (Islam Melayu) mencari sebab musabab kenapa kelemahan ataupun ketidaksempurnaan itu terjadi? Dalam hal ini bukan salah ibu mengandung, atau keadaan tetapi salah diri sendiri (Islam Melayu).

Dalam hal ini, saya melihat politik telah menyulitkan keadaan. Politik banyak memisahkan juzuk-juzuk agama didalam kehidupan, dan politik juga sudah menjadi doktrin yang menyesat dan mensasaukan. Maka wajar kalau perkara ini dulu diselesaikan. Buang mata politik dari memandang setiap juzuk kehidupan tetapi ambil mata hati untuk merenungnya kerana mata hati lebih jilah dari mata politik.

Mata politik tidak bersifat bundar (bulat tetapi ia bersifat dimensi, berbentuk). Jadi kalau pandangan itu dari satu bentuk (arah) saja maka ia akan melihat dari sudut itu saja. Kalau ia melihat dari kiri maka pemandangan kiri saja yang dapat dilihatnya dan ternafilah segala panorama indah lain yang berada di sebelah kanan dan dimensi-dimensi lain.

Sebaliknya kalau ia berbentuk bundar (bulat), sifatnya maka pandangan itu menyeluruh. Makanya mata politik atau doktrin-doktrin politik sangat bahaya dalam kehidupan dan inilah yang menyebabkan hidup ini celaru haru biru dan terpisah-pisah laksana kiambang di kolam.

Formula paling mudah dalam konteks orang Islam Melayu, kalau benar mereka (Islam Melayu) ada hajat dan usaha untuk melaksanakan hudud, Pas dengan Umno perlu duduk sekali. Keterpisahan dua puak inilah yang menyebabkan keadaan hudud itu 'berkonfrontasi'. Pas hendakkan hudud, Umno menolak hudud kerana Umno melihat hudud sebagai agenda politik dan bukan satu kewajiban yang ikhlas. Pandangan mata politik Umno melihat begitu. Pandangan politik menyebabkan dua tafsiran ke atas satu objek.

Justeru selagi mata politik digunakan ia tidak akan menseragamkan pandangan di antara Umno dan Pas. Hatta kalau mereka melihat objek yang jelas kepada umum tetapi belum tentu lagi mereka mempunyai tafsiran yang sama. Selalu terjadi Pas kata lembu, Umno kata kerbau walhal apa yang dilihat itu hanya kambing Japnapari.

Sebaliknya kalau Pas duduk sekali dengan Umno menyebabkan Umno perlahan-lahan melihat juzuk-juzuk kehidupan termasuk agama itu dari kaca mata Pas dan lama kelamaan mereka akan mempunyai pandangan sama, ketika itulah hudud diterima. Keperluan untuk Pas bersama itu juga demi memberi kesempatan menambah 'ainun' agama kepada Umno.

Selagi Pas duduk berasingan dengan Umno yang juga dilihat ada power dan autoriti untuk bercakap agama walaupun parti itu bersemangat kebangsaan, maka selama itulah kepentingan agama seperti hukum hudud dan lain-lain itu tidak dapat menjadi kenyataan kerana ia akan terus ditentang. Adalah kurang bijak kalau Pas untuk membiarkan ia ditentang sedangkan ada jalan untuk ia diterima.

Terima atau tidak kedua parti politik itu mempunyai kuasa besar ke atas Islam Melayu di negara ini.

Pandangan Dr Asri Zainul Abidin bahawa hudud perlu ditafsirkan atau ada ijtihad baru dalam persiapan untuk melaksanakannya tidak akan ke mana. Tafsir dan ijtihad itu pada saya bukan menjadi titik tolak kepada penerima dan kesuksesan perlaksanaan hudud. Selagi dua kumpulan ini Pas dan Umno tidak duduk dalam satu saf maka hudud itu tetap akan berlaku penentangan di antara satu sama lain. Sedarlah mata politik sangat merbahaya dan berbisa untuk memusnahkan apa-apa juga kebaikan yang diturunkan Allah. Badar lahum... [wm.kl.7:12 am 22/09/11]
Source: http://msomelayu.blogspot.com/2011/09/tazkirah-subuh.html
Baca Selanjutnya...

Thursday, September 22, 2011

Hantu Bonceng: PAS serah 2 memo bantahan - Malaysiakini

Hantu Bonceng: PAS serah 2 memo bantahan

Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada dua agensi kerajaan berkaitan penayangan filem komedi Hantu Bonceng yang didakwa menghina Islam. Memorandum dari ketuanya Nasrudin Hassan kepada ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masing-masing diserahkan di pejabat agensi itu pada pagi dan petang ini. Memorandum pada kepada Finas pada jam 3 petang di pejabatnya di Hulu Klang manakala kepada Jakim diserahkan pada jam 12 tengah hari di Putrajaya.

Dalam memorandum itu, Pemuda PAS mendakwa, "garis panduan bahan penerbitan bercetak dan audio visual berhubung dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan amalan Ahli Sunnah Waljamaah" yang dikeluarkan Jakim tidak diendahkan ketika menerbitkan Hantu Bonceng.

Pemuda PAS kelmarin mendakwa filem arahan sutradara terkenal Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan dibintangi Zizan - atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak - mengandungi babak yang jelas menghina Rasulullah. Ia ekoran dialog dalam satu babak yang berbunyi "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" (aku naik saksi bahawa Muhammad itu... syaitan).

Ahmad Idham dilapor terkilan Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Idham dilapor menjelaskan tidak pernah berniat mempersendakan kalimah syahadah cuma cara lontaran dialog tersebut sahaja disalah tafsirkan. "Saya terkilan perkara itu diperbesarkan sehingga ada yang menganggap saya sebagai manusia yang terlalu jahil tentang agama. "Pihak-pihak berkenaan sanggup mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di majlis penyampaian watikah kemasukannya ke program Ijazah Doktor FalNONEsafah (PhD), Universiti Utara Malaysia, yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa. Pengarah muda itu juga berkata, sekiranya adegan itu benar-benar terlalu sensitif, ia sudah awal-awal disunting oleh pihak penapisan filem, lapor sebuah portal berita. Justeru, beliau mengesyaki terdapat segelintir pihak sengaja menimbulkan isu tersebut atas agenda tertentu. Pelakon utama filem itu Zizan atau nama penuhnya Mohd Razizan Abd Razak bagaimanapun dilaporkan memohon memohon maaf di laman Twitter dan menjelaskan tidak mungkin dia sengaja atau tergamak menghina agama dan rasulnya sendiri. Hantu Bonceng yang ditayangkannya bermula 31 Ogos lalu mendapat kutipan RM8.4 juta dan merupakan pencapaian tertinggi antara filem-filem Ahmad Idham sebelum ini.

Source: http://malaysiakini.com/news/176446
Baca Selanjutnya...

Wednesday, September 21, 2011

Mohon maaf: Pemuda PAS puji keberanian Zizan


| |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada pelakon dan pelawak Mohd Razizan bin Abd Razak kerana berani mengakui kesilapan dan telah memohon maaf.

Ianya berhubung satu babak beliau dalam filem Hantu Boceng yang jelas menghina Rasulullah.

Mohd Razizan atau lebih dikenali sebagai Zizan dalam babak tersebut menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan), sekaligus mengundang kontroversi.

Bagaimanapun Zizan dilaporkan telah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas Dewan Pemuda PAS pusat dan beberapa pihak lain mengecam tindakannya itu yang dilihat keterlaluan.

"Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mengucapkan tahniah atas keberanian saudara Zizan memohon maaf, semoga ianya benar, ikhlas dan tidak mengulanginya di masa hadapan," kata ketuanya, Nasrudin Hassan.

Menyatakan pendirian terhadap kegiatan seni, Nasrudin berkata Dewan Pemuda PAS sentiasa menyokong kerjaya seni dan budaya dalam negara kerana Islam tidak pernah menghalang ummatnya berkarya.

Namun Islam ujarnya mempunyai garis panduan yang jelas untuk dipatuhi agar seni dan budaya menghidupkan jiwa dan menyegarkan minda bukan mematikan hati, merosakkan akhlak dan meruntuhkan moral.

"Kata Para hukama' : Tidak hilang bisa dek kerana memohon maaf diatas kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya diri dilihat bermaruah dan dihormati.

"Mudah - mudahan ia menjadi pengajaran berguna kepada Zizan dan kepada semua termasuk para penonton dan juga artis - artis yang lain agar lebih berhati - hati di pentas lakonan atau di layar perak agar tidak mencetus kekeliruan yang boleh membuka pintu fitnah dan dilihat mempersendakan agama Islam yang suci ini," katanya.


Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5506-mohon-maaf-pemuda-pas-puji-keberanian-zizan
Baca Selanjutnya...

PEMANSUHAN UNDANG-UNDANG ZALIM BUKAN UNTUK MENGUKIR NAMA

Kenyataan Media TERAS

20hb September 2011

PEMANSUHAN UNDANG-UNDANG ZALIM BUKAN UNTUK MENGUKIR NAMA


TERAS menegaskan bahawa pemansuhan undang-undang yang zalim tidak harus dikaitkan dengan mengungkitkan siapa yang menjadi juara kepada isu ini.

Perdana Menteri yang mewakili kerajaan juga bagi pendapat TERAS tidak perlu mendakwa bahawa keputusan itu adalah dari inisiatif kerajaan semata-mata , bukan dari mana-mana desakan pihak yang lain.

Pelbagai kelompok yang selama ini telah mengembleng tenaga untuk mendesak ISA di hapuskan tidak harus dinafikan. Malah perhimpunan dan demonstrasi untuk meminta tahanan ISA dibebaskan atau dibicara ternyata tidak diendah oleh kerajaan.

Persoalan yang lebih penting ialah memahami bahawa mana-mana undang-undang yang menzalimi hak seseorang individu atau kumpulan sudah semestinya dimansuhkan.

Malah undang-undang itu sepatutnya dari awal lagi tidak harus diujudkan tatkala salahguna kuasa yang berkiatan dengan penguatkuasanya kerapkali disalahgunakan.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaanlah yang sepatutnya memastikan tidak ada undang-undang yang menindas rakyat.

Jadi ,semada kerajaan yang sedia ada atau kerajaan yang lain , soal memansuhkan undang-undang zalim seperti ISA semestinya adalah tanggungjawab kerajaan. Pokoknya ia tidak perlu menunggu desakan dari rakyat.

TERAS memberi perhatin serius bila PM mengumumkan akan ada dua undang-undang baru yang akan diujudkan bagi mengganti ISA . Untuk hal ini MAPIM mengesa pihak kerajaan tidak terperangkap dengan sindrom yang sama apabila undang-undang ISA yang dimansuh hanya bertukar nama semata.

ISA bentuk baru akan hanya menghilangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan yang akan dianggap hipokrit.

Dakwaan transformasi politik sedang dilakukan hanya akan terbukti jika keseluruhan sistem politik ini dirombak. Ini termasuk antaranya soal reformasi dalam sistem parlimen yang sudah lapuk , tarikh pilihanraya yang seharusnya ditentukan bersama dengan parti pembangkang , peluang samarata dalam penggunaan media awam untuk semua parti politik yang bertanding , syarat laragan tidak membenarkan penggunaan premis pendidikanuntuk berkempen oleh mana-mana parti politik , menguatkuasakan peraturan penggunaan perbelanjaan kempen mengikut had yang dibenarkan.

TERAS berpendapat jika transformasi politik hendaklah dilakukan dengan bersungguh maka segala diskriminasi politik seperti yang berlaku sekarang hendaklah dihentikan dan amalan federalisme yang sebenar nya diaksanakan.

ISA yang telah dikuatkuasakan selama ini sering telah disalahgunakan atas alasan keselamatan awam sebagai sebab untuk menahan individu tanpa bicara.

Selama ISA ujud ada sahaja kelompok yang diugut dengan peruntukan yang ada walaupun tidak ada bukti jelas .

Bila Dr Mahathir mengatakan ISA tidak terlalu kejam , beliau seolah-olah menghina dan memperkecilkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga mereka yang ditahan. Apakah menahan seseorang tanpa bukti yang jelas terutama hanya kerana menggugat kepentingan politik BN itu bukan suatu penganiyaan yang zalim?

Alasan beliau bahawa kali ini Malaysia boleh menegur negara lain seperti Amerika Syarikat kerana menahan orang Islam tanpa bukti di Teluk Guantanamao bukanlah alasan yang kukuh kenapa ISA perlu dimansuhkan. Kuasa besar seperti Amerika memang selama ini adalah sebuah negara fasis yang melanggar banyak hak asasi manusia hanya bila kepentingannya tergugat.

Tanpa membuat perbandingan seperti itupun ISA yang zalim tidak harus ujud.

Persoalan sekarang ini penahanan ISA yang selama ini dilakukan, adakah hanya suatu tindakan berwewenang tanpa memikirkan kesan keatas kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Kata-kata ISA "tidak terlalu zalim" yang digunakan oleh Dr Mahathir adalah sangat tidak wajar kerana suatu kezaliman itu tetap zalim tidak kira bagaimanapun statusnya.

TERAS mengesa pihak kerajaan perlu menimbangkan perkara berikut ketika menggubal undang-undang baru:

1. Perbahasan yang terperinci hendaklah dilakukan dengan semua pihak untuk mempertimbangkan semua pandangan dari publik.

2. Semua bekas tahanan ISA yang jelas tidak melakukan kesalahan hendaklah dibayar pampasan.

3. Kuasa mutlak untuk menahan seseorang atas nama keselamatan awam oleh Menteri Dalam Negeri hendaklah dimansuhkan.

4.Prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah hendaklah dipertahankan dalam sebarang undang-undang.

5. Saranan SUHAKAM dari semua jenis aduan yang diterima berkaitan dengan pelanggaran hak asasi manusia oleh mana-mana pihak berkuasa perlu diambilkira dengan bersungguh. ..

6.AUKU hendaklah dimansuhkan .

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

Baca Selanjutnya...

Tuesday, September 20, 2011

Monday, September 19, 2011