Thursday, September 8, 2011

Pihak berkuasa agama: Permudah jangan menyusahkan


Pihak berkuasa agama: Permudah jangan menyusahkan
Nasrudin bin Hassan
1. Usaha memberikan peringatan, tunjuk ajar agama, nasihat dan bimbingan hidup kepada ummat Islam dizaman mereka terkepung dalam dunia jahiliyyah moden hari ini adalah suatu tindakan yang sangat mulia.

Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. : sesiapa yang telah menunjuk jalan kebaikan di dalam Islam maka baginya pahala [ atas tindakannya ] dan pahala orang yang melaksanakan kebaikan tersebut.

Firman Allah swt surah Fussilat : ayat 33 bermaksud :
"Siapakah yang lebih baik perkataannya berbanding mereka yang mengajak manusia kembali kepada Allah dan beramal soleh dan berkata sesungguhnya aku terdiri dari kalangan orang - orang yang menyerah diri kepada Allah swt.

2. Masjid dan surau adalah antara tempat strategik dan sistematik untuk menyampaikan Islam dan mengukuhkan kefahaman ummat Islam terhadap cara hidup berlandaskan syariat Islamiyah. Ia bagai benteng akhir bagi ummat Islam untuk berpaut guna menyelamatkan fikrah dan aqidah mereka. Terlalu sukar untuk mencari kelas atau majlis pengajian Islam secara terancang dan sistematik selain masjid dan surau.

3. Alangkah malang bagi masa depan ummat Islam jika masjid dan surau juga terdapat kekangan atau halangan untuk menyampaikan Islam dan peringatan kepada ummat Islam agar menjalani kehidupan berasaskan panduan dan pedoman agama. Selain daripada institusi atau pusat pengajian Islam, di mana lagi ummat Islam dan masyarakat awam boleh duduk bersimpuh menimba ilmu secara formal dan serius jika tidak di masjid dan surau.

4. Menyampaikan Islam dan menyeru manusia agar taat dan tunduk kepada perintah Allah swt adalah perbuatan dan perkataan yang paling mulia, maka pastinya menghalang dan mengekang pengajian Islam dan penyebarannya kepada masyarakat pula adalah suatu tindakan yang paling hina.

Firman Allah swt Surah al Baqarah : 114 bermaksud:
dan siapa lagi yang paling zalim [jahat] berbanding mereka yang menghalang masjid - masjid Allah daripada disebut namaNya dan merancang pula untuk meruntuhkannya.

5. Saya yakin bahawa penyebaran Islam mesti dipantau serta dipastikan tulen prinsip dan maudhu'nya. Tetapi pastikan juga pengajian dan penyebarannya berjalan lancar tanpa sebarang kekangan terutama saat ummat Islam sangat memerlukan agamanya untuk hidup selamat dan diredhai oleh Allah swt.

6. Tauliah adalah untuk memastikan usaha jua aktiviti penyebaran Islam dan kelas - kelas pengajiannya berjalan secara terancang, sistematik dan mampu menampung keperluan ummat Islam masa kini terhadap agama yang mereka anut. Pihak berkuasa agama mesti mempunyai suatu mekanisme yang berkesan bagaimana mengurus tauliah.

7. Tidak munasabah, seorang yang mahu menyampaikan Islam dan memberikan peringatan kepada masyarakat khasnya ummat Islam agar sedar tanggungjawab dan amanah hidup sebagai seorang muslim terpaksa berdepan dengan tindakan undang - undang semata - mata kerana isu tauliah. Munasabahnya ialah pihak berkuasa agama selayaknya membantu, membiayai, menyokong dan memudahkan usaha murni tersebut bukan menyusahkan. يسروا ولا تعسروا [ mudahkan dan jangan susahkan ]. Jika tauliah menjadi isunya, kenapa tidak ditauliahkan kepada mereka yang boleh menyampaikan Islam dengan baik dan berkesan.

8. Hari ini, tauliah menjadi igauan dan hambatan yang menyulitkan para pendakwah dan ilmuan untuk menyampaikan Islam dan mendidik ummah sedang situasi di luar sana, ummat Islam sedang terperangkap dalam iklim sosial yang mendorong mereka untuk rosak dan binasa akhlak, pemikiran dan aqidah mereka. Apakah pihak berkuasa agama tidak peka perkara ini ?

9. Saya masih ingat Allahyarham Tuan Guru Hj Musthafa Abu Bakar Pengasas Pondok Pasir Tumbuh turut menjadi mangsa tauliah apabila Al Marhum ditahan kerana mengajar di Hulu Besut seketika dulu, sehinggalah Almarhum Tuan Guru kembali kerahmatillah, kesnya belum selesai. Malah ramai tuan - tuan Guru yang memiliki lautan ilmu untuk mendidik ummah menjadi mangsa tauliah. Terbaru Dr Asri Zainal Abidin mantan mufti Perlis dan sebelumnya Ust Fathul Bari sebelum menyertai Ulama' Muda UMNO

10. Masjid dan surau terlalu banyak, ruang pengajian dan dakwah yang perlu dimanafaatkan juga terlalu banyak. Cendikiawan Islam yang diiktiraf ilmu mereka oleh Universiti di mana mereka menuntut dan akhirnya pula dengan segulung ijazah, master atau Phd juga terlalu ramai, tetapi berapa jumlah tauliah yang dikeluarkan ? Jika Tuan - Tuan Guru, alim ulama', para ilmuan Islam, cendikiawan muslim masih belum layak mendapat tauliah, kriteria bagaimana yang layak untuk dapatkan tauliah tersebut? atau pihak berkuasa agama nantinya digelar sebagai Pihak Penghalang Agama !

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment