Tuesday, September 13, 2011

Kenyataan Media TERAS - TOLAK CADANGAN TERUSKAN PPSMI

Kenyataan Media TERAS - TOLAK CADANGAN TERUSKAN PPSMI

Kenyataan Media TERAS
TERAS TOLAK CADANGAN TERUSKAN PPSMI
TERAS menolak saranan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang menyarankan PPSMI perlu diteruskan hanya kerana kajiannya dikatakan menunjukkan lebih 54% responden dari 33 buah sekolah seluruh Negara menyokong PPSMI dikekalkan.
TERAS berpendirian tegas bahawa keputusan untuk meneruskan PPSMI tidak boleh bersandar kepada penemuan JMM kerana perbahasan ilmiah dari golongan ahli ilmuan dan pakar bahasa telah melihat secara mendalam kesan PPSMI keatas pelajar Melayu terutama di kawasan luar Bandar. Malah implikasi budaya dan jatidiri bangsa sudah dibahasa secara mendalam sebagai akibat dari PPSMI.
TERAS kesal masih ada pihak yang beria-ia untuk meneruskan PPSMI dengan alasan bahawa ini demi masa depan kerjaya pelajar dan persaingan globalisasi.
Sudah sangat jelas hujah ini tertolak bahawa kemajuan atau kemunduran sesebuah Negara bukan bergantung kepada penguasaan bahasa Inggeris tetapi adalah berdasarkan kekuatan rakyatnya menguasai ilmu melalui bahasanya sendiri seperti Negara Jepun , Perancis , Korea dan banyak Negara di Eropah.
Alasan dangkal ini yang masih terus dipertahankan menunjukkan pihak yang ghairah untuk menolak keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri alias mejadi insan terjajah yang berkekalan.
Sebenarnya kajian yang hanya bergantung kepada bilangan responden seperti yang dinyatakan oleh JMM tidak boleh dijadikan sandaran untuk meneruskan PPSMI. Kaedah dan soalan-soalan yang dilontarkan dalam bancian tersebut belum tentu mengambarkan kenyataan yang sebenar dan tidak boleh dipertahankan sebagai kajian yang tahan uji.
TERAS dengan tegas menyatakan bahawa tuduhan dan sindiran bahawa kemarahan masyarakat yang telah menolak perlaksanaan PPSMI adalah tuduhan yang tidak bertangggungjawab.
Pihak JMM sendiri tidak berhak untuk melontarkan tuduhan bahawa gerakan mansuh PPSMI adalah untuk kepentingan pihak tertentu kerana itu adalah suatu penghinaan kepada para pakar bahasa dan ahli ilmuan yang ramai menyertai dan menyokong pemansuhan PPSMI.
Apakah kelayakan JMM untuk mempersoalkan hujah ilmiah para pakar bahasa dan ahli ilmuan yang bersama dengan gerakan mansuh PPSMI hanya dengan bancian rambang yang tidak boleh dipertahankan secara akademik dan ilmiah.
TERAS menolak usaha pihak-pihak yang berselindung diatas nama kemajuan dan persaingan global untuk menampilkan agenda mengenepikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengukuhan jati diri.
Mereka harus berterus terang untuk menyatakan bahawa mereka lebih selesa menjadikan Negara ini sebagai Negara yang menyisihkan bahasa ibunda dan bahasa Melayu hanya sebagai bahasa pasar. Tidak perlu untuk berdalih atas nama masa depan pelajar dan persaingan global.
TERAS mendesak kerajaan jangan tunduk kepada golongan yang masih mahu membangkitkan keputusan yang telah diumumkan bahawa PPSMI akan dimansuhkan mulai 2012.
Kerajaan tidak boleh berdolak dalih dengan alasan untuk memenuhi semua kehendak kerana dasar bahasa adalah dasar yang menyentuh persoalan Perlembagaan yang sudah diterima oleh semua rakyat.
Merubah keputusan dan tunduk kepada desakan golongan yang jahil soal bahasa dan implikasi kepada Negara akan mengakibatkan seluruh kredibiliti kerajaan akan dipersoalkan. Rakyat akan bangkit sekali lagi untuk menyatakan pendirian jika hal ini berlaku.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu

1 comments:

  1. tanya la cikgu yg mengajar...bertapa gagal nya PPSMI....yg buat dasar teori sahaja...yg nak mengajar lebih arif...kenapa luahan masalah para cikgu tak mau didengar...

    ReplyDelete