Thursday, September 15, 2011

PPSMI: Abim gesa Page, JMM jangan cetus polemik baru

PPSMI: Abim gesa Page, JMM jangan cetus polemik baru


September 15, 2011

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa pertubuhan bukan kerajaan Page dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tidak mencetuskan polemik dengan meminta supaya dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dihidupkan semula secara pilihan.

Ketua Biro Penerangan Abim, Abu Qassim Nor Azmi berkata, gesaan Page dan JMM agar diberikan “autonomi” kepada sekolah untuk memilih PPSMI adalah berdasarkan kajian mereka yang mendakwa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar ia dilaksanakan semula.

“Walaupun menghargai keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Page dan JMM dalam usaha mereka mengendalikan kajian tersebut, akan tetapi Abim mendapati terdapat keraguan pada cara pelaksanaan dan hasil dapatan kajian tersebut yang boleh dipertikaikan kesahan dan kebolehpercayaannya,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Abim menyambut baik ketegasan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Fuad Zakarshi yang menolak kajian yang dikemukakan oleh JMM atas faktor yang sama.

Selain itu, hujah Page untuk menyokong cadangan mereka pada kali ini adalah ulangan kepada hujah-hujah mereka sebelum ini yang telah dibahaskan dalam siri persidangan meja bulat yang lalu dan dimuktamadkan oleh Timbalan Perdana Menteri dengan pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 25 November 2009.

“Perkara seperti kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris, kecemerlangan subjek Sains dan Matematik, diskriminasi kepada golongan yang beribundakan Bahasa Inggeris dan ketidakkesanan kepada Perkara 152 Akta Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara telah dibidas dalam buku ‘Mengapa Kami Bantah’ serta diambil pertimbangan sewajarnya dalam mempersiapkan dasar MBMMBI,” kata beliau.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Abu Qassim berkata, Abim berpandangan bahawa cadangan pemberian kuasa “autonomi” memilih dasar kepada sekolah adalah kecelaruan terbesar dalam sistem pendidikan negara.

Tidak ada autonomi bagi perkara dasar melainkan hanya dalam soal pentadbiran dan pengurusan sekolah seperti yang diamalkan di sekolah kluster, kata beliau.

Katanya, komuniti sekolah hanya sebagai pelaksana dan bersama memberi sumbang saran dalam penggubalan sesuatu dasar tetapi tidak untuk memilihnya bagi kecenderungan tertentu.

Hal ini mencabar kredibiliti Kerajaan khususnya Menteri Pelajaran dalam menentukan masa depan negara kerana ia tercorak dari dasar yang diperkenalkannya.

“Di samping itu, cadangan Page dan JMM tersebut akan menimbulkan konflik dan ketegangan sosial serta kesenjangan di kalangan rakyat apabila dua arus perdana ini bertembung dalam masyarakat. Ini akan menggagalkan usaha penyatupaduan rakyat seperti mana yang terkandung dalam matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” kata beliau.

Tambah Abu Qassim, Abim berpendapat bahawa cadangan tersebut juga dilihat tidak munasabah kerana akan menimbulkan kesulitan di peringkat pelaksanaan, penilaian dan pemantauannya.

“Ia akan menimbulkan masalah dalam proses latihan dan penempatan guru, penyediaan bahan mengajar, penerbitan dan pengagihan buku teks, penggubalan dan pencetakan kertas soalan, dan yang lebih utama penilaian berpusat bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan awam.

“Oleh itu, ABIM menyeru agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran tegas menolak kajian dan cadangan yang dikemukakan oleh Page dan JMM berdasarkan hujah yang dikemukakan,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment