Ulamak Pelapis PAS:Ulamak Muda UMNO akui terus dipinggirkan
Kuala Lumpur, 2hb September 2011.Kenyataan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya, AJK Biro Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU) dalam wacana anjuran Sinar Harian di Shah Alam baru-baru ini bahawa UMNO tidak mempunyai badan tertentu yang mengenengahkan suara Ulamak menyerlahkan lagi bahawa golongan itu dipinggirkan dalam parti tersebut. Biro agama UMNO yang wujud sekarang ini hanyalah untuk melaksanakan aktiviti keagamaan dalam UMNO.
Kenyataan ini selari dengan kenyataan Ustaz Ahmad Tajuddin Idris, ketua iLMU dalam artikelnya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun 2011 bahawa UMNO seolah-olah tidak dipacu oleh Ulamak.
Kedua-dua kenyataan ini tidak menjadi perkara yang pelik kerana umum mengetahui bahawa perjuangan UMNO bukan berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Golongan yang layak untuk merujuk dua sumber ini adalah para Ulamak. Jika mereka menolak kedua-dua sumber ini maka mereka dengan sendirinya menolak Ulamak.
Apa yang menjadi kepelikan sebenarnya ialah bagaimana mereka boleh terus kekal berada di dalam UMNO sedangkan mereka mengetahui suara mereka tidak didengari.
Hujjah yang dikemukakan oleh Ustaz Fathul Bari dalam wacana tersebut bahawa mereka akan terus menegur parti pemerintah dan memerlukan kesabaran dalam usaha tersebut dilihat terlalu rapuh.
Ini adalah kerana keberadaan mereka dalam UMNO lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan dan membawa fitnah kepada perjuangan untuk menegakkan agama. Rakyat akan berfikir bahawa UMNO adalah betul dan benar kerana didokongi oleh Ulamak sedangkan hakikatnya perjuangannya tidak berteraskan Islam. Mereka akan berhujjah bahawa jika UMNO salah maka kenapa ada Ulamak di dalamnya. Itulah sebenarnya tujuan UMNO menerima kemasukan para Ulamak dalam partinya agar dilihat Islamik sedangkan mereka pada hakikatnya meminggirkan Ulamak sebagaimana diakui sendiri oleh Ulamak Muda UMNO ini.
Ulamak tidak boleh menjadi umpama peribahasa Melayu; bagaikan anjing menyalak bukit. Kesabaran sememangnya dituntut dalam Islam tetapi tidak ada gunanya kesabaran tersebut jikalau kita menjadi umpama anjing yang terus sabar menyalak bukit yang diketahui tidak mempunyai faedah. Ulamak dalam UMNO perlu bijak memilih medium untuk berdakwah supaya akhirnya tidak menjadi alat kepada UMNO bagi mengekalkan kuasa.
Hujjah untuk 'membersih daripada dalam' adalah bertentangan dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang melarang ummatnya bersama dengan jamaah atau kumpulan yang menolak Islam sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
Huzaifah bin Al-Yaman berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan terdapat golongan penyeru di pintu neraka. Sesiapa yang menyahut mereka akan dicampakkan ke dalamnya." Aku berkata: "Beritahu kepada kami sifat mereka wahai Rasulullah." Nabi bersabda: "Mereka adalah kaum daripada kulit kita dan bercakap dengan lidah kita." Aku bertanya: "Apa yang engkau akan suruh aku jika aku menemui golongan ini?" Nabi bersabda: "Lazimilah jamaah muslimin dan pemimpin-pemimpin mereka. Jika mereka tidak mempunyai jamaah dan pemimpin maka pisahkan diri kamu daripada kumpulan-kumpulan tersebut kesemuanya walaupun kamu terpaksa memakan akar kayu sehinggalah engkau mati dan kamu berada dalam keadaan demikian. (Riwayat Ibnu Majah).
Source: http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=289%3Aulamak-pelapis-pasulamak-muda-umno-akui-terus-dipinggirkan&catid=17&Itemid=19
No comments:
Post a Comment