Tuesday, September 27, 2011

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA - ada ke jaminan ? . Sedutan Titah Diraja - KEDUA

6. Perlembagaan Persekutuan secara nyata menetapkan kewajipan penting Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, selaku Ketua Utama Negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa. Tanggung jawab penting tersebut didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di Negeri-negeri. Tanggung jawab penting tersebut telah sekian lama diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu telah menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan kesucian Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam dilindungi dari penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan. Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Negeri menggubal undang-undang untuk mempertahankan agama Islam dan penganutnya dari dipengaruhi unsur-unsur agama lain.


7. Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Islam terpahat kukuh di persada
sejarah negara. Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka 3. Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409 4, Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu 5, dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)6 Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara7.


8. Risalah Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan
rohani, begitu serasi - begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu. Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia. Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala8. Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat 9. Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru10.


9. Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu. Ia telah mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan
umat, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur11. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya12. Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan susila serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan13.


10. Beberapa pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan identiti baru. Raja
dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)”14. Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia15. Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amar makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala16 . ...........BERSAMBUNG


3 Mahayuddin Haji Yahya, Penyebaran Islam Di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah Dan
Implikasinya dalam Polemik Sejarah Malaysia – Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008) 31
4 Encyclopedia of Islam, 1218
5 Abdul Monir b. Yaacob, Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka Dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1. (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 319
6 Abu Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya, (Kuala Terengganu: Pustaka Damai, 1986) 8.
7 Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam Di Malaysia”.
8 A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan I Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003) 109.
9 Ibid 105.
10 Ibid.

11 Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 19.

12 Ibid 22

13 Ibid 20.
14 Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di Malaysia”, Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia, (Jabatan Sejarah, Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994), 1.
15 Muhammad Yussoff b. Hashim, Kesultanan Melaka dan Budaya Politik dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur:
Arkib Negara Malaysia, 2008) 192.

No comments:

Post a Comment