Monday, November 29, 2010

PRINSIP-PRINSIP DASAR KEIMANAN - Mengimani Nama dan Sifat ALLAH

4.Mengimani Asma dan Sifat Allah

Iman kepada nama-nama dan sifat-sifat Allah yakni menetapkan nama-nama dan sifat-sifat yang sudah ditetapkan Allah untuk diri-Nya dalam kitab suci-Nya atau sunnah Rasul-Nya dengan cara yang sesuai dengan kebesaran-Nya tanpa tahrif (penyelewengan), ta’thil (penghapusan), takyif (menanyakan bagaimana?), dan tamsil (menyerupakan).

Allah berfirman, yang ertinya:

“Allah mempunyai asmaaul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaaul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (Al A’raaf 180)

“…Allah mempunyai sifat yang Mahatinggi; dan Dialah Yang Mahaperkasa lagi Mahabijaksana.” (An Nahl 60)

“…Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Asy Syuura 11)

Dalam perkara ini ada dua golongan yang tersesat, iaitu:

1. Golongan Mu’aththilah, iaitu mereka yang mengingkari nama-nama dan sifat-sifat Allah atau mengingkari sebahagiannya saja. Menurut perkiraan mereka, menetapkan nama-nama dan sifat itu kepada Allah dapat menyebabkan tasybih (penyerupaan), yakni menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Pendapat ini jelas keliru kerana:

a. Sangkaan itu akan mengakibatkan hal-hal yang bathil atau salah, kerana Allah telah menetapkan untuk diri-Nya nama-nama dan sifat-sifat, serta telah menafikan sesuatu yang serupa dengan-Nya. Andaikata menetapkan nama-nama dan sifat-sifat itu menimbulkan adanya penyerupaan, bererti ada pertentangan dalam kalam Allah serta sebahagian firman-Nya akan menyalahi sebahagian yang lain.

b. Kesesuaian antara dua hal dalam nama dan sifatnya tidak mengharuskan adanya persamaan. Anda melihat ada dua orang yang keduanya manusia, mendengar, melihat, dan berbicara, tetapi tidak harus sama dalam makna-makna kemanusiaannya, pendengarannya, penglihatannya, dan pembicaraannya. Anda juga melihat beberapa binatang yang punya tangan, kaki, dan mata, tetapi kesesuainnya itu tidak mengharuskan tangan, kaki dan mata mereka sama. Apabila antara makhluk-makhluk yang sesuai dalam nama atau sifatnya saja jelas memiliki perbezaan, maka tentu perbezaan antara Khaliq (Pencipta) dan makhluk (yang diciptakan) akan lebih jelas lagi.

2. Golongan Musyabbihah, iaitu golongan yang menetapkan nama-nama dan sifat-sifat, tetapi menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya. Mereka mengira hal ini sesuai dengan nash-nash Al Qur’an, kerana Allah berbicara dengan hamba-Nya dengan sesuatu yang dapat difahaminya. Anggapan ini jelas keliru ditinjau dari beberapa hal, antara lain:

a. Menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya jelas merupakan sesuatu yang bathil, menurut akal mahupun syara’. Padahal tidak mungkin nash-nash kitab suci Al Qur’an atau Sunnah rasul menunjukkan pengertian yang bathil.

b. Allah Ta’ala berbicara dengan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang dapat difahami dari segi asal maknanya. Hakikat makna sesuatu yang berhubungan dengan zat dan sifat Allah adalah hal yang hanya diketahui oleh Allah saja.

Apabila Allah menetapkan untuk diri-Nya bahawa Dia Maha Mendengar, maka pendengaran itu sudah maklum dari segi maknanya, iaitu menemukan suara-suara. Tetapi hakikat hal itu dinisbahkan kepada pendengaran Allah tidak maklum, kerana hakikat pendengaran jelas berbeza, walau pada makhluk sekali pun. Jadi perbezaan hakikat itu antara Pencipta dan yang diciptakan jelas lebih jauh berbeza.

Apabila Allah memberitahu tentang diri-Nya bahawa Dia bersemayam di atas Arsy-Nya, maka bersemayam dari segi asal maknanya sudah maklum, tetapi hakikat bersemayamnya Allah itu tidak dapat diketahui.

Buah Iman kepada Allah:

1. Merealisasikan pengesaan Allah sehingga tidak menggantungkan harapan kepada selain Allah, tidak takut kepada yang lain, dan tidak menyembah kepada selain-Nya.

2. Menyempurnakan kecintaan terhadap Allah, serta mengagungkan-Nya sesuai dengan nama-nama-Nya yang indah dan sifat-sifat-Nya yang maha tinggi.

3. Merealisasikan ibadah kepada Allah dengan mengerjakan apa yang diperintah serta menjauhi apa yang dilarang-Nya.

No comments:

Post a Comment