Tuesday, November 16, 2010

Bilakah Nak Puasa Sunat Arafah dan Raya Qurban..........cuba baca kertas kerja ini

Kertas kerja ini diforward oleh rakan alkisan.

Maaf teks Arab atau matan hadis tak dapat dipastekan.

TAFSIRAN HADIS “AL-HAJJ ARAFAH”DAN IBADAT PUASA SUNAT 9 ZULHIJJAH

Pendahuluan

Kaedah penentuan Idul Adha yang diamalkan di Malaysia adalah dengan menggunakan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (kiraan falak) berdasarkan kepada kriteria imkanur-rukyah (kebolehnampakan) sebagaimana yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Namun begitu, masih terdapat sebahagian kecil masyarakat Islam yang tidak mengikut penetapan Hari Raya Korban (Idul Adha) tersebut, malah mempertikaikan kesahihannya. Kekeliruan ini berlaku kerana beranggapan bahawa Idul Adha hendaklah disambut mengikut Idul Adha di negara Arab Saudi iaitu sehari selepas Hari Wukuf di Arafah sewaktu ibadat haji, sedangkan ia bercanggah dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan keputusan Majlis Raja-Raja. Antara sandaran mereka adalah hadis “Al-Hajj Arafah” yang telah disalahtafsir oleh mereka khususnya ibadat puasa sunat 9 Zulhijjah.
Mereka berpendapat puasa sunat itu hendaklah bersamaan Hari Wukuf di Arafah. Keadaan ini sedikit sebanyak akan menimbulkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam.

Tindakan menyambut Idul Adha tidak mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pihak pemerintah adalah menyalahi Fasal 9, Enakmen Kesalahan Jenayah Syar’iyyah 1997 Negeri Johor dan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit (RM3000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Keputusan pemerintah itu adalah demi kepentingan masyarakat Islam. Ia bersesuaian dengan kaedah;
yang bererti “tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepentingan umum”.

Hari Arafah
i. Bagi penduduk Makkah, Hari Wukuf di Arafah adalah sehari sebelum Hari Nahar (Idul Adha) mengikut ketentuan kerajaan Arab Saudi.

ii. Bagi negara atau kawasan yang berlainan terbit matahari, penentuan 9 Zulhijjah adalah mengikut ketentuan imkanur-rukyah negara masing-masing.

iii. Hari Arafah (9 Zulhijjah) mempunyai keistimewaan tertentu yang sewajarnya diambil kesempatan oleh kaum muslimin.

iv. Masa berpuasa Arafah adalah 9 Zulhijjah mengikut ketentuan rukyah awal bulan Zulhijjah negara masing-masing.

Penjelasan Hadis “Al-Hajj Arafah”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya;
“Ibadat Haji itu (sah dengan wukuf) di Arafah”.

i. Sanad dan matan hadis
Maksudnya;
…Dari Abdul Rahman bin Ya’mur berkata bahawasanya ada seorang lelaki daripada ahli Najd berjumpa Rasulullah s.a.w. Waktu itu Rasulullah s.a.w. berada di Arafah. Maka lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan seorang penyeru untuk menyeru “Al-Hajj Arafah!”. Ertinya; “Ibadat haji itu (sah dengan wukuf) di Arafah…”.
(Riwayat Imam al-Tirmizi)

Wukuf di Arafah itu adalah satu rukun yang terpenting dalam ibadat haji, tanpa wukuf haji seseorang itu tidak sah.

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya;
Dari Abdul Rahman bin Ya’mar al-Diliy berkata, aku datang kepada Rasulullah s.a.w. semasa di Arafah maka satu kumpulan dari ahli Najd mengarahkan seorang lelaki bertanya persoalan ibadat haji kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda menjawab; “al-Hajj Arafah”. (Riwayat Imam Abu Daud)

ii. Maksud hadis
Al-Syeikh ‘Izzuddin Abd al-Salam berkata “al-Hajj Arafah”,
Maksudnya;
“Maksud daripada “Al-Hajj Arafah” ialah ibadat haji itu dapat sempurna (sah) dengan wukuf di Arafah”.

Al-Syaukani berkata “Al-Hajj Arafah”,
Maksudnya;
“Maksud daripada “Al-Hajj Arafah” ialah ibadat haji yang sah adalah jemaah haji yang dapat wukuf di Arafah”.

iii. Fiqh al-Hadis
Seorang tokoh ulama’ al-Syafi’iyyah iaitu Imam Abu Ishak al-Syirazi berkata:
Maksudnya;
Wukuf di Arafah itu adalah satu rukun daripada rukun-rukun ibadat haji, sebagaimana riwayat Abdul Rahman al-Diliy bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Ibadat haji itu sah dengan wukuf di Arafah, maka sesiapa yang dapat berwukuf di Arafah sebelum terbit fajar pada Hari Wukuf, sesungguhnya dia telah dapat menyempurnakan ibadat haji”.

Al-Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al-Malibari menjelaskan dalam kitabnya
Maksudnya;
Rukun ibadat haji yang kedua ialah wukuf di Arafah iaitu menghadirkan diri di bumi Arafah, di mana-mana jua daripada kedudukan Arafah walaupun seketika, sekalipun dia tidur atau lalu di bumi Arafah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, “Al-Hajj Arafah”.

Al-Imam al-‘Allamah Taqiyyuddin Abi Bakar bin Muhamad al-Husaini mengulas lebih lanjut berhubung “Al-Hajj Arafah”,
Maksudnya;
“Rukun yang terpenting daripada rukun-rukun ibadat haji itu ialah wukuf di Arafah sebagaimana kamu kata yang terpenting di dalam rakaat itu adalah ruku’”.

Oleh yang demikian, hadis “Al-Hajj Arafah” menerangkan:
1) Bahawa wukuf di Arafah adalah salah satu daripada rukun-rukun ibadat haji.
2) Hadis di atas tiada kaitan dengan penentuan Idul Adha kerana para ulama’ al-Syafi’iyyah tidak menghubungkan hadis di atas dengan penentuan tarikh Idul Adha.

Sebenarnya hadis di atas merupakan salah satu dalil dan hujah yang menolak penentuan Idul Adha disambut mengikut Idul Adha di negara Arab Saudi. Hadis tersebut tidak menunjukkan sebarang isyarat bahawa Idul Adha itu tertakluk dengan wukuf di Arafah terutamanya negara-negara yang tidak sama terbit matahari dengan negara Arab Saudi.

Dalil Dan Hujah Yang Menolak Penentuan Idul Adha Disambut Mengikut Idul
Adha Di Negara Arab Saudi (Sehari Selepas Hari Wukuf Di Arafah)

i. Hadis dari Ummi Salamah:
Maksudnya;
Daripada Ummi Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya”. (Riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa penentuan Idul Adha itu khususnya bagi penduduk luar daripada negara Arab Saudi dan negara yang tidak sama terbit matahari seperti Malaysia adalah berdasarkan kepada rukyah anak bulan Zulhijjah dan tidak ditentukan berdasarkan Hari Wukuf di Arafah. Adapun penentuan Idul Adha bagi negara Arab Saudi adalah dengan rukyah anak bulan bagi menentukan tarikh wukuf di Arafah.

Malahan hadis di atas juga memberikan panduan agar ketetapan 1 Zulhijjah atau 2 Zulhijjah atau 9 Zulhijjah (Hari Wukuf) adalah berdasarkan rukyah. Begitu juga 10 Zulhijjah (Idul Adha).

ii. Hadis dari Abi Hurairah r.a.
Maksudnya;
Daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; “Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadhan) dan Hari Raya Puasa (Idul Fitri) adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”. (Riwayat Imam al-Tirmizi)

Merujuk kepada petikan sabda Rasulullah s.a.w. "
" yang bermaksud “dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”, Rasulullah s.a.w. menetapkan agar ibadat korban itu dilaksanakan pada Hari Raya Korban (Idul Adha) dan hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah).

Hadis di atas menunjukkan bahawa ibadat korban tiada kaitan dengan penentuan ibadat haji yang dilaksanakan di Arab Saudi (sehari selepas wukuf di Arafah). Ia sunat muakkad bagi orang yang mengerjakan haji dan umat Islam di seluruh dunia. Oleh itu, Idul Adha (Hari Raya Korban) mestilah berdasarkan penentuan awal bulan Zulhijjah iaitu dengan rukyah anak bulan Zulhijjah sebagaimana yang diamalkan oleh negara anggota MABIMS iaitu negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang bersepakat menggunakan kaedah rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (kiraan falak) berdasarkan kriteria Imkanur- Rukyah (kebolehnampakan).

iii. Hujah Mazhab al-Syafi’i
Rukyah (melihat anak bulan) mestilah tertakluk kepada matla’ yang menunjukkan kepada waktu terbit matahari dan waktu terbit bulan. Mazhab Syafi’i merujuk kepada dalil sunnah, qias dan logik iaitu:

a- Sunnah
Maksudnya;
Kuraib menceritakan bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Syam. Kuraib berkata, “Aku tiba di Syam dan menunaikan hajatnya sedangkan pemberitahuan dan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah al-Munawwarah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan”. Katanya, “Bilakah kamu
melihat anak bulan?”. Aku menjawab, “Kami melihat pada malam Jumaat!”. Ibnu Abbas bertanya lagi katanya, “Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?”. Aku menjawab, “Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa”. Ibnu Abbas berkata, “Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal”. Aku bertanya, “Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?”.
Ibnu Abbas menjawab, “Tidak! Beginilah caranya Rasulullah s.a.w. menyuruh kami”. (Riwayat Imam Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa Ibnu Abbas tidak mengambil kira rukyah penduduk Syam dan tidak menjadi wajib atas penduduk satu-satu negeri beramal dengan rukyah yang berlaku di negeri lain (berlainan matla’).

Hadis Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya;
Daripada Ibni Umar r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. “Satu bulan mengandungi 29 hari, oleh itu jangan kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) hingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan) dan jangan kamu berbuka (berhari raya) hingga kamu melihat anak bulan (Syawal).
Jika terlindung hilal daripada pandangan kamu, sempurnakan bilangan anak bulan itu (30) hari”.
(Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)

Hadis ini menunjukkan bahawa wajib puasa tertakluk kepada rukyah (melihat anak bulan), sungguhpun begitu tidaklah dikehendaki setiap orang melihat anak bulan. Jika mendung berlaku pada malam itu, sempurnakanlah bilangan bulan 30 hari (atau dengan perisytiharan dari
pemerintah).

b- Qias
Ulama’ Mazhab Syafi’i mengqiaskan perbezaan terbit bulan dengan perbezaan terbit matahari yang membawa kepada berlaku perbezaan waktu solat.

c- Hukum akal
Syarak telah mengaitkan wajibnya berpuasa dengan timbulnya bulan Ramadhan dan permulaan Ramadhan adalah berbeza disebabkan oleh perbezaan negeri-negeri yang membawa kepada perbezaan mula berpuasa di negeri-negeri yang berlainan.

iv. Penggunaan Istilah
Istilah “Idul Adha” amat masyhur digunakan dalam hadis-hadis dan kitab-kitab feqah. Masyarakat Islam di Malaysia kebiasaannya menggunakan istilah “Hari Raya Korban” yang sememangnya bertepatan dengan istilah Idul Adha. Akan tetapi tidak ada kitab hadis dan feqah yang menggunakan istilah “Idul Hajj” yang juga disebut oleh sesetengah masyarakat Islam sebagai “Hari Raya Haji”. Ini adalah satu kesilapan. Sebenarnya istilah yang wujud hanyalah “Idul Adha” yang
dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia sama ada yang mengerjakan haji atau tidak.

Ibadat Puasa Sunat 9 Zulhijjah

Sanad dan matan hadis
i. Matan hadis yang dibahaskan:
Maksudnya;
Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas”.
(Riwayat Imam Muslim)

ii. Makna potongan hadis:
Al-Syeikh Sulaiman al-Bajairami menjelaskan;
Maksudnya;
“Yang dikehendaki dengan makna tahun sebelum hari Arafah ialah tahun yang sempurna (cukup 12 bulan) hingga sampai bulan Zulhijjah”.

iii. Fiqh al-Hadis:
Berdasarkan hujah riwayat Imam Muslim, Imam al-Nawawi sebagai mujtahid mazhab al-Syafi’i mensabitkan bahawa berpuasa pada hari Arafah itu adalah sunat. Dengan sebab itulah Imam al-Nawawi meletakkan puasa pada hari Arafah di dalam “Bab Puasa Sunat”.

iv. Pelaksanaan Ibadat Puasa Sunat 9 Zulhijjah

a- Siapakah yang disunatkan berpuasa hari Arafah dan bilakah waktunya?

Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi berhubung dengan berpuasa pada hari Arafah;
Maksudnya;
“Dan berpuasa pada hari Arafah itu adalah pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim (Puasa pada hari Arafah dihitung di sisi Allah menghapuskan dosa seseorang pada tahun sebelum dan tahun selepas)”.

Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan
lagi;
Maksudnya;
“Adapun bagi orang yang mengerjakan ibadat haji maka tidak disunatkan baginya berpuasa pada hari Arafah bahkan disunatkan bagi dirinya berbuka puasa sekalipun dia berkemampuan untuk berpuasa. Ini kerana mengikut amalan baginda Muhammad s.a.w. berdasarkan hadis riwayat
Imam al-Bukhari dan Muslim. Dan hendaklah orang yang mengerjakan ibadat haji banyak berdoa. Maka berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang mengerjakan ibadat haji itu adalah menyalahi yang terlebih utama”.

Al-Syeikh Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli menambah;
Maksudnya;
“Dan pendapat fuqaha’ yang lemah bahawa makruh bagi orang yang mengerjakan ibadat haji itu berpuasa pada hari Arafah. Ini kerana hadis riwayat Abi Daud bahawasanya Rasulullah s.a.w. menegah berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang mengerjakan ibadat haji di Arafah.
Ahli hadis menganggap hadis ini adalah daif kerana terdapat majhul pada sanadnya (perawi yang tidak dikenali)”.

b- Bagaimana pelaksanaan puasa sekiranya berlaku syak berhubung tarikh 9 Zulhijjah?
Syeikh Syihabuddin dalam kitab Hasyiatan menyatakan;
Maksudnya;
“(Dan hari Arafah) dan sekiranya berlaku syak berkenaan hilal Zulhijjah maka tiada haram dan tiada makruh berpuasa pada hari Arafah sebagaimana berpuasa pada hari yang ke-30 Ramadhan setelah syak pada kedudukan hilal awal Ramadhan”.

Al-Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al-Malibari menambah;
Maksudnya;
“Dan lebih cermat lagi berhati-hati, berpuasalah pada 8 dan 9 Zulhijjah”.

Al-‘Allamah Abi Bakar Usman bin Muhammad Syata al-Dumyati mengulas;
Maksudnya;
“Kerana bahawasanya (berpuasa pada hari yang ke-8 Zulhijjah itu) kadang-kadang jatuh pada 9 Zulhijjah”.

c- Adakah puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) mengikut negara Arab Saudi ataupun mengikut matla’ negara masing-masing?

Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi;
Maksudnya;
“Dan apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq”.

Maksud di dalam negara yang satu ialah matla’ yang sama. Bagi matla’ Malaysia adalah terletak di dalam matla’ Asia Tenggara. Oleh itu sewajarnya penentuan tarikh Idul Adha mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama MABIMS.

Kesimpulan
Fahaman yang menyatakan “Idul Adha” disambut berdasarkan ketentuan Hari Wukuf di Arafah (sama dengan Arab Saudi) bagi negara yang tidak sama matla’ dengan Arab Saudi adalah tertolak dan tidak boleh diterima.
Ini kerana Hari Wukuf di Arafah dan “Idul Adha” adalah tertakluk kepada penentuan awal Zulhijjah menurut hisab penentuan awal bulan hijriah, ia mengambil kira cara anak bulan dilihat (Imkanur-rukyah) iaitu:
“Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut:
a) Ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 2º dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3º,
ATAU
b) Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijimak berlaku”.

Oleh:
Dato’ Haji Nooh bin Gadut
Mufti Negeri Johor

6 comments:

  1. Harap ustaz dapat beri penjelasan sebenar mengenai perkara ini.

    Datok mufti ni, susah saya nak percaya.

    ReplyDelete
  2. betul tu mufti bergaji ni susah nak percaya.. tgk apa jadi dgn mufti perak tu.. dah jadi haramsani.. yg haram pun dihalalkan demi kerajaan Umngok..

    minta ustaz ulas... berdasarkan pendapat ust ibrahim mohd raja (t'ganu) tiada dalil quran pun lihat anak bulan utk aidul adha ni.. yg ada hanya aidilfitri.. w'allam..

    ReplyDelete
  3. Perbezaan Penetapan Hari Raya Aidil Adha 1431 H

    Jika Khalifah Ada...

    Dia selaku Ulil Amri umat Islam akan memutuskannya

    http://ibnuyassir.blogspot.com/2010/11/perbezaan-penetapan-hari-raya-aidil.html

    ReplyDelete
  4. salam. Uye tak tengok hujjah mufti tapi tengok kitab-kitab yang dinukilkan itu. tk atas peringatan antum semua. tk

    ReplyDelete
  5. bagi dekat ahli yang ulas masaalah ini.ahli falak tu ramai rasanya,cuma tak nak bersuara,saya tinggal sempadan golok rantau panjang,golok dah raya,kita kat rantau panjang baru beli kuih raya,seberang sungai je.nak ikut pemerintah tu yang susah sikit..bukanya reti agama pun.bukanya ambil berat pun.zaman teknologi kan ni,,tak confident lah..saya puasa ikut saudi..was was

    ReplyDelete
  6. Dalam amalan yang merupakan ibadat saya suka perbuatan yang menepati sunnah atau yang atau paling hampir kepada sunnah, bukan pandangan-pandangan yang meragu-ragukan yang sudah nak disandarkan..

    ReplyDelete